Skip to main content

Iklan

Iklan

Pelawat ke wad hospital tidak dibenarkan selama 4 minggu; lebih banyak kakitangan, pesakit, pelawat dikesan positif COVID-19

Semua lawatan ke wad hospital akan digantung selama empat minggu mulai Jumaat (24 Sep) susulan tambahan kes COVID-19 yang dikesan dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pelawat. Keadaan itu telah membebankan tenaga kerja dan kapasiti di sebilangan hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Sep 2021 07:15PM Dikemas Kini : 22 Sep 2021 10:40PM

SINGAPURA: Semua lawatan ke wad hospital akan digantung selama empat minggu mulai Jumaat (24 Sep) susulan tambahan kes COVID-19 yang dikesan dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pelawat. Keadaan itu telah membebankan tenaga kerja dan kapasiti di sebilangan hospital.

"Dengan bertambahnya kes COVID-19 dalam masyarakat, lebih banyak kes jangkitan dikesan dalam kalangan kakitangan hospital, pesakit dan pelawat," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Rabu (22 Sep).

"Pengesanan kes-kes ini telah menyebabkan wad ditutup dan kakitangan dikuarantin yang menjejas sebilangan hospital lantas membebankan kapasiti katil hospital dan tenaga kerja ketika lebih banyak katil hospital diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital."

Langkah lebih ketat itu adalah untuk "menjamin kapasiti hospital", tambah MOH. Namun sesetengah kumpulan pesakit akan dibenarkan menerima pelawat mengikut kes berdasarkan penilaian hospital.

Ini termasuk pesakit dalam keadaan tenat, pesakit kanak-kanak, ibu yang melahirkan atau selepas bersalin dan pesakit yang memerlukan bantuan jagaan tambahan daripada penjaga mereka.

Sehingga lima pelawat boleh ditetapkan bagi setiap pesakit yang dalam keadaan tenat dengan maksimum dua pelawat di sisi pesakit pada bila-bila masa. Kumpulan pesakit lain hanya dibenarkan untuk menetapkan seorang pelawat dengan hanya boleh menerima satu kawatan sehari, terang MOH.

Semua pelawat yang diluluskan dikehendaki menunjukkan keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) atau ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) sah, yang diambil dalam tempoh 24 jam sebelum setiap lawatan.

Ujian-ujian itu yang diwajibkan tidak kira status vaksinasi seseorang individu, mesti dikendalikan atau diselia oleh penyedia ujian COVID-19 yang diluluskan MOH.

Mereka yang sudah sembuh daripada COVID-19 dan boleh menunjukkan notis pengecualian ujian praacara (PET) yang sah tidak perlu menjalani ujian.

Mereka juga mesti mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat seperti memakai pelitup "dengan penapisan yang baik pada setiap masa" dan mengelak daripada makan atau minum di wad.

Pelawat juga tidak dibenarkan menggunakan tandas pesakit di wad dan mesti elak duduk di atas katil pesakit, menurut MOH.

UJIAN WAJIB BAGI PESAKIT SESETENGAH JABATAN KECEMASAN

MOH juga mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan ujian wajib ART untuk sesetengah "pesakit berisiko tinggi" di jabatan kecemasan dan klinik kecemasan 24 jam untuk mengurangkan risiko penularan di kawasan-kawasan berkenaan.

Ini sedang lebih banyak kes COVID-19 "belum menunjukkan gejala atau tidak bergejala", menurut MOH. Pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan pernafasan akut kini diasingkan daripada pesakit lain.

Pesakit yang perlu menjalani ujian termasuk mereka yang dimasukkan ke jabatan kecemasan untuk pemantauan lanjut di unit kemasukan sementara atau unit diagnostik dan rawatan lanjut.

Mereka yang dikehendaki menjalani penilaian dan/atau prosedur tanpa pelitup selama sekurang-kurangnya 15 minit juga perlu diuji. Begitu juga individu yang dibenarkan untuk menemani pesakit sedang beliau menjalani tempoh penelitian yang melebihi 30 minit.

Kos ujian ART akan diberi subsidi oleh pemerintah bagi pesakit yang sudah dan belum divaksin sehingga akhir tahun ini, menurut MOH. Namun, mereka yang menemani pesakit mungkin dikehendaki membuat bayaran bagi ujian itu, bergantung kepada pihak hospital.

MOH menambah bahawa ia sudahpun menambah kekerapan ujian pemantauan bagi kakitangan hospital serta penyedia khidmat yang bekerjasama dengan hospital untuk mengesan jangkitan COVID-19 dengan lebih awal lagi.

MOH menggesa individu dengan keadaan bukan kecemasan atau mengalami gejala ringan agar elak daripada mendapatkan rawatan di hospital dan sebaliknya berjumpa dengan doktor GP atau pusat jagaan segera.

"Bagi mereka yang bimbang mungkin dijangkiti COVID-19, anda boleh ke klinik Swab dan Hantar Rumah (SASH)," tambah MOH.

"GP SASH akan menilai berapa teruk gejala anda dan menjalankan ujian diagnostik COVID-19 apabila perlu untuk mengesahkan status kesihatan anda.

"Ini akan membolehkan mereka dengan penyakit lebih teruk dan memerlukan jagaan kecemasan segera untuk dirawat dengan lebih cepat dan membantu menjamin kapasiti hospital bagi mereka yang benar-benar memerlukan jagaan hospital."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan