Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggunaan robot, teknologi di hospital bantu usaha perangi COVID-19

Penularan COVID-19 di Singapura mendorong penyedia khidmat penjagaan kesihatan untuk memanfaatkan teknologi baru bagi menanganinya. Hospital Alexandra, misalnya, menjadi hospital awam pertama memperkenalkan teknologi robotik dalam menangani penularan virus.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penularan COVID-19 di Singapura mendorong penyedia khidmat penjagaan kesihatan untuk memanfaatkan teknologi baru bagi menanganinya.
Hospital Alexandra, misalnya, menjadi hospital awam pertama memperkenalkan teknologi robotik dalam menangani penularan virus.

BERITAmediacorp meninjau bagaimana teknologi baru itu dimanfaatkan para pegawai kesihatan di hospital tersebut.

TIDAK PERLU TUNDA JANJI TEMU

Sejak penularan COVID-19 melanda Singapura, Hospital Alexandra (AH) mendapati sehingga 15 peratus dari janji temu doktor di klinik pesakit luarnya ditangguhkan pesakit.

Ada yang cuba elak ke hospital kerana takut dijangkiti COVID-19.

Mujur dengan teknologi baru, pesakit kini tidak perlu bimbang dan boleh meneruskan janji temu bersama doktor tanpa perlu ke hospital.

Sejak minggu lalu, AH merintis usaha "telemedicine" dan konsultasi maya menerusi aplikasi telefon bijak dan komputer riba.

Selain mempunyai dan tahu menggunakan peranti yang diperlukan, Dr Asrie Arsad, menjelaskan ada syarat lain bagi menilai sama ada pesakit itu boleh diperiksa secara maya atau sebaliknya.

Beliau adalah antara pegawai perubatan pertama di AH yang menjalankan kaedah tersebut.

"Pesakit-pesakit yang sesuai adalah pesakit yang daya penglihatan dan pendengaran mereka agak bagus sebab kalau tidak bagus mereka akan mengalami kesusahan menggunakan telefon bimbit atau komputer dan aplikasi yang kita gunakan iaitu aplikasi ZOOM," kata konsultan perubatan am itu.

Kaedah tersebut juga boleh dimanfaatkan pesakit yang sukar bergerak seperti pesakit lanjut usia.

Pesakit juga diberi pilihan untuk mengambil sendiri ubat mereka di farmasi hospital ataupun menerusi khidmat penghantaran ke rumah.

GUNA ROBOT KURANGKAN RISIKO JANGKITAN

Bagi para pesakit yang dijangkiti COVID-19 pula mereka akan dipantau secara maya menerusi teknologi robotik di wad khas di AH.

Dipanggil BeamPro, robot yang dipasang kamera ini boleh mengurangkan kekerapan pegawai perubatan berinteraksi secara fizikal dengan pesakit dan lantas mengurangkan risiko jangkitan.

"Dengan BeamPro kita boleh masuk wad satu kali atau dua kali sehari. Tanpa BeamPro, mungkin kita harus memasuki wad dalam empat hingga lima kali dalam satu hari," kata Dr Asrie.

Satu lagi aspek yang tidak dilupakan hospital ini adalah kebersihan hospital.

Buat pertama kalinya di hospital awam di Singapura, robot jenis LionsBot seperti diperkenalkan untuk membantu para pekerja pembersihan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di hospital memandangkan ia perlu lebih kerap dilakukan sedang negara menangani isu COVID-19.

Sebagai contoh, sebuah robot diberi nama Ella akan mengesan sebarang benda atau kotoran di hadapannya dan ia akan membersihkannya secara automatik.

Dengan penggunaan wadah baru dan tenaga tambahan dari robot, ia amat membantu bagi membolehkan para pekerja menumpukan tugas penyeliaan sekaligus menangani penularan virus dengan lebih baik lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan