Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja promosi Guardian di ION Orchard antara kes COVID-19 tanpa hubung kait pada Jumaat

Singapura melaporkan tiga kes baru COVID-19 dalam masyarakat, setakat tengah hari Jumaat (11 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja promosi Guardian di ION Orchard antara kes COVID-19 tanpa hubung kait pada Jumaat

(Gambar fail: Caroline Chia/Reuters)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 11:28PM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 11:29PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan tiga kes baru COVID-19 dalam masyarakat, setakat tengah hari Jumaat (11 Jun).

Ketiga-tiga kes itu tidak mempunyai hubung kait buat masa ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Tiga kes itu yang dikesan menerusi proses pemantauan, melibatkan seorang pekerja promosi di cawangan Guardian di ION Orchard, seorang pekerja pembersihan di Raffles City Tower dan One Raffles Quay serta seorang anak kapal di bot tunda Marina Ariel.

MOH menyatakan termasuk pekerja promosi Guardian itu, ION Orchard kini mempunyai tiga pekerja yang diuji positif. Kes itu sedang disiasat.

Bagi "memutuskan sebarang rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh pada premis", pusat beli-belah itu akan ditutup selama empat hari mulai Sabtu (12 Jun), menurut MOH.

Pusat beli-belah itu akan dibuka semula pada 16 Jun.

TIGA KES TANPA KAITAN

Pekerja promosi Guardian itu adalah seorang wanita Singapura berusia 57 tahun yang disenaraikan sebagai kes 64135.

Beliau mengalami tekak kering pada Isnin (7 Jun) namun tidak mendapatkan rawatan perubatan. Wanita itu kemudian sakit telinga pada Khamis (10 Jun) dan mendapatkan rawatan di poliklinik di mana beliau menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

Kedua-dua keputusan ujian itu positif pada hari yang sama. Keputusan ujian serologinya pula negatif.

Pekerja pembersihan itu pula merupakan seorang wanita Singapura berusia 50 tahun yang digajikan oleh Campaing Complete Solutions dan adalah kes 64139.

Wanita itu tidak bergejala dan dikesan apabila beliau menjalani ujian pada Khamis sebagai sebahagian daripada ujian pemantauan bagi pekerja pembersihan di pusat beli-belah.

Hasil ujiannya positif COVID-19 pada hari yang sama manakala keputusan ujian serologinya negatif bagi antigen N, menunjukkan kehadiran jangkitan awal.

Beliau mendapat dos pertama vaksin COVID-19 pada 1 Mei dan dos kedua pada 29 Mei.

Kes melibatkan anak kapal pula adalah seorang lelaki Indonesia berusia 38 tahun yang digajikan oleh Marina Offshore.

Beliau mengalami demam pada Isnin namun tidak mendapatkan rawatan perubatan. Lelaki itu kemudian mengalami kehilangan deria bau dan rasa pada Rabu sebelum sakit kepala dan seram sejuk pada Khamis. Beliau melaporkan simptom yang dialami pada hari yang sama lalu dibawa ke hospital dan diuji bagi COVID-19.

Beliau tidak turun kapal sebelum itu.

Keputusan ujiannya positif COVID-19 pada Jumaat manakala hasil ujian serologinya belum diperolehi.

KES IMPORT

Enam kes import turut dilaporkan hari ini yang mana mereka sudah dikenakan notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan sebaik tiba di sini. Lima daripadanya adalah rakyat Singapura atau penduduk tetap Singapura yang baru pulang ke sini.

Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan sembilan kes baru COVID-19 pada Jumaat.

KEMAS KINI UJIAN HOUGANG AVENUE 8

MOH pada Jumaat juga memberi kemas kini tentang ujian wajib yang dijalankan di beberapa blok HDB di Hougang.

Seramai 4,384 pelawat ke Blok 506 Hougang Avenue 8 serta penduduk dan pengunjung tujuh blok berhampiran tampil secara sukarela untuk menjalani ujian, tambahnya.

Semua ujian didapati negatif COVID-19.

Pada 3 Jun, Blok 506 dikenal pasti sebagai kelompok baru jangkitan COVID-19, menyebabkan pihak berkuasa melakukan pusingan kedua ujian di sana.

Setakat Jumaat, Singapura melaporkan 62,245 kes COVID-19 dan 34 kematian. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan