Koronavirus

Images
  • workers sg
    Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Jeremy Long)

Peraturan tempat kerja dilonggarkan tapi sebahagian firma 'tunggu & lihat'

SINGAPURA: Bermula Isnin ini (5 Apr), sebuah pasukan 10 anggota di Certact Engineering, kesemuanya akan berada di pejabat buat pertama kali dalam tempoh setahun.

Pasukan itu, yang mengendalikan pentadbiran, penjualan dan perkara-perkata lain bukan berkaitan dengan pengeluaran di firma kejuruteraan jitu tempatan, terbahagi dua sejak pandemik COVID-19 mula menular. Mereka bergilir ganti datang ke pejabat dan bekerja dari rumah.

Namun dengan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 di tempat kerja dilonggarkan, pasukan itu secara sukarela memilih untuk kembali bertugas sepenuh masa di pejabat.

Bagi pasukan lebih besar syarikat itu, aturan pasukan berasingan tetap dikekalkan.

Certact Engineering buat masa ini menggajikan 53 pekerja.

Pengarah Urusan Ellis Eng berkata tugas pasukan 10 anggota itu memerlukan mereka berurusan dengan para pembekal dan juga pasukan pengeluaran syarikat itu.

Bertugas dari rumah menjadikan proses-proses tersebut agak rumit bagi sesetengah orang.

"Ini memang caranya dalam industri pengilangan semikonduktur," kata beliau.

"Meskipun mereka secara sukarela mahu kembali ke pejabat, saya juga memberitahu mereka, jika mereka mahu
bekerja dari rumah, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa."

Untuk membolehkan lebih ramai pekerja kembali ke pejabat dan dalam masa yang sama memastikan langkah-langkah pengurusan selamat dipatuhi, syarikat itu menjadikan sebuah bilik mesyuarat sebagai ruang kerja.

"Kami perlu membuat penyesuaian memandangkan pejabat kami tidak begitu besar," kata Cik Eng, sambil menambah bahawa pelindung-pelindung juga sudah dipasang untuk bertindak sebagai penghadang antara meja-meja kerja.

PERATURAN DILONGGARKAN MULAI 5 APR

Minggu lalu, pihak berkuasa Singapura mengumumkan bahawa kuota pekerja yang boleh kembali ke tempat kerja akan dinaikkan kepada 50 peratus hingga 75 peratus mulai 5 April.

Had sedia ada sekarang memerlukan para pekerja bekerja dari rumah bagi sekurang-kurangnya separuh waktu kerja mereka juga akan ditarik balik.

Aturan kerja berasingan juga tidak lagi diwajibkan.

Sekalipun demikian, para majikan digesa supaya terus mengasingkan waktu mula kerja bagi para pekerja mereka dan melaksanakan waktu kerja fleksibel selagi boleh.

Sekatan-sekatan masih dilaksanakan bagi mencegah para pekerja daripada berinteraksi secara fizikal dengan pekerja dari jabatan-jabatan lain, sementara langkah-langkah keselamatan sedia ada seperti menjaga jarak selamat dan membersihkan dengan kerap ruang-ruang yang dikongsi mesti diteruskan.

Di Mastercard, kakitangannya diberi kebebasan untuk menentukan jumlah hari mereka ingin bekerja di pejabat mulai 12 April, kata Naib Presiden Eksekutif bagi Penghantaran Pelanggan di Asia Pasifik, Shafi Shaikh.

Buat masa ini, para pekerja hanya boleh bekerja di pejabat maksimum 10 hari setiap empat minggu.

Mereka yang mahu memasuki pejabat mesti mendaftar menerusi sistem online yang memantau had seharian, yang akan dinaikkan kepada 75 peratus mulai 12 April.

Menurut Mastercard, ia terus menggalak pekerjanya yang menaiki pengangkutan awam supaya mengelak waktu sibuk.

Langkah-langkah keselamatan lain seperti pemeriksaan suhu badan di pejabat juga akan dikekalkan.

"Menerusi komunikasi berterusan dengan para pekerja kami, termasuk tinjauan ke atas kakitangan, mereka memberitahu bahawa mereka menghargai kelonggaran ini tetapi juga mahu dibenarkan kembali ke pejabat," kata Encik Shaikh, sambil menambah pendekatan syarikatnya akan terus "memberi perhatian kepada kelonggaran yang tetap menjaga keselamatan".

TUNGGU DAN LIHAT

Beberapa syarikat lain pula masih tidak akan melakukan apa-apa perubahan buat masa ini.

Apabila dihubungi Mediacorp, Google mengesahkan bahawa kembali ke pejabat "kekal dilakukan secara sukarela" sehingga September bagi kakitangannya di merata dunia.

Gergasi teknologi itu menyatakan kakitangannya yang bekerja di negara-negara berbeza daripada negara di mana mereka diambil bekerja akan diberikan tempoh lebih panjang untuk kembali ke pejabat sehingga 1 September.

Namun mereka yang memerlukan tempoh lebih panjang lagi "boleh membuat permohonan untuk melanjutkannya berdasarkan keadaan luar biasa atau kesulitan".

Semasa pandemik ini mencecah paras kemuncaknya, Google membenarkan sebahagian kakitangannya untuk berpindah ke luar negara atas sebab-sebab peribadi, seperti kembali ke negara asal masing-masing.

Twitter, yang pada tahun lalu membenarkan kakitangannya bekerja dari rumah "buat selamanya" jika mereka mahu berbuat demikian, menyatakan pasukannya "masih menilai" kelonggaran yang diberikan bagi tempat-tempat kerja.

"Twitter adalah salah satu syarikat pertama yang menggunakan model bekerja dari rumah sejak awal pandemik COVID-19 dan kami tidak menjangkakan untuk menjadi antara yang pertama untuk kembali ke pejabat, menurut syarikat itu menerusi kiriman emel kepada Mediacorp.

"Oleh itu, jika kakitangan kami dapat bekerja dari rumah dengan berkesan dan mereka mahu meneruskannya sampai bila-bila, kami akan membenarkannya."

Sebanyak 60 peratus pekerjanya di Singapura sudah menyuarakan keinginan untuk terus bekerja dari rumah.

Dalam pada itu pejabatnya sudah bersedia untuk menyambut pekerja yang ingin kembali ke tempat kerja atau meneroka aturan kerja hibrid," tambah syarikat itu.

Syarikat pemula Moovaz, yang pejabatnya terletak di Ayer Rajah Crescent, menyatakan ia tidak terburu-buru untuk menukar aturan kerja hibrid sedia ada dan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga bulan depan atau menjangkaui tempoh itu.

Buat masa ini, 43 pekerjanya boleh bekerja dari rumah sehingga empat hari seminggu.

Jadual bergilir ganti yang digunakan memastikan hanya 30 peratus kakitangan berada di pejabat pada satu-satu masa, menurut ketuanya Miki Ng.

Menurut Moovaz, ia sudah membuat beberapa perubahan lain pada proses-proses kerja dalam tempoh setahun lalu, seperti lebih bergantung kepada sistem berdasarkan pengkomputeran awan.

Ia juga sudah memperuntukkan belanjawan untuk membantu kakitangan menokok perlindungan insurans peribadi supaya meliputi risiko-risiko yang mungkin timbul daripada bekerja dari rumah, antara lain.

Dengan produktiviti serta semangat kakitangannya tidak terjejas disebabkan oleh aturan bekerja dari rumah, ia menambah perubahan-perubahan itu mewujudkan "sedikit kesulitan yang membuatkannya tidak begitu mudah" untuk kembali kepada cara bekerja seperti sebelum berlaku pandemik.

Begitu juga bagi agensi pemasaran dan komunikasi Archetype, yang sekarang ini membolehkan pekerjanya bekerja dari pejabat hanya jika mereka mahu berbuat demikian.

Oleh kerana pejabat itu menetapkan had 20 hingga 40 peratus kakitangan di tempat kerja pada satu-satu masa, mereka perlu menempah slot terlebih dahulu.

Cik Mabel Chiang, pengarah urusannya di Singapura, berkata terdapat keprihatinan tentang perjalanan ke tempat kerja sebelum tersedia vaksin.

"Jadi kami memberikan pilihan fleksibel di mana pekerja boleh menempah slot untuk datang ke pejabat jika mereka mahu," beliau memberitahu Mediacorp.

"Itu aturan kami buat masa ini yang akan diteruskan sehingga vaksin diberikan kepada lebih ramai orang awam."

Bertugas dalam perniagaan pakar runding, Cik Chiang berkata syarikat itu tidak memerlukan kakitangannya untuk berada di pejabat secara fizikal. Pandemik ini mengajar syarikat tersebut supaya tangkas dan maju dalam keadaan norma baru, tambah beliau.

Contohnya, agensi itu sudahpun melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu memastikan kesejahteraan kakitangannya dengan menggalak pasukan-pasukan supaya mengelak mengadakan mesyuarat perniagaan pada hari Jumaat dan mengirimkan emel selepas pukul 7.00 malam.

Cik Chiang menambah aturan kerja hibrid itu sedang dipertimbangkan bagi jangka panjang, seperti membolehkan kakitangannya bekerja tiga hari di pejabat dan bakinya dari rumah.

Apabila itu berlaku, ia mungkin mengatur semula ruang pejabat dengan meniadakan sebahagian meja untuk mewujudkan lebih banyak ruang kerja bersama, kata beliau. 

- CNA/NK/nk

Top