Virus Korona

Images
  • hari raya cookies
    Gambar fail kuih-muih Hari Raya.

Perniagaan kecil-kecilan dari rumah kembali beroperasi mulai 12 Mei dengan langkah diperketat

SINGAPURA: Perniagaan makanan dan minuman kecil-kecilan dari rumah akan dibenarkan beroperasi semula mulai 12 Mei sebagai sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk melonggarkan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan secara berperingkat.

Perniagaan seumpama itu, bagaimanapun, harus mematuhi langkah pengurusan selamat seperti memastikan penghantaran dan pengambilan pesanan tanpa sentuhan. Pengambilan pesanan juga harus dilakukan berdasarkan temu janji sahaja dan masa pengambilan harus dijarak-jarakkan, menurut Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) pada Sabtu (2 Mei).

Pembayaran harus dilakukan menerusi kaedah tanpa tunai dan hanya anggota keluarga yang sama boleh bekerja dalam perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah.

"Langkah-langkah itu perlu untuk mengehadkan interaksi antara penjual, kakitangan penghantaran dan pelanggan. Ini akan membantu mengurangkan risiko penularan COVID-19," jelas kementerian itu.

Khidmat jamuan privet di rumah masih tidak dibenarkan.

Sudah hampir dua minggu sejak Singapura memperketatkan langkah-langkah pemutus jangkitan yang termasuk mengurangkan senarai khidmat penting. Di bawah peraturan diperketat itu, perniagaan makanan dari rumah tidak dibenarkan untuk beroperasi lantas mencetuskan keprihatinan dalam kalangan peniaga kecil-kecilan dari rumah yang bergantung pada peniagaan sedemikian untuk sumber pendapatan tambahan serta juga mereka yang sudahpun menerima tempahan menjelang Aidilfitri.

Satu petisyen online di Change.org, menggesa pihak berkuasa untuk membolehkan perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah untuk beroperasi, menerima lebih 71,000 tandatangan setakat 2 Mei.

SEKATAN DILONGGARKAN SEBELUM HARI RAYA

Beberapa peniaga juga berharap sekatan akan dilonggarkan sebelum Hari Raya terutama setelah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata, semasa satu sidang media pada 27 Apr, bahawa peraturan mungkin dilonggarkan jika jumlah kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat merosot.

Presiden Halimah juga berkata pada 1 Mei bahawa beliau menanti-nantikan peluang untuk membeli kuih Raya daripada para penjual dari rumah sebaik sahaja sekatan dilonggarkan.

Beliau menarik perhatian bahawa perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah adalah sumber mata pencarian penting bagi sesetengah orang.

"Perniagaan kecil-kecilan dari rumah sebahagian besarnya dikendalikan oleh wanita yang biasanya memikul tanggungjawab menjaga anggota keluarga dan ia adalah sumber pendapatan penting buat mereka," tulis Puan Halimah di Facebook.

"Walaupun mereka menjual kuih dan kek sepanjang tahun, pada bulan Ramadanlah mereka dapat meraih pendapatan paling tinggi untuk menampung perbelanjaan Hari Raya dan menyimpan wang untuk keperluan lain," tulis Presiden Halimah.

"Pada masa-masa sukar ini, pendapatan yang mereka mampu peroleh lebih penting lagi kerana sebilangan pasangan mereka hilang pekerjaan atau dipotong gaji akibat COVID-19."

Presiden menambah: "Saya menantikan kuih-muih anda. Tetapi tolong patuhi peraturan pemutus rantaian jangkitan yang bertujuan memastikan setiap orang selamat daripada COVID-19."

"BELUM TERLEPAS DARIPADA ANCAMAN COVID-19"

Berikutan pengumuman Pemerintah bahawa perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah akan dibenarkan kembali beroperasi 12 Mei ini, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mengingatkan lagi bahawa adalah penting bagi perniagaan itu mematuhi garis panduan dan langkah pengurusan selamat.

"Ini termasuk mengelakkan sebarang perhimpunan di rumah dengan individu yang bukan tinggal sebumbung. Ini adalah antara langkah berjaga-jaga kami secara kolektif terhadap COVID-19, untuk mencegah wujudnya kelompok baru," tulis beliau di Facebook sambil menarik perhatian bahawa Singapura membuat kemajuan baik dalam melawan COVID-19 tetapi masih "belum terlepas daripada ancaman virus korona itu".

"Saya faham ini adalah masa mencabar bagi kebanyakan perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah. Terima kasih kerana memahami mengapa ia adalah penting untuk memperketatkan langkah pemutus rantaian jangkitan," tambah beliau.  

- CNA/FZ/fz

Top