Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembukaan semula masjid berjalan lancar, jemaah patuh peraturan: Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris

64 masjid merata negara dibuka semula hari ini (2 Jun 2020) untuk solat Zohor dan Asar setelah hampir tiga bulan ia ditutup disebabkan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 64 masjid merata negara dibuka semula hari ini (2 Jun 2020) untuk solat Zohor dan Asar setelah hampir tiga bulan ia ditutup disebabkan COVID-19.

Beberapa langkah keselamatan seperti mengimbas Kod QR bagi memudahkan pengesanan kontak, pemeriksaan suhu badan dan juga membersihkan tangan sebelum dibenarkan masuk ke ruang dalam masjid dilaksanakan.

Selain itu, para jemaah juga digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah dahulu sebelum ke masjid jika boleh serta membawa sejadah sendiri.

Semua peraturan ini ditetapkan dalam usaha membendung penularan virus COVID-19 dalam masyarakat.

PEMBUKAAN LANCAR DAN JEMAAH PATUHI PERATURAN

Ketika ditemui di Masjid Al-Islah di Punggol Field siang tadi, Timbalan Mufti Negara Ustaz Mohd Murat Md Aris berkata pembukaan semula masjid-masjid tempatan hari ini berjalan lancar, dengan para jemaah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

"Kita dapat lihat bahawa ia diikuti dengan baik dan masjid sebenarnya dapat melaksanakan dengan lancar dari sudut pengaturan dan juga sistem pengawalan yang dibuat. Dan para jemaah kita lihat mereka memahami dan mematuhi, " kata Ustaz Mohd Murat.

Tambahnya MUIS akan terus memperhalusi segala proses sebagai persediaan menerima lebih ramai jemaah bermula minggu depan serta fasa-fasa yang seterusnya.

"Kita akan lihat bagaimana dan Fasa 1A nanti apabila kita buka untuk solat lima waktu kita akan memantau kembali dan kita akan lihat nanti. Ini supaya apabila masuk Fasa 2 nanti akan mudah. Kita sudah tahu keadaan dan kita akan mudah lagi untuk mungkin membuka masjid untuk lebih ramai jemaah," tambah beliau.

Pemerhatian BeritaMediacorp mendapati bahawa keadaan di Masjid Al-Islah sangat teratur dan tiada jemaah yang perlu menunggu giliran untuk bersolat.

Pihak masjid itu menyatakan lebih 60 jemaah datang bersolat di sini hari ini tetapi belum ada keluarga yang memanfaatkan lima zon keluarga yang disediakan.

Beberapa jemaah yang kami temui berkata mereka akur tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan.

"Saya rasa ia tidak menyusahkan sebab saya rasa semua orang sudah biasa dengan 'circuit breaker', imbasan kod QR, 'Safe Entry'," menurut Encik Muhd Lukman Lamri yang singgah untuk bersolat sebelum meneruskan melakukan kerja penghantaran.

"Pada mulanya saya agak keliru sebab tidak biasa dengan cara sebegini. Ada segala ruang yang ditentukan yang kita tak pasti ke mana arah tapi alhamdulillah ada juga orang orang sekeliling yang sedia membantu, " kata seorang lagi jemaah Cik Herfah Dian.

PELAJARI DARIPADA PENGALAMAN SEDIAKAN RUANG SOLAT KECIL

Pengerusi Masjid, Encik Saat Matari berkata, pengalaman menyediakan ruang solat kecil sebelum ini banyak membantu dalam melaksanakan peraturan terbaru ini.

"Banyak perkara yang telah kita pelajari dan kita perbaiki pada kali ini.Misalnya tempat di mana kita tetapkan solat itu kita sediakan kerusi juga. Kemungkinan ada jemaah yang boleh berjalan tetapi untuk solat tidak boleh duduk di bawah. Jadi mereka tidak perlu lari ke tempat lain untuk mengambil kerusi atau minta minta kerusi," kongsi beliau.

Masjid ini menyatakan, lebih ramai kakitangan dan sukarelawan akan dikerahkan pada 8 Jun nanti apabila masjid dibuka untuk solat lima waktu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan