Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu teksi terjejas dek kurang permintaan mungkin dikerah sebagai 'duta pengangkutan' sementara

Pemandu teksi yang menyaksikan  pendapatan mereka merosot akibat penularan COVID-19 mungkin akan diambil bekerja secara sementara sebagai "duta pengangkutan", kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Isnin (23 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Mar 2020 06:31PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 10:30PM

SINGAPURA: Pemandu teksi yang menyaksikan pendapatan mereka merosot akibat penularan COVID-19 mungkin akan diambil bekerja secara sementara sebagai "duta pengangkutan", kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Isnin (23 Mac).

Bercakap semasa lawatannya ke stesen MRT Bright Hill yang bakal dibuka, Encik Khaw berkata duta-duta itu boleh membantu dalam memastikan jarak fizikal antara penumpang di stesen MRT untuk mencegah penularan COVID-19 selain melakukan kerja-kerja membasmi kuman di gerabak serta tempat duduk kereta api.

Beliau berkata mereka boleh diberikan kontrak sehingga tiga atau enam bulan, bergantung kepada berapa lamakah pandemik itu akan berterusan.

Idea untuk mempunyai duta pengangkutan bagi menyokong keperluan tenaga kerja yang lebih tinggi di stesen MRT bagi kerja-kerja seumpama itu disarankan kepadanya oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean, kata Encik Khaw.

Sesetengah pemandu teksi sebelum ini melaporkan pendapatan mereka merosot sebanyak 30 peratus ekoran permintaan berkurangan akibat penularan virus korona itu.

Pada Februari, pakej sokongan bernilai S$77 juta - disediakan oleh kedua-dua Pemerintah serta syarikat-syarikat teksi dan khidmat sewa kereta sudahpun diumumkan untuk membantu pemandu teksi serta kereta sewa yang terjejas oleh penularan COVID-19..

Pengendali pengangkutan seperti SMRT prihatin pendapatan pemandu teksi berkurangan semasa tempoh ini, kata Encik Khaw, yang juga Menteri Penyelaras bagi Prasarana.

"LTA akan bekerjasam dengan mereka untuk melaksanakan idea ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang," tambah beliau.

Encik Khaw berkata pemandu teksi tersebut juga boleh "dipujuk" supaya menjadi pemandu bas dan diberi latihan untuk melakukannya.

Beliau menarik perhatian langkah sedemikan juga boleh mengurangkan risiko gangguan rentas sempadan.

Langkah oleh Malaysia untuk menutup sempadannya minggu lalu sebagai sebahagian daripada Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 menjejas sekitar 2,500 rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja sebagai pemandu bas awam.

LTA, bersama-sama Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan empat pengendali bas di sini sudahpun membantu menyediakan tempat penginapan selama dua minggu di Singapura buat pekerja yang terjejas.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan