Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan online bagi Dana Bantuan Sementara dibuka minggu depan; tidak perlu tergesa-gesa, nasihat Desmond Lee

Bagi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap yang ingin memohon bantuan kewangan berupa wang tunai sekali saja sebanyak S$500 menerusi Dana Bantuan Sementara, permohonan secara online akan dibuka pada minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan online bagi Dana Bantuan Sementara dibuka minggu depan; tidak perlu tergesa-gesa, nasihat Desmond Lee

(Gambar: Facebook/Desmond Lee)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 08:24AM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 08:29AM

SINGAPURA: Bagi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap yang ingin memohon bantuan kewangan berupa wang tunai sekali saja sebanyak S$500 menerusi Dana Bantuan Sementara, permohonan secara online akan dibuka pada minggu depan.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Desmond Lee berkata demikian dalam catatan Facebook pada Jumaat (3 Apr).

Para pemohon, yang perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum layak menerima dana bantuan itu, berkunjung ke pelbagai kelab masyarakat (CC) dan pejabat khidmat sosial yang dikendalikan oleh MSF di merata Singapura untuk membuat permohonan.

Menurut Encik Lee, sejauh ini lebih 60,000 permohonan sudah diterima sejak permohonan dibuka pada Rabu.

Bantuan S$500 itu bertujuan untuk membantu rakyat Singapura berpendapatan rendah dan sederhana serta Penduduk Tetap yang menghadapi kesulitan akibat krisis COVID-19 yang disebabkan oleh kehilangan pekerjaan atau hasil pendapatan.

Encik Lee turut mendedahkan bahawa khidmat kaunter akan ditutup pada hujung minggu ini dan akan dibuka semula pada Isnin depan.

Namun, para pemohon masih boleh mendapatkan borang permohonan pada hujung minggu ini di sudut-sudut khidmat layan diri yang ditetapkan di pelbagai kelab masyarakat dan pejabat khidmat sosial, dan menghantarkan borang-borang yang diisi dalam peti yang disediakan.

Selain itu, para pemohon juga boleh memuat turun borang itu menerusi laman go.gov.sg/msf-covid19-support dan meletakkannya dalam peti yang disediakan itu.

Menurut Encik Lee, apabila khidmat kaunter dibuka semula pada 6 April, langkah jarak selamat lebih ketat akan dilaksanakan, "sejajar dengan langkah mengekang penularan lanjut," yang diumumkan pada Jumaat (3 Apr) oleh pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19.

Encik Lee menekankan dengan pelancaran sistem permohonan online minggu depan, para pemohon tidak perlu mengunjungi kaunter-kaunter bagi memohon bantuan.

"Anda hanya perlu SingPass, akaun PayNow dan dokumen sokongan. Jika anda dinilai layak menerima (bantuan ini), sokongan kewangan akan dihulurkan kepada anda menerusi PayNow," katanya.

Beliau juga mengingatkan para pemohon supaya jangan tergesa-gesa kerana permohonan akan diterima sehingga 30 April.

Dana Bantuan Sementara diumumkan pada 27 Mac, selaras dengan Belanjawan Berdaya Tahan yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen bagi menyokong pelbagai individu dan syarikat-syarikat perusahaan semasa wabak COVID-19 yang sedang melanda sekarang.

Untuk melayakkan diri bagi bantuan itu, para pemohon perlu menyediakan dokumen yang membuktikan mereka mengalami kemerosotan pada hasil pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus atau kehilangan pekerjaan, dan mereka bukan penerima bantuan ComCare.

Mereka yang menerima bantuan ComCare, juga sebuah skim kendalian MSF, sudahpun mendapat sokongan bagi menampung perbelanjaan harian mereka, termasuk bantuan wang tunai serta bantuan bagi melangsaikan bil api air dan perubatan, menurut kementerian itu.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan