Koronavirus

Images
  • hdb flat (1)
    Blok flat HDB di Singapura. (Gambar fail: Calvin Oh)

Pesakit jalani pemulihan di rumah 'resah' tanpa arahan jelas; tubuh kumpulan sokongan Telegram

SINGAPURA: Menjalani pemulihan di rumah menimbulkan satu "perasaan pelik" dan "sangat luar biasa" bagi Jacob, bukan nama sebenar, yang kini sedang beransur pulih daripada COVID-19 secara sendirian di bilik tidur utama kediamannya.

Warga Poland itu sudah menetap di Singapura selama empat tahun dan ini adalah kali pertama beliau perlu berhubungan dengan isterinya di sebalik pintu yang tertutup untuk mendapatkan secawan air atau kopi.

“Anda mungkin mendapatinya kelakar bahawa kami menghubungi satu sama lain menerusi aplikasi mesej dan bukannya bersuara meminta, "Boleh anda buatkan saya secawan kopi?' Jadi beliau membuatkan (kopi) dan meletakkannya di hadapan pintu yang tertutup, berjalan pergi dan menjerit, 'Saya sudah berdiri jauh!'. Kemudian saya membuka pintu, ambil kopi dan menutup semula pintu," beliau memberitahu Mediacorp menerusi satu temu bual di telefon pada Selasa (21 Sep).

Jacob diuji positif COVID-19 pada Jumaat lalu (17 Sep) melalui ujian pantas antigen (ART). Beliau diuji positif sekali lagi menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di sebuah klinik pada keesokan hari.

“Saya positif (COVID-19) tetapi isteri saya masih negatif selama beberapa hari ini. Ia agak penting untuk mengekalkan keadaan itu. Maka itu, kami mengambil langkah-langkah seperti ini, dengan meletakkan hadangan di antara kami seberapa boleh," ungkapnya.

Lelaki berusia 53 tahun, yang menetap di sebuah kondominium dua bilik bersama isterinya serta dua kucing peliharaan, berkata beliau menghargai peluang untuk menjalani pemulihan di rumah.

Jacob menganggap dirinya beruntung kerana skim pemulihan di rumah dilanjutkan pada Sabtu lalu (18 Sep) bagi kes COVID-19 yang sudah lengkap divaksin untuk merangkumi juga individu berusia sehingga 69 tahun. Sebelum ini, hanya individu berumur 12 hingga 50 layak untuk menjalani pemulihan di rumah.

Di bawah skim yang diperluaskan itu, individu yang diuji positif COVID-19 dan memenuhi kriteria boleh memulakan pemulihan di rumah serta-merta tanpa perlu dibawa ke hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Sebaliknya bagi jurugambar bebas, Adam - bukan nama sebenar, 31 tahun, beliau lebih memilih untuk menjalani kuarantin di sebuah kemudahan jagaan masyarakat. Beliau diuji positif COVID-19 pada Rabu lalu (15 Sep).

Adam tinggal bersama isterinya dan seorang rakan di sebuah apartmen dua bilik. Isteri Adam terpaksa berpindah ke ruang tamu sebaik sahaja beliau diuji positif.

“Saya rasa ia lebih menyusahkan untuk pulih di rumah kerana anda bergantung kepada orang untuk memberi anda makan. Mereka ada jadual untuk diikuti juga. Mereka ada kerja. Sebaik sahaja saya positif (COVID-19), mereka juga diletakkan di bawah kuarantin rumah. Mereka perlu mengaturkan barangan dapur. Ia sangat memberi tekanan kepada mereka," Adam memberitahu Mediacorp melalui temu bual telefon.

Adam menambah beliau ingin berpindah ke sebuah kemudahan jagaan masyarakat kerana ia akan "lebih selesa" bagi isterinya yang kini perlu tidur di lantai ruang tamu.

KURANG KOMUNIKASI

Kedua-dua Jacob dan Adam mengatakan terdapat kekurangan komunikasi daripada pihak berkuasa tentang apa yang akan berlaku kepada mereka. Namun, mereka menjalani pengasingan kendiri malah sebelum arahan "rasmi" dikeluarkan untuk menyatakan tempoh pemulihan di rumah mereka sudah bermula.

Dalam satu kenyataan media pada 14 September, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan sebuah penyedia teleperubatan akan menjalankan penilaian awal dari jauh untuk memastikan pesakit COVID-19 sihat secara kinikal.

Seorang pegawai, dipanggil 'Home Recovery Buddy' akan berhubungan dengan mereka untuk membimbing mereka sepanjang menjalani pemulihan di rumah serta menyediakan maklumat yang perlu.

Jika perlu, satu 'pek jagaan' mengandungi termometer, oximeter nadi, pelitup pembedahan dan cecair pembasmi kuman untuk tangan akan dihantar.

“Saya menerima satu mesej daripada MOH pada Sabtu, memberitahu saya positif (COVID-19) dan bahawa seseorang akan berhubungan dengan saya. Saya tunggu sehingga Ahad (19 Sep) untuk menerima satu lagi maklumat iaitu mesej daripada MOH, meminta saya mengisi satu borang untuk ahli keluarga tetapi sebenarnya kami sudahpun melakukannya pada Sabtu," kata Jacob.

“Sejam kemudian, seorang wanita daripada pihak pengesanan kontak menghubungi saya untuk bertanyakan tentang beberapa lokasi pada aplikasi TraceTogether saya. Itu sahaja. Tiada teman kuarantin, tiada pek ART, tiada apa-apa sebenarnya."

Jacob berkata beliau terbaca bahawa beliau boleh mengambil sama ada satu lagi ujian PCR pada hari ketujuh kuarantin dan "dibebaskan" sekiranya keputusan ujian adalah negatif atau terus menjalani pengasingan kendiri sehingga hari ke-10 sebelum mengakhiri kuarantin, seandainya beliau sihat.

“Tetapi ini hanya bacaan saya di Internet tentang peraturan tersebut kerana saya masih menantikan seseorang untuk menghubungi saya dan menerangkan perkara ini," ujarnya.

Begitu juga bagi Adam, beliau tidak menerima sebarang panggilan susulan sejak mengirimkan borang selepas MOH memberitahunya beliau layak untuk menjalani pemulihan di rumah.

“Anda tahu infografik yang dikongsikan (MOH) online, bukan? Saya sepatutnya mengambil suhu badan saya dan membuat ujian oximeter serta memuat naik maklumat itu di suatu wadah," katanya.

"Namun sejak awal, tidak ada sesiapa yang menghubungi saya untuk menghantar barang-barang tersebut kepada saya. Tidak ada sesiapa yang mengirimkan pautan kepada saya untuk memuat naik maklumat. Jadi saya benar-benar tidak melakukan apa-apa (kecuali memantau gejala saya sendiri). "

Mediacorp sudahpun menghubungi MOH untuk mendapatkan ulasan.

KUMPULAN SOKONGAN ONLINE

Disebabkan kekurangan penjelasan tentang apa yang boleh dijangkakan, Jing Feng, 38 tahun, menubuhkan satu kumpulan Telegram yang dinamakan 'SG Quarantine Order Support Group'.

Meliputi sekitar 24 anggota, termasuk Jacob dan Adam, kumpulan itu ditubuhkan pada Ahad lalu khusus bagi mereka yang tidak tahu apa yang boleh dijangkakan sepanjang pemulihan di rumah dan bagi individu yang tidak menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa.

Bagi menunjukkan sokongan mereka antara satu sama lain, beberapa anggota kumpulan itu kerap berkongsi kemas kini tentang keadaan mereka atau sama ada anggota keluarga mereka diuji positif COVID-19. 

- CNA/FZ/fz

Top