Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga M'sia jangka alami kerugian jualan Tahun Baru Cina akibat sekatan pergerakan

Ini setelah kerajaan sekali lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hampir semua negeri untuk mengawal jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terus melonjak.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga M'sia jangka alami kerugian jualan Tahun Baru Cina akibat sekatan pergerakan

Petaling Street, KL lengang jelang Tahun Baru Cina. (Gambar: Vincent Tan)

Diterbitkan : 20 Jan 2021 09:02AM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 09:04AM

KUALA LUMPUR: Para peniaga di Kuala Lumpur dan di negeri-negeri lain sebelum ini menjangkakan mereka akan sibuk beberapa minggu menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Namun jangkaan itu meleset dan kini mereka bersiap sedia bagi kemungkinan mengalami kerugian.

Ini setelah kerajaan sekali lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hampir semua negeri untuk mengawal jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terus melonjak.

Apabila Mediacorp meninjau-ninjau kawasan Petaling Street, dikenali sebagai 'Chinatown' Kuala Lumpur pada minggu lalu, suasananya sepi dan lengang berbanding biasa, dengan hanya beberapa kedai yang masih dibuka. Para penjual bagaimanapun, enggan ditemu bual.

Lazimnya, kawasan itu akan sesak dengan orang ramai dan ditutup kepada trafik. Dalam beberapa minggu menjelang Tahun Baru Cina pula, para pengunjung biasanya akan berpusu-pusu ke sana untuk membeli-belah.

Kawasan Petaling Street sebelum ini pernah ditutup, semasa Malaysia melaksanakan PKP pertama pada pertengahan bulan Mac tahun lalu untuk membendung penularan COVID-19.

Namun, PKP kali kedua yang dilaksanakan sejak 13 Januari memburukkan lagi keadaan memandangkan sekarang ini suasana di kawasan itu biasanya menjadi antara yang paling sibuk dan musim yang paling menguntungkan para peniaga Petaling Street.

Kedai kek dan pastri Fung Wong di Jalan Hang Lekir, adalah antara segelintir perniagaan yang masih dibuka di kawasan tersebut.

Encik Melvin Chan, pemilik generasi keempat, berkata pendapatan daripada perniagaannya menjunam sejak permulaan PKP.

Pada petang hari beliau diwawancara, beliau memberitahu Mediacorp kedainya menerima sebanyak 12 pelanggan sejak dibuka pada pukul 8.00 pagi.

"Kebanyakannya datang hanya untuk membeli beberapa kotak biskut atau kek. Biasanya pada waktu ini pelanggan datang membeli banyak biskut sehingga berbeg-beg dan kadangkala datang berulang kali," kata beliau.

Secara keseluruhan, hasil penjualannya menjunam sehingga 95 peratus, kata beliau.

Beliau juga sedang meneroka menjalankan perniagaannya dan memasarkan produknya secara online sejak separuh kedua tahun 2020. Namun usaha untuk mendapatkan pelanggan menerusi cara itu masih tidak menentu.

"Sejujurnya, saya mengalami kerugian setiap hari saya membuka kedai - saya masih membayar gaji pekerja, bil api air, bahan-bahan yang hendak digunakan dan berlaku pembaziran," kata Encik Chan.

Seorang pelanggan yang datang ke kedai itu, Steven Tan, berkata beliau merupakan pelanggan tetap kedai tersebut. Beliau masih datang kerana beliau tahu kedai Fung Wong akan tetap dibuka.

"Hari ini saya datang dan beli kerana saya berasa agak lapar tetapi saya tetap beli sedikit (biskut) untuk Tahun Baru Cina walaupun nampaknya kami tak dapat meraikannya secara tradisional tahun ini," kata Encik Tan.

SYARIKAT BORONG TERJEJAS

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur , Ang Say Tee, berkata keadaan di Petaling Street sekarang adalah yang paling sepi dalam sejarah seabad kawasan itu.

"Para peniaga serba salah. Dalam satu aspek, kerajaan kata anda boleh teruskan perniagaan seperti mereka yang menjual makanan. Tetapi dalam masa yang sama orang ramai tidak boleh melakukan perjalanan lebih daripada 10 kilometer daripada kediaman mereka untuk membeli makanan. Jumlah kes COVID-19 yang tinggi setiap hari juga membuatkan orang ramai takut untuk keluar," kata Encik Ang.

Kedai-kedai di Petaling Street menjual barangan musim perayaan seperti pakaian, ditutup mengikut protokol PKP. Terdapat juga perniagaan-perniagaan lain yang memutuskan untuk tidak beroperasi memandangkan jumlah pengunjung yang begitu sedikit di kawasan tengah bandar itu.

Encik Ang, yang juga menerajui Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia, berkata para pemborong terjejas dan berdepan kesukaran untuk menghasbiskan bekalan pakaian baru daripada lebih 50 kontena perkapalan yang ditempah sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Satu cara untuk para peniaga Petaling Street memulihkan keadaan adalah dengan menulis kepada Dewan Badaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka merayu jika SOP boleh diperketat supaya para peniaga boleh kembali berniaga sekurang-kurangnya sebelum musim perayaan itu.

"Sekarang, sekitar 95 peratus daripada 773 peniaga berlesen menutup perniagaan mereka. Jika diberikan kelonggaran utnuk sekitar 70 hingga 80 peratus perniagaan dibuka semula, kita akan dapat melihat perniagaan dan kegiatan dijalankan dalam tempoh terhad ini," kata Encik Ang.

PERMINTAAN BARANGAN HIASAN, HAMPER MASIH TINGGI

Meskipun di tengah-tengah PKP dan jangkaan bahawa sambutan Tahun Baru Cina kurang meriah tahun ini, permintaan bagi barangan perhiasan dan hamper masih tinggi, menurut sesetengan peruncit.

Kedai Daily Save di Petaling Jaya misalnya menjual barangan hiasan, seperti tanglung merah, dekorasi bertemakan kerbau bertepatan zodiak tahun ini, bunga-bunga ceri plastik dan mercun kertas.

"Sebenarnya, sebelum PKP dilaksanakan, terdapat lebih ramai orang yang datang setiap hari. Sekarang, kami menghadkan jumlah pelanggan kepada lima orang pada satu-satu masa. Keadaan perniagaan sekarang jauh lebih lembab," kata penolong kedai Cik Low Kai Qing.

"Sesetengah pelanggan kelam kabut datang sehari sebelum PKP bermula (12 Jan) untuk membeli apa yang mereka pulang ke kampung halaman mereka," tambah beliau.

Pengarah bersama syarikat, Qeunis Cha, yang bersama-sama suaminya mengendalikan 28 kedai di sekitar semenanjung Malaysia berkata permintaan bagi barangan perhiasan masih tinggi meskipun keuntungan yang diraih mungkin kurang sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Harga penghantaran bagi barangan yang kami import juga sudah naik tetapi kami masih kekalkan harga barangan sama seperti tahun lalu.

"Wajarlah, kerana walaupun pendapatan kami kurang, pelanggan mungkin berdepan kesulitan buat masa ini. Daripada kami menyebabkan mereka tidak mahu datang, sekurang-kurangnya mereka masih boleh menghias rumah mereka bagi Tahun Baru Cina," kata beliau.

"Perniagaan kami juga lebih rancak online."

Malaysia pada Isnin (19 Jan) mencatat sebanyak 3,631 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 165,371 - dengan 39,464 kes aktif dan 619 kematian. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan