Koronavirus

Images
  • amk west coast mandatory testing
    Blok 556 Ang Mo Kio Avenue 10 (kiri) dan Blok 510 West Coast Drive. (Gambar: Google Street View)

Penduduk 2 blok HDB di Ang Mo Kio & West Coast wajib jalani ujian COVID-19

SINGAPURA: Penduduk di dua blok HDB di Ang Mo Kio Avenue 10 dan West Coast Drive perlu menjalani ujian wajib COVID-19 selepas kes positif koronavirus dikesan dalam isi rumah di sana.

Kes-kes tersebut dikesan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kemungkinan berlaku penularan COVID-19 di kedua-dua kawasan itu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (31 Jul).

Sejauh ini, tujuh kes COVID-19 dikesan di lima isi rumah di 556 Ang Mo Kio Avenue 10.

Lagi 10 kes juga dikesan di lia isi rumah di 510 West Coast Drive, menurut MOH.

Kementerian itu menambah siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk menentukan hubung kait dan sumber jangkitan.

Ujian wajib COVID-19 bagi semua penduduk di 556 Ang Mo Kio Avenue 10 akan dijalankan pada Ahad (1 Ogos) di pusat pemeriksaan daerah di 8 Ang Mo Kio Street 54 (bekas tapak Sekolah Rendah Da Qiao) antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang.

Bagi penduduk di 510 West Coast Drive pula, ujian swab wajib akan dijalankan pada Ahad di astaka yang terletak bersebelahan 510 West Coast Drive.

Ujian itu juga dibuka bagi mereka yang sudahpun diuji negatif COVID-19 dari 27 Julai.

MOH mengingatkan semua penduduk agar membawa kad pengenalan mereka bagi tujuan pengenalan.

Risalah sudahpun diedarkan dan kiriman SMS juga dihantar kepada penduduk untuk memberi mereka lebih banyak butiran, menurut MOH.

“Penduduk diingatkan supaya mengikut masa janji temu mereka. Penduduk juga dinasihatkan agar memantau rapi kesihatan mereka dan berjumpa doktor dengan segera jika mereka merasa tidak sihat," tambahnya.

"Mereka yang masih menanti hasil ujian mereka dinasihatkan agar mengurangkan interaksi sosial seberapa boleh. Mereka juga harus terus memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya merasa tidak sihat." 

- CNA/FZ/fz

Top