Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah India tidak endahkan amaran tentang varian virus COVID-19

Meskipun amaran sudah diberikan, pemerintah persekutuan tidak berusaha melaksanakan sekatan-sekatan penting untuk membendung penularan virus itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah India tidak endahkan amaran tentang varian virus COVID-19

Seorang wanita di India yang mengalami masalah pernafasan dibantu dua lelaki. (Gambar: REUTERS/Adnan Abidi)

Diterbitkan : 02 May 2021 03:37PM Dikemas Kini : 02 May 2021 03:43PM

NEW DELHI: Sekumpulan penasihat saintifik yang ditubuhkan oleh pemerintah memberi amaran kepada para pegawai India pada awal bulan Mac tentang varian baru COVID-19 yang lebih mudah berjangkit dan sedang menular di negara itu.

Demikian dimaklumkan oleh lima saintis kumpulan tersebut kepada Reuters.

Meskipun amaran sudah diberikan, empat daripada saintis tersebut berkata pemerintah persekutuan tidak berusaha melaksanakan sekatan-sekatan penting untuk membendung penularan virus itu.

Jutaan orang yang sebahagian besarnya tidak memakai pelitup menghadiri pesta-pesta keagamaan dan rapat-rapat politik yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Narendra Modi, para pemimpin Parti Bharatiya Janata dan ahli politik pembangkang.

Dalam pada itu, puluhan ribu peladang terus berkhemah di New Delhi sebagai membantah perubahan-perubahan dasar pertanian PM Modi.

Negara kedua di dunia dengan paling ramai penduduk itu kini sedang bergelut untuk membendung gelombang kedua jangkitan, yang lebih meruncing keadaannya berbanding tahun lalu. Sebahagian saintis mengatakan keadaan itu diburukkan lagi dengan varian baru dan satu lagi varian yang pertama kali dikesan di Britain.

India melaporkan 386,452 kes baru pada Jumaat (30 Apr), sekali gus mencatat rekod global.

Lonjakan kes jangkitan itu merupakan krisis terbesar yang melanda India sejak PM Modi menyandang jawatannya pada 2014.

Masih belum jelas sejauh mana cara beliau mengatasi krisis itu akan menjejas dirinya atau parti politiknya.

Pilihan raya akan datang dijadualkan menjelang 2024.

Pengundian baru-baru ini dalam pilihan raya tempatan sebahagian besarnya selesai dijalankan sebelum jumlah kes yang naik mendadak menjadi lebih jelas.

AMARAN DIKELUARKAN DALAM BULAN MAC

Amaran tentang varian baru yang dibuat pada awal bulan Mac itu dikeluarkan oleh Konsortium Genetik SARS-CoV-2 India atau INSACOG. Ia disampaikan kepada seorang pegawai atasan yang melaporkan diri secara langsung kepada PM Modi, menurut salah seorang saintis itu, kata pengarah di sebuah pusat kajian di bahagian utara India yang enggan identitinya didedahkan.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada dapatan INSACOG itu disampaikan kepada PM Modi sendiri.

Pejabat Encik Modi pula tidak memberikan sebarang respons kepada permintaan bagi komen daripada Reuters.

INSACOG ditubuhkan sebagai sekumpulan penasihat saintifik oleh pemerintah pada hujung Disember khusus untuk mengesan varian-varian genomik COVID-19 yang mungkin mengancam kesihatan awam.

INSACOG menyatukan 10 makmal negara yang berupaya mengkaji varian-varian virus.

Para pengkaji INSACOG pertama kali mengesan B.1.617, yang kini dikenali sebagai varian India virus COVID-19, seawal bulan Februari lalu, kata Pengarah Institut Sains Hayat, yang juga anggota INSACOG, Ajay Parida, kepada Reuters.

INSACOG berkongsi dapatannya itu bersama Pusat Kebangsaan bagi Kawalan Penyakit (NCDC) kementerian kesihatan negara itu sebelum 10 Mac. Ia memberi amaran bahawa jangkitan itu boleh menular dengan pantas ke beberapa bahagian negara, menurut pengarah pusat kajian di utara India kepada Reuters.

Dapatan itu kemudian disampaikan kepada kementerian kesihatan India, menurut beliau.

Kementerian itu juga tidak memberikan sebarang respons apabila diminta mengulas.

Sekitar waktu itu, INSACOG mula menyiapkan draf kenyataan media bagi kementerian kesihatan. Satu versi salinannya, yang dilihat sendiri oleh Reuters, menyatakan dapatan berikut:

Varian baru India itu mempunyai dua mutasi penting kepada sebahagian virus yang melekat pada sel-sel manusia. Ia juga dikesan dalam 15 peratus hingga 20 peratus sampel daripada Maharashtra, wilayah paling teruk terjejas di India.

Draf kenyataan itu menyatakan mutasi tersebut, yang dipanggil E484Q dan L452R, adalah "sangat membimbangkan". Ia menyatakan "terdapat data virus-virus mutasi E484Q terlepas daripada antibodi-antibodi yang sangat neutral dalam kultur dan terdapat data bahawa mutasi L452R bertanggungjawab ke atas penularan yang lebih mudah dan terlepas daripada imuniti".

Dalam erti kata lain, ini bermakna versi-bersi mutasi virus itu boleh lebih mudah masuk ke dalam sel manusia dan menjejas respons imun seseorang untuk melawannya.

FRASA "SANGAT MEMBIMBANGKAN" TIDAK DINYATAKAN KEPADA UMUM

Kementerian kesihatan kemudian memaklumkan kepada umum tentang dapatan tersebut sekitar dua minggu kemudian, iaitu pada 24 Mac. Namun, apabila kenyataan itu dikeluarkan ia tidak mengandungi frasa "sangat membimbangkan".

Ia sekadar menyatakan bahawa varian-varian lebih bermasalah memerlukan langkah-langkah yang sudah dilaksanakan dipatuhi - iaitu lebih banyak ujian dan kuarantin.

Ujian yang dijalankan di India sejak itu sudah naik seganda kepada 1.9 ujian sehari.

Ditanya mengapa pemerintah tidak memberikan respons yang lebih tegas kepada dapatan tersebut, misalnya menyekat perhimpunan-perhimpunan besar, Shahid Jameel, pengerusi kumpulan penasihat saintifik INSACOG berkata, beliau bimbang pihak berkuasa tidak memberi perhatian mencukupi kepada bukti-bukti sedang mereka menggubal dasar.

"Dasar perlu dibuat berlandaskan bukti dan bukan sebaliknya," kata beliau kepada Reuters.

"Saya bimbang jika sains tidak dipertimbangkan dalam menggubal dasar. Tetapi saya tahu sampai mana kuasa saya. Sebagai saintis kami menyediakan bukti. Penggubalan dasar adalah tugas pemerintah."

Pengarah di pusat kajian di utara India pula memberitahu Reuters draf kenyataan media itu dihantar kepada birokrat paling kanan di negara itu, Setiausaha Kabinet Rajiv Gauba, yang melaporkan diri secara langsung kepada perdana menteri.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada Encik Modi atau pejabatnya dimaklumkan tentang dapatan tersebut. Encik Gauba juga tidak memberikan sebarang respons kepada permintaan bagi komen.

PEMERINTAH BENARKAN PEHIMPUNAN BESAR-BESARAN

Pemerintah India tidak mengambil langkah-langkah untuk mencegah perhimpunan yang mungkin mempercepat penularan varian baru tersebut, memandangkan jumlah kes jangkitan naik empat kali ganda menjelang 1 April berbanding sebulan sebelumnya.

PM Modi berserta beberapa leftenan atasannya dan ahli-ahli politik lain, termasuk ahli pembangkang, mengadakan rapat-rapat di politik di merata negara bagi pilihan raya tempatan sepanjang Mac hingga April.

Pemerintah juga membenarkan pesta keagamaan Kumbh Mela dijalankan sepanjang berminggu-minggu yang dihadiri ribuan penganut agama Hindu. Ia bermula sejak pertengahan bulan Mac.

Sementara itu, ribuan peladang dibenarkan berkhemah di luar ibu kota New Delhi untuk menunjuk perasaan terhadap undang-undang baru pertanian.

Untuk lebih pasti lagi, sebahagian saintis menyatakan peningkatan kes jangkitan itu lebih tinggi daripada dilaporkan dan isu itu yang tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinan politik sahaja.

"Tidak berbaloi untuk menyalahkan pemerintah," kata Saumitra Das, pengarah Institut Kebangsaan bagi Bioperubatan Genomik, yang juga sebahagian daripada INSACOG, kepada Reuters.

"TUNGGU MASA UNTUK MELETUS"

Varian India itu kini sudah menular ke sekurang-kurangnya 17 negara termasuk Britain, Switzerland dan Iran, menyebabkan beberapa pemerintah menutup sempadan mereka kepada pengunjung dari India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejauh ini belum mengisytiharkan mutasi India itu sebagai "varian membimbangkan", seperti yang dilakukan bagi varian-varian yang dikesan di Britain, Brazil dan Afrika Selatan.

Namun menurut WHO pada 27 April, model awalnya, berdasarkan susunan genom, menyarankan bahawa B.1.617 mempunyai kadar pertumbuhan lebih tinggi berbanding varian-varian lain yang menular di India.

Varian Britain, yang dipanggil B.1.1.7, juga dikesan di India pada bulan Januari, termasuk di wilayah utara Punjab, pusat utama bagi tunjuk perasaan para peladang, kata seorang saintis kanan INSACOG, Anurag Agrawal, kepada Reuters.

NCDC dan sebahagian makmal INSACOG mengesahkan bahawa kenaikan tinggi kes di Punjab disebabkan oleh varian Britain, menurut kenyataan yang dikeluarkan pemerintah wilayah Punjab pada 23 Mac.

Punjab melaksanakan perintah berkurung mulai 23 Mac. Namun ribuan peladang daripada wilayah itu kekal berada di kem-kem tunjuk perasaan di luar Delhi, dengan ramai yang berulang-alik antara kedua-dua tempat sebelum sekatan-sekatan dimulakan.

"Kami menunggu masa untuk meletus," kata Agrawal, yang merupakan pengaah Institut Genomik dan Biologi Intigratif, yang mengkaji sebahagian sampel daripada Punjab.

"Kami hanya menunggu masa ia meletus, dan perhimpunan awam adalah masalah besar dalam pandemik. B.1.1.7 adalah varian yang sangat teruk dari aspek penularannya."

Menjelang 7 April, lebih dua minggu selepas Punjab mengumumkan tentang varian Britain itu, jumlah kes mula melonjak di Delhi.

Dalam masa beberapa hari sahaja, katil-katil di hospital, kemudahan-kemudahan jagaan rapi dan bekalan oksigen mula berdepan masalah kurang bekalan di bandar itu.

Di sebahagian hospital, para pesakit yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan sukar untuk bernafas meninggal dunia sebelum mendapat rawatan. Mayat-mayat pula melimpah-ruah di tempat-tempat pembakaran mayat.

Delhi kini bergelut dengan kadar jangkitan paling buruk di negara itu, dengan lebih tiga daripada setiap 10 orang yang diuji disahkan positif virus tersebut.

Secara keseluruhannya, India melaporkan lebih 300,000 kes jangkitan sehari selama sembilan hari berturut-turut, paling teruk jika dibandingkan dengan mana-mana negara sejak pandemik itu bermula.

Angka kematian di negara itu juga sudah melonjak, dengan jumlah keseluruhannya menjangkaui 200,000 minggu ini. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan