Skip to main content

Iklan

Iklan

Perhimpunan sosial sehingga 8 orang mungkin dibenarkan dalam Fasa 3, kata Gan Kim Yong

Perhimpunan sosial sehingga lapan orang yang diadakan di luar rumah mungkin akan dibenarkan dalam Fasa 3 berbanding hanya lima orang yang diizinkan buat masa ini, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Selasa (20 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan sosial sehingga 8 orang mungkin dibenarkan dalam Fasa 3, kata Gan Kim Yong

(Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 20 Oct 2020 08:36PM Dikemas Kini : 20 Oct 2020 08:45PM

SINGAPURA: Perhimpunan sosial sehingga lapan orang yang diadakan di luar rumah mungkin akan dibenarkan dalam Fasa 3 berbanding hanya lima orang yang diizinkan buat masa ini, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Selasa (20 Okt).

Begitu juga bagi kunjungan ke rumah, dengan tuan rumah mungkin dibenarkan menyambut sehingga lapan tetamu.

"Ini akan membolehkan keluarga-keluarga dengan lebih daripada lima anggota untuk bertemu muka dan saling beramah mesra dan interaksi secara maya tidak akan dapat menggantikan pertemuan sedemikian rupa," menurut Encik Gan di sidang media COVID-19 pasukan bertindak berbilang kementerian hari ini.

Encik Gan juga mendedahkan bahawa pihak berkuasa turut menimbangkan untuk menaikkan saiz kumpulan kepada 10 orang tetapi berpendapat bahawa ia mungkin sukar untuk menjaga jarak selamat di tempat-tempat awam seperti restoran jika seramai 10 orang menghadirinya.

Ini dikhuatiri akan meningkatkan risiko jangkitan berbanding kumpulan seramai lapan orang yang "mungkin lebih terkawal," tambah beliau.

Encik Gan turut menegaskan bahawa meskipun para penduduk mungkin tidak sabar untuk melangkah ke Fasa 3, ia tidak bermakna kita akan kembali ke normal lama.

"Kita akan terus mengekalkan langkah-langkah penting, tetapi kita juga akan membuat penyesuaian bagi membolehkan lebih banyak kegiatan dapat disambung semula," dedah Encik Gan yang turut mempengerusikan pasukan bertindak itu.

"Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, kami sudah menerapkan banyak tabiat yang baik dalam rutin harian kita dan sudah dapat menyesuaikannya dengan norma sosial kita," katanya lagi.

Selain saiz perhimpunan sosial, kapasiti bagi acara-acara berbentuk keagamaan dan majlis perkahwinan juga mungkin akan dinaikkan bagi membolehkan sehingga 50 orang di setiap zon yang berbeza, bergantung kepada saiz setiap lokasi. Buat masa ini, acara-acara sedemikian dihadkan sehingga 100 orang yang dibahagikan kepada dua zon, dengan 50 orang dalam setiap zon.

Dalam Fasa 3, langkah-langkah kawalan sempadan mungkin akan dilonggarkan seiring dengan aturan perjalanan negara-negara lain, dedah Menteri Pendidikan Lawrence Wong.

Encik Wong, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian berhubung COVID-19 berkata Fasa 3 mungkin boleh bermula sebelum akhir tahun ini.

"Bilakah semua langkah ini akan dilaksanakan? Itulah yang menjadi persoalannya dan jawapannya sebenarnya bergantung kepada kita kerana jika kita saling bekerjasama dan mematuhi syarat-syarat dan langkah-langkah yang ditetapkan, kita akan berhasil mengekalkan kadar jangkitan dalam kalangan masyarakat pada paras yang rendah," menurut Encik Wong di sidang media hari ini.

"Tetapi jika kita lalai dan tidak berwaspada, kelompok-kelompok baru akan muncul dan garis masa ini mungkin akan ditangguhkan dan kita tidak tahu bilakah kita akan dapat menyambung semula kelak," tegas Encik Wong.

Dalam kenyataan medianya, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa para penduduk mesti bersedia terus diletakkan di bawah Fasa 3 bagi "tempoh berpanjangan" yang mungkin lebih daripada setahun.

"Ia memerlukan kaedah baru pada cara kita bekerja dan menjalani kehidupan sehinggalah dunia berjaya mengawal virus ini," dedah MOH.

"Fasa 3 tidak akan berbentuk statik. Jika kita dapat terus membuat penyesuaian, maka terdapat ruang untuk membuka semula dan menyambung lebih banyak kegiatan dalam Fasa 3."

Langkah-langkah ini termasuk saiz kumpulan kecil, terus menjaga jarak selamat dan sentiasa memakai pelitup," tambah MOH.

Perubahan pada saiz perhimpunan sosial atau saiz acara mungkin tidak akan berlaku serentak," menurut Encik Gan.

"Sesetengah langkah ini mungkin akan dilaksanakan secara bertahap-tahap. Kita mungkin akan mengubah saiz kumpulan terlebih dahulu atau kita juga mungkin akan mengubah kegiatan yang berskala besar," kata Encik Gan sambil menggesa orang ramai supaya jangan terlalu mengharapkan perubahan-perubahan yang sangat ketara apabila Fasa 3 bermula kelak.

"Ia bergantung kepada keadaan dan ia juga bergantung kepada pelbagai ujian perintis yang sedang kami jalankan buat masa ini."

"Sebenarnya, Fasa 3 ... adalah satu pencapaian besar memandangkan kita sudah melaksanakan (langkah-langkah keselamatan) yang sewajarnya untuk melindungi diri kita dan kita harus mengekalkan langkah-langkah waspada ini," tegas beliau lagi. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan