Skip to main content

Iklan

Iklan

Pesakit harus 'yakin' mereka dijaga dengan baik bagi memastikan pemulihan di rumah berjalan baik: Presiden Halimah

Penting bagi penduduk untuk rasa "yakin bahawa kepentingan mereka dijaga" bagi memastikan program pemulihan di rumah berjalan dengan baik, kata Presiden Halimah Yacob semasa melakukan lawatan ke ibu pejabat Kumpulan Bertindak Pemulihan di Rumah pada Selasa (2 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Nov 2021 08:11PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 09:16PM

SINGAPURA: Penting bagi penduduk untuk rasa "yakin bahawa kepentingan mereka dijaga" bagi memastikan program pemulihan di rumah berjalan dengan baik, kata Presiden Halimah Yacob semasa melakukan lawatan ke ibu pejabat Kumpulan Bertindak Pemulihan di Rumah pada Selasa (2 Nov).

Presiden Halimah berkata demikian kepada wartawan tentang pentingnya memastikan operasi berjalan lancar di pusat panggilan dan pusat perancangan, serta mengiktiraf usaha di balik tabir dalam perjuangan Singapura menentang COVID-19.

Presiden Halimah menemui kakitangan di ibu pejabat Kumpulan Bertindak Pemulihan di Rumah. (Gambar: Hanidah Amin)

Pemulihan di rumah menjadi wadah jagaan pilihan sejak 15 September bagi pesakit yang tidak mengalami sebarang simptom atau sekadar simptom ringan. Secara purata, sekitar 70 peratus daripada kes jangkitan harian menjalani pemulihan di rumah.

Sekumpulan pesakit terkecuali daripada menjalani pemulihan di rumah, seperti individu berusia 50 tahun dan ke atas yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin, warga emas berusia 80 tahun dan ke atas yang lengkap divaksin serta kanak-kanak bawah satu tahun.

Kakitangan program pemulihan di rumah, yang termasuk anggota SAF dan Perkhidmatan Negara sepenuh masa menghubungi kes positif menerusi panggilan telefon bagi mengesahkan kelayakan mereka dan secara rasmi memasukkan mereka ke dalam program itu, menurut pasukan bertindak itu pada 27 Oktober.

Lebih 450 kakitangan SAF dikerahkan untuk membantu program pemulihan di rumah sejauh ini.

"BANYAK TUGAS" DI BALIK TABIR

Terdapat "banyak tugas yang tidak kita lihat", termasuk mengendalikan panggilan serta memeriksa pesakit, kata Puan Halimah.

Beliau memberi contoh mereka yang bertugas di balik tabir bagi memastikan "sistem berjalan lancar", seperti kakitangan SAF, kakitangan dari agensi-agensi seperti Kementerian Kesihatan dan Agensi Jagaan Bersepadu (AIC), para relawan serta kakitangan awam dan anggota masyarakat.

"Tentu sekali dengan kemahiran dan keupayaan mereka, mereka boleh lakukannya dengan cepat. Jadi keupayaan untuk memberi respons yang cepat (kepada panggilan)... ketersediaan mereka menangani isu di lapangn adalah sangat baik," katanya.

Mentelah lagi, kekuatan unik SAF meningkatkan lagi program pemulihan di rumah, kata Puan Halimah, yang menyifatkan mereka sebagai "sangat teratur, sangat terlatih". Ini membolehkan mereka untuk bergerak dengan "sangat cepat".

Banyak usaha turut diatur untuk menghubungkan pesakit kepada sumber-sumber relevan.

"Misalnya, mereka yang perlukan sumber perubatan, mereka mempunyai hubungan kepada sumber itu. Mereka yang perlukan sumber bukan perubatan, sokongan sosial dan seterusnya, mereka juga mempunyai jalinan hubungan dengannya. Dan tentu sekali, jagaan teleperubatan, itu sangat kritikal," katanya.

Penggunaan teleperubatan penting terutama sekali bagi pesakit di rumah dan "tidak begitu selesa", kata Puan Halimah.

"Apabila seseorang itu jatuh sakit, mereka bimbang tentang diri sendiri. Mereka ingin mendapatkan jawapan kepada soalan yang ada. Apabila mereka menghubungi seseorang, mereka ingin segera dapat menghubungi mereka. Jadi khidmat dan sokongan sedemikian yang disediakan, dan ini sangat penting."

Gambar: Hanidah Amin

PERASAAN RISAU ADALAH "WAJAR"

Puan Halimah juga maklum tentang kebimbangan yang dihadapi oleh mereka yang menjalani program pemulihan di rumah.

"Saya benar-benar faham apa yang mereka rasakan kerana sebaik sahaja anda dijangkiti COVID-19, mereka bimbang. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga bagi ahli keluarga mereka.

"Mereka bimbang jika ahli keluarga mereka dijangkiti. Namun saya ingin katakan bahawa mereka dijaga dengan betul, sama ada ia menerusi program pemulihan di rumah atau jika mereka dimasukkan ke hospital," katanya.

"Walaupun keprihatinan mereka adalah wajar, selagi mereka mematuhi protokol dan nasihat yang diberikan, mereka seharusnya berada dalam keadaan baik."

"Dalam pandangan saya, kami mempunyai sistem yang baik bagi pemulihan di rumah... Kami mempunyai sebuah sistem untuk menjaga mereka walaupun mereka berada di rumah."

Puan Halimah juga berkata walaupun Singapura akan mengatasi pandemik COVID-19, "ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini".

Beliau menambah bahawa terdapat "peringkat sokongan yang berlainan" untuk membantu negara ini buat sementara waktu, seperti vaksinasi dan dos penggalak, melakukan ujian pantas antigen (ART) dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat.

"Vaksinasi bukannya satu-satunya huraiannya tetapi sekurang-kurangnya vaksinasi dapat melindungi anda sehingga satu tahap di mana anda tidak jatuh sakit teruk apabila dijangkiti. Jadi saya ingin katakan, tolong, jika anda belum divaksin, sila berbuat demikian. Jika anda belum dapatkan dos penggalak, sila dapatkannya," kata Presiden Halimah.

"Di negara-negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi, mereka tetap menyaksikan gelombang jangkitan yang ketiga, yang keempat. Kita tidak terkecuali kerana kita sebahagian daripada situasi sejagat ini. Namun secara bersama, dengan sokongan pemerintah, saya yakin kita boleh mengatasi pandemik ini."

Sumber : CNA/HA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan