Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga makanan dari rumah hadapi kekurangan bekalan bahan

Pada Ahad (10 Mei), Azeezul Rahmat - seorang pembuat kuih - mengunjungi beberapa pasar raya dan beratur di luar kedai bekalan membuat kuih Phoon Huat selama dua jam. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga makanan dari rumah hadapi kekurangan bekalan bahan

Cik Siti Hartini Hamdi (tiga dari kiri) dengan para pelajar di sebuah bengkel membuat kek yang belia anjurkan sebelum pemutus rantaian jangkitan bermula pada awal April 2020. (Gambar ihsan: Siti Hartini Hamdi)

Diterbitkan : 13 May 2020 12:42PM Dikemas Kini : 13 May 2020 12:45PM

SINGAPURA: Pada Ahad (10 Mei), Azeezul Rahmat - seorang pembuat kuih - mengunjungi beberapa pasar raya dan beratur di luar kedai bekalan membuat kuih Phoon Huat selama dua jam. Beliau berharap dapat membeli segala bekalan yang diperlukan untuk menyambung semula perniagaan kecil-kecilannya dari rumah, Baking Alley, pada Selasa (12 Mei) setelah terpaksa ditutup buat dua minggu. Namun akhirnya, beliau hanya mampu melihat rak-rak yang kosong.

"Kami tidak dapat cari tepung atau esen vanila dan bekas-bekas yang kami gunakan untuk mengisi kuih habis dijual," kata pemuda berusia 28 tahun itu. Dihimpit keadaan itu, beliau tidak dapat kembali mengambil pesanan daripada para pelanggan minggu ini seperti yang dirancang pada mulanya.

Perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau HBB dimaklumkan pada 25 April bahawa sebagai sebahagian daripada langkah lebih ketat untuk menghadkan kegiataan perniagaan dan sosial serta membendung penularan COVID-19, ia perlu menghentikan operasi jika pengendaliannya melibatkan pengambilan atau penghantaran makanan. Sekitar seminggu kemudian, Pemerintah mengumumkan HBB boleh meneruskan semula operasi pada 12 Mei.

Penutupan itu menjejas banyak perniagaan makanan dari rumah dan terutamanya menjejas mereka yang sudahpun menerima tempahan bagi Hari Raya Aidilfitri, yang jatuh pada 24 Mei ini.

Meskipun sekatan ditarik balik tepat pada masanya untuk perniagaan seumpama itu memenuhi tempahan Hari Raya, ramai peniaga berdepan satu lagi halangan berbeza - kekurangan bahan dan bekalan untuk membakar kuih.

Beberapa penjual online di wadah-wadah seperti Facebook dan Carousell menawarkan barang-barangan itu tetapi meletakkan harga yang sangat tinggi.

Encik Azizul berkata: "Kami malah menimbangkan untuk membeli daripada penjual online tetapi apabila melihat satu botol kecil esen vanila diletakkan pada harga S$16 sedangkan ia biasanya berharga hanya sekitar S$2, kami memutuskan untuk tidak membelinya."

Ia adalah satu keputusan yang sukar baginya. Pada tahun-tahun sebelumnya, semasa bulan Ramadan dan menjelangnya Syawal, beliau boleh meraih sehingga S$1,000 setiap minggu, S$500 lebih banyak daripada apa yang biasanya diraih pada bulan-bulan lain.

Senarai penjual di Carousell pada 10 Mei 2020 yang menjual sebotol “artificial vanilla flavour” 25 ml pada harga S$14. 

Pembuat kuih sepenuh masa, Cik Siti Hartini Hamdi, 39 tahun, mempunyai pengalaman serupa. Beliau ternampak satu senarai penjualan di Carousell pada Ahad bagi sebotol “perisa vanila buatan” 25 mililiter bagi harga S14.

"Saya tidak menjangkakannya. Penjualan semula edisi terhad patung mainan Hello Kitty daripada McDonald’s boleh masuk akal tetapi kini mereka betul-betul mengambil kesempatan ke atas keadaan kami. Jika anda ingin mencari wang lebihan, ini bukan caranya," kata Cik Siti.

Apabila Mediacorp meninjau laman akaun penjual Carousell berkenaan pada Selasa (12 Mei), senarai penjualan itu sudah dipadamkan.

Lazimnya, Cik Siti boleh menjual 100 set kek dalam sebulan tetapi sekarang beliau hanya mampu menerima separuh daripada pesanan itu pada Mei.

Seorang lagi pemilik perniagaan dari rumah yang tidak dapat menyambung semula sepenuhnya operasinya buat masa ini ialah Cik Fatimah Silma Ifthikar, 42 tahun. Cik Fatimah menjual makanan seperti epok-epok dan pastri lain seperti risol.

"Saya perlu mengembalikan sejumlah besar wang juga kepada sesetengah pelanggan kerana kekurangan tepung dan serbuk roti dan rasanya seperti saya perlu mencari merata tempat untuk mendapatkan barang-barang itu. Harganya tinggi dan seperti tidak berbaloi sekarang ini," katanya.

Pada Ahad, Cik Fatimah mengunjungi kedai Phoon Huat bersama anak perempuannya dalam percubaan untuk mendapatkan bahan-bahan diperlukan tetapi akhirnya mendapat tahu bahawa kedai itu - yang menjual produk khusus bagi keperluan membakar kuih dan kek - melaksanakan sistem penjarakan selamat yang ketat. Para pelanggan hanya akan dibenarkan masuk berdasarkan sistem nombor terakhir kad pengenalan mereka.

"Kami tidak boleh pergi bersama-sama pun. Masa menunggu di kedai itu lama dan belum tentu anda akan dapat apa yang anda cari. Selain itu, kedai tersebut memberi masa hanya 10 minit untuk membeli-belah sebelum membunyikan loceng dan waktu anda sudah tamat," kongsi beliau.

Memandangkan bahan-bahan sukar untuk diperolehi, kumpulan Facebook SG Home Bakers menjadi tempat para pembuat kuih saling berkongsi dengan satu sama lain tentang bahan-bahan yang dilihat ada dalam bekalan di pasar raya atau kedai di merata negara.

Cik Siti berkata: "Misalnya, seseorang akan memuat naik catatan jika stok esen vanila sudah kembali dijual di pasar raya NTUC Jurong West atau tepung ada di sebuah kedai di Punggol. Apabila saya melihat seseorang memuat naik sesuatu yang saya mungkin perlukan, saya akan meminta bantuan suami untuk mendapatkannya."

Sementara itu, sesetengah orang lain tampil untuk membantu rakan pembuat kuih dengan cara berlainan. Cik Eslynn Shu, 37 tahun, seorang pembantu pentadbiran sepenuh masa yang juga mengendalikan perniagaan kek secara kecil-kecilan dari rumah, berkata beliau memberikan bekalannya kepada kawan-kawan Muslimnya.

Walaupun Cik Shu sudah terbiasa membuat kek dan menjual sekurang-kurangnya 15 kek dalam sebulan, untuk bulan ini, beliau mengambil hanya enam pesanan.

"Saya juga menyertai kumpulan-kumpulan Facebook secara aktif dan kami berkongsi bahan-bahan. Mana-mana pasar raya yang saya pergi, jika saya ternampak sebarang bahan membuat kuih atau kek yang mereka mungkin perlukan, saya akan kemas kini dalam kumpulan tersebut."

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan