Koronavirus

Images
  • ntuc
    Orang ramai berdiri di belakang pelekat yang ditampal pada lantai ketikar beratur untuk membeli makanan di sebuah pasar raya di Singapura pada 3 Apr 2020. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

Permintaan bagi makanan beku, peti pembeku melonjak sewaktu pandemik COVID-19

SINGAPURA: Sedang ramai penduduk Singapura duduk rumah sebanyak mungkin di tengah-tengah pandemik COVID-19, pasar-pasar raya di sini menyaksikan lonjakan dalam permintaan bagi makanan beku.

Sejak permulaan penularan COVID-19, NTUC FairPrice menyaksikan peningkatan dalam permintaan bagi makanan beku seperti ayam itik, makanan diproses dan sayur-sayuran, kata seorang jurucakap.

"Permintaan bagi makanan ini naik lebih 20 peratus berbanding dua bulan lalu," kata beliau.

Seorang jurucakap Dairy Farm Group memberitahui Mediacorp bahawa pasar-pasar raya Cold Storage dan Giant menyaksikan "pertumbuhan ketara dalam penjualan" bagi makanan beku antara Februari hingga Mac 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Daripada semua barang-barangan dalam kategori itu, sayur-sayuran beku seperti sayur campur, sayur berdaun, lobak, jagung dan kentang menyaksikan permintaan paling banyak, meningkat sekitar 50 peratus," kata jurucakap tersebut.

"Bagi memenuhi permintaann itu, kami sudahpun bekerjasama dengan para pembekal, mendapatkan sumber-sumber baru untuk memastikan para pelanggan kami terus mendapatkan apa yang mereka perlukan."

FairPrice juga menyatakan ia akan terus mempelbagaikan sumber-sumbernya dan bekerjasama dengan para pembekal dari negara berbeza "bagi memastikan masyarakat mempunyai bekalan stabil dalam keperluan harian pada harga yang dimampui".

"Untuk mengelakkan daripada menyimpan stok serta pembelian lambak, kami menghadkan pembelian buat sesetengah barangan yang sering dalam permintaan bagi memastikan barang keperluan akan tetap tersedia buat semua pelanggan."

Berikutan pengumuman Malaysia mengenai sekatan perjalanan ke dalam dan luar negara, FairPrice melaksanakan had pembelian baru pada 17 Mac.

Dengan lonjakan dalam permintaan bagi makanan beku, rakyat Singapura juga membeli peti pembeku untuk menyimpan pembelian mereka itu.

Peti pembeku adalah salah satu daripada barangan paling laris dijual di COURTS semasa hujung minggu setelah langkah-langkah menjaga jarak selamat diumumkan pada 3 April lalu, menurut seorang jurucakap COURTS.

"Buat masa ini, tahap inventori semakin berkurangan dan pasukan kami sedang bekerjasama dengan para pembekal untuk menyediakan lebih banyak menerusi kedai online kami."

BEZA MAKANAN BEKU DAN PRODUK SEGAR

Para pakar diet yang diwawancara Mediacorp berkata bahawa makanan beku boleh menjadi satu pilihan lain yang baik dan sihat kepada produk segar.

"Jika dikendalikan dengan baik, makanan beku boleh menjadi satu cara mudah dan dimampui untuk mengambil makanan sihat daripada setiap kumpulan makanan termasuk termasuk biji-bijian, buah-buahan, sayur-sayuran, protin serta tenusu," kata Cik Claudine Loong, seorang pensyarah di Sekolah Kimia dan Sains Hayat di Politeknik Nanyang.

Cik Loong menambah kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran beku dipilih secara segar dan lazimnya dibekukan dalam tempoh beberapa jam.

"Ini membolehkan ia mengekalkan zat dan rasanya. Perubahan kepada kandungan zat seperti karbohidrat, protin, lemak, vitamin dan mineral adalah minimal.

Kadang kala, buah-buahan dan sayur-sayuran beku bahkan mengandungi lebih banyak vitamin serta mineral berbanding makanan segar kerana ini."

Pakar pemakanan bersama Pusat Sumber Makanan dan Inovasi di Politeknik Singapura, Cik Carolyn Stephen, menekanakan bahawa jika pembeli membeli lebih banyak makanan beku, mereka seharusnya mengikut prinsip sama apabila sedang membeli makanan segar untuk memastikan diet yang seimbang.

"Mengambil makanan beku yang sama berulang kali tidak bagus kerana anda akan terlepas pelbagai vitamin dan mineral yang ada pada makanan berlainan. Sekalipun anda memilih buah-buahan beku, adalah lebih baik untuk mengadakan beberapa jenis.

"Tentu sekali, dalam jumlah sederhana. Kita tidak mahu makan makanan sama jenis secara berlebihan. Kita tidak mahu mempunyai ketidakseimbangan zat."

Cik Stephen menarik perhatian bahawa hidangan seimbang adalah yang paling penting dan merancang apa untuk disediakan lebih awal akan membantu memastikan bahawa kesemua bahan makanan, baik beku atau sebaliknya, digunakan sebelum tarikh luput.

Kedua-dua Cik Stephen dan Cik Loong menekankan bahawa makanan yang dinyahbeku tidak seharusnya dibekukan semula. Bakteria boleh menjadi lebih aktif ketika makanan dinyahbeku, kata Cik Stephen, sebagai penjelasan mengapa makanan tersebut tidak boleh dibekukan semula.

Makanan segera beku, sama seperti dalam bentuk segar, seharusnya dimakan secara sederhana, tambah Cik Loong.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/FZ/fz

Top