Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemerintah perlu "kekalkan piawaian tinggi" bagi semua prasekolah

Pihak pemerintah bertanggungjawab "mengekalkan piawaian tinggi" bagi semua prasekolah agar para ibu bapa "tenang" di tempat kerja, menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Khamis (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah perlu "kekalkan piawaian tinggi" bagi semua prasekolah

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee.

Diterbitkan : 26 Mar 2020 04:30PM Dikemas Kini : 26 Mar 2020 04:34PM

SINGAPURA: Pihak pemerintah bertanggungjawab "mengekalkan piawaian tinggi" bagi semua prasekolah agar para ibu bapa "tenang" di tempat kerja, menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Khamis (26 Mac).

"Prasekolah adalah khidmat penting di Singapura. Para ibu bapa mengamanahkan anak-anak mereka ke sektor prasekolah kami agar mereka boleh pergi bekerja dengan tenang," katanya kepada para wartawan.

"Segelintir ibu bapa memiliki aturan jagaan anak alternatif dengan mudah, tetapi majoriti tidak, oleh itu mereka mesti mendapatkan khidmat jagaan anak, termasuk jagaan anak sepenuh hari."

Ini termasuk para pekerja barisan depan, seperti kakitangan hospital, doktor GP, dan industri lain seperti pekerja pembersihan, pekerja F&B dan pengangkutan awam, katanya.

Komen Encik Lee dibuat menyusuli laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada Rabu (25 Mac), yang mendedahkan kelompok baru melibatkan pusat Sparkletots kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF) di Fengshan, yang dikaitkan dengan 18 kes secara keseluruhan.

14 daripada 18 kes itu adalah kakitangan prasekolah, termasuk pengetua sekolah pusat tersebut. Empat daripada kes lain adalah ahli keluarga pengetua sekolah itu.

Dalam satu maklumat terkini, Encik Lee memberitahu para wartawan bahawa seorang lagi kakitangan prasekolah, iaitu seorang guru, disahkan pada Khamis sudah dijangkiti COVID-19.

Pada Rabu, PCF mengumumkan bahawa ia akan menutup kesemua pusatnya selama empat hari dari Khamis untuk menyemak semula dan menekankan langkah pencegahan yang dipertingkatkan dengan kakitangan serta melaksanakan kerja-kerja pembasmi kuman secara menyeluruh.

Pusat Fengshan akan ditutup selama dua minggu, dan kesemua kanak-kanak dan kakitangan yang berada di pusat tersebut dari 16 Mac hingga 24 Mac sedang dikuarantin.

Mengulas mengenai sebab kesemua pusat PCF akan ditutup selama empat hari dan bukan 14 hari, Encik Lee berkata bahawa pusat prasekolah yang lain "tidak mempunyai ramai individu yang dijangkiti". Oleh itu, tiada sebab untuk mengenakan tempoh inkubasi selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau memahami kebimbangan ibu bapa mengenai kesejahteraan anak-anak mereka, dengan segelintir kaum ibu bapa memutuskan untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke prasekolah masing-masing.

Bagi menangani isu ini, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
memutuskan untuk mengecualikan syarat kehadiran sehari dalam sebulan bagi para ibu bapa untuk melayakkan diri bagi subsidi prasekolah.

Dalam pada itu, pihak Pemerintah tidak membantah pelaksanaan langkah-langkah lebih drastik "sekiranya terdapat tanda jangkitan dari manusia-ke manusia semakin meningkat".

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan