Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemerintah ada sumber tambah sokongan bantuan jika perlu

Pemerintah mempunyai sumber untuk meningkatkan sokongan kepada perniagaan dan pekerja yang terjejas dengan COVID-19 jika penularannya berlarutan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Feb 2020 09:21PM Dikemas Kini : 22 Feb 2020 11:54PM

SINGAPURA: Pemerintah mempunyai sumber untuk meningkatkan sokongan kepada perniagaan dan pekerja yang terjejas dengan COVID-19 jika penularannya berlarutan.

Menteri Kewangan Kedua, Indranee Rajah memberi jaminan itu hari ini (22 Feb) sambil menggesa para peniaga supaya memanfaatkan Pakej Penstabilan dan Bantuan yang bernilai S$4 bilion.

Beliau berkata demikian semasa kunjungannya ke Ang Mo Kio bagi mendapatkan pandangan awam mengenai Belanjawan Negara, yang dibentangkan kelmarin (22 Feb).

Di tengah-tengah penularan COVID-19, mengekalkan pekerjaan adalah keprihatinan utama pemerintah, katanya.

Pemerintah sedang berusaha untuk menangani perkara berkenaan dengan memperkenalkan beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2020.

Antaranya adalah rebat dan pelepasan cukai seperti rebat cukai hartanah 15% bagi hartanah komersil yang layak dalam sektor runcit dan perkhidmatan makanan.

Pemerintah berharap ini dapat menggalak para pemilik hartanah untuk membantu para penyewa ruang dengan mengurangkan harga sewa.

"Apa yang kami mahu lakukan adalah menggalak tuan-tuan tanah untuk lebih sensitif tentang perkara ini dan mempunyai pemahaman bahawa secara keseluruhan kita mesti membantu satu sama lain.

"Jika tuan-tuan tanah membantu para penyewa mengatasi tempoh waktu sukar sekarang, sekurang-kurangnya mereka akan masih ada penyewa yang akan dapat terus membayar sewa pada kadar normal apabila keadaan kembali stabil," ujar Cik Indranee.

Beliau juga menggesa para peniaga supaya menggunakan rentak kegiatan yang perlahan ini supaya membina keupayaan dan meningkatkan kemahiran pekerja masing-masing.

Hanya dengan begitu, kata beliau, syarikat-syarikat akan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang-peluang apabila ekonomi pulih nanti.  

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan