Virus Korona

Images
  • hbb happy
    Cik Lydia dan Cik Syafiqah antara peniaga dari rumah yang lahir rasa syukur dapat kembali berniaga. (Gambar-gambar: @nur.eshal.chan, @cendolkainpelikat/Instagram)

Peniaga dari rumah syukur, gembira dapat penuhi permintaan 2 minggu terakhir Ramadan

SINGAPURA: Cik Nur Lydia Jasni awalnya tidak tahu para peniaga dari rumah seperti dirinya boleh kembali berniaga dalam kurang 10 hari - atau lebih tepat lagi pada 12 Mei nanti.

Namun berita baik itu akhirnya diketahui selepas mendapat banyak kiriman mesej dari para pembeli setianya sendiri.

Kurang beberapa jam selepas Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong membuat pengumuman tersebut hari ini (2 Mei), peniaga Eshal's Tarts itu bahkan sudah menerima beberapa tempahan baru.


Ini langsung membuatnya kembali bersemangat untuk berniaga walaupun sebelum ini terpaksa memulangkan wang berjumlah S$500 kepada para pelanggan.

GEMBIRA TIDAK PERLU KESEMPITAN WANG LAGI

Cik Lydia berhenti membuat kuih sebaik sahaja mendapat tahu peniaga dari rumah tidak boleh meneruskan perniagaan pada tempoh 'circuit breaker', kecuali jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


(Gambar-gambar: @nur.eshal.chan/Instagram)

Dengan S$500 yang 'hangus' pula, Cik Lydia kesempitan wang sehingga terpaksa menangguhkan temu janji doktor bagi anaknya yang masih kecil dan memerlukan rawatan perubatan.

"Pengumuman yang dibuat oleh Pemerintah hari ini amat menggembirakan kami yang berniaga secara kecil-kecilan dari rumah kerana kami dapat mencari wang sepencarian kami semula," ujar Cik Lydia.

"Sebelum ini kami amat terjejas apabila segalanya harus dihentikan kerana pendapatan kami merosot sebanyak 50 peratus. Saya bergantung kepada perniagaan saya ini."

MAMPU TERIMA TEMPAHAN KECIL

Ditanya BERITAmediacorp jika beliau mempunyai perancangan untuk mengambil lebih banyak tempahan, ibu dua anak ini menjelaskan, peniaga dari rumah lazimnya hanya mampu menjual jumlah tertentu pada skala kecil.

Umumnya, operasi perniagaan mereka sangat terbatas atas pelbagai faktor.


Maka itu, kemungkinan untuk menampung kerugian yang dialami, adalah kecil.

"Permintaan pasti tinggi tetapi saya tidak boleh secepatnya berniaga dan jual dalam kuantiti besar," kata Cik Lydia.

Buat masa ini, ibu dua anak itu sudah menerima tempahan bagi kurang 30 botol bagi tart Nutellanya sahaja. Beliau juga menerima tempahan bagi kuih-kuih Raya lain.

HELA NAFAS PANJANG TIDAK PERLU CARI ALTERNATIF LAIN

Bagi Cik Syafiqah Said pula, tarikh 12 Mei yang diumumkan Pemerintah membuatnya menghela nafas lega.

Penjual Cendol Kain Pelikat ini sempat buntu mencari jalan keluar untuk terus meraih pendapatan.


(Gambar-gambar: @cendolkainpelikat/Instagram)

"Ini memang sumber pencarian keluarga saya. Jadi sewaktu 'circuit breaker' diperketatkan, kami mencari cara-cara alternatif untuk meneruskan perniagaan," kata beliau.

"Kami ada menimbangkan untuk beroperasi dari dapur pusat tetapi dengan tarikh diberi sekarang, sekurang-kurangnya kita boleh bernafas sedikit."

Cik Syafiqah juga kini sudah mula mengambil tempahan untuk mengatur jadual sebelum kembali beroperasi pada 12 Mei nanti.

GEMBIRA, TIDAK MENJANGKAKAN KHABAR INI

Tahun-tahun sebelumnya, Cik Syafiqah dan suami ada berniaga di bazar. Sungguhpun demikian, tahun ini mereka terpaksa berpuas hati dengan berniaga dari rumah sepenuhnya.

Jadi ketika dimaklumkan tidak dibenarkan berniaga dari rumah, beliau begitu bimbang kerana mata pencarian mereka terjejas. 

Khabar hari ini pula tidak dijangkakan sama sekali kerana "terlalu banyak perubahan dalam waktu singkat".


"Jumlah kes jangkitan juga turun naik kebelakangan ini. Kami dalam ketidakpastian, tidak pasti apa yang perlu kami jangkakan," kata Cik Syafiqah.

Semua itu bagaimanapun tidak lagi membebani fikirannya. Beliau sekarang perlu siap dengan atur rancangan untuk memenuhi permintaan sepanjang dua minggu terakhir bulan Ramadan.

"Permintaan pada bulan Ramadan biasanya lebih tinggi dari biasa. Lagi-lagi pula dengan keadaan COVID-19 sekarang, ramai orang duduk di rumah dan memilih penghantaran ke rumah," tambah beliau lagi.

Jumlah botol cendol yang dijual Cik Syafiqah tidak menentu tetapi boleh mencecah 100 botol sehari.

KOMITED PATUHI PERATURAN

Dengan pengumuman hari ini (2 Mei), Cik Lydia dan Cik Syafiqah tetap komited memastikan barangan mereka akan dihantar kepada pelanggan menerusi kaedah 'contactless delivery' bermula 12 Mei nanti.


Semua urus niaga dilakukan secara online sementara kiriman barangan akan dihantar ke depan pintu rumah pelanggan oleh pihak ketiga.

Dua peniaga itu juga sudah jaguh membuat penyesuaian bagi memastikan tiada interaksi antara mereka dengan penghantar kiriman barangan.  

- BERITAmediacorp/aq

Top