Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pekerja pembersih di hospital lebih berisiko dijangkiti COVID-19 berbanding kakitangan ICU

Kemungkinan seorang pegawai unit jagaan rapi di hospital dijangkiti COVID-19 adalah jauh lebih rendah berbanding pekerja pembersihan dan kakitangan kesihatan lain di jabatan yang dianggap berisiko rendah, menurut kajian beberapa hospital di Britain semasa puncak pandemik itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja pembersih di hospital lebih berisiko dijangkiti COVID-19 berbanding kakitangan ICU

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Sep 2020 10:43PM Dikemas Kini : 12 Sep 2020 10:58PM

LONDON: Kemungkinan seorang pegawai unit jagaan rapi di hospital dijangkiti COVID-19 adalah jauh lebih rendah berbanding pekerja pembersihan dan kakitangan kesihatan lain di jabatan yang dianggap berisiko rendah, menurut kajian beberapa hospital di Britain semasa puncak pandemik itu.

Kajian itu juga mendapati penduduk berkulit hitam, Asia dan etnik minoriti hampir dua kali ganda mungkin dijangkiti berbanding rakan sekerja berkulit putih.

Dapatan itu menyusuli beberapa kajian sebelum ini yang menunjukkan suku kaum, pendapatan dan peruntukan peralatan pelindungan peribadi (PPE) mempengaruhi risiko jangkitan kepada virus tersebut.

Menurut penyelidik mereka yang bekerja di unit jagaan rawatan rapi diberi keutamaan dari segi peruntukan pelitup peringkat paling tinggi dan peralatan perlindungan lain.

"Kami anggap pekerja jagaan rapi hadapi risiko tertinggi ... Tetapi pekerja di (unit rawatan rapi) dilindungi dengan lebih baik berbanding dengan jabatan lain," kata pengarang utama Alex Richter, seorang profesor imunologi di University of Birmingham.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Thorax, para penyelidik menguji lebih 500 kakitangan di Dana Amanah Yayasan NHS Hospital Universiti Birmingham, yang mengendalikan beberapa hospital dan menggajikan lebih 20,000 kakitangan.

Semua kakitangan bekerja pada lewat April, apabila jumlah kes mencapai kemuncaknya sekitar sebulan setelah UK melaksanakan sekatan pergerakan.

34.5% PEKERJA PEMBERSIHAN PERNAH DIJANGKITI

Para penyelidik menawarkan dua jenis ujian berbeza kepada kakitangan yang tidak menunjukkan gejala - satu untuk melihat jika mereka sudah dijangkiti dan satu lagi untuk mengesan antibodi yang menunjukkan bahawa mereka sebelumnya pernah menghidap virus itu.

Hampir 2.5 peratus kakitangan - 13 daripada 545 - diuji positif bagi SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

Para pengkaji juga mengambil contoh darah dari 516 kakitangan dan mendapati bahawa 24 peratus daripada mereka mempunyai antibodi virus tersebut. Ini berbanding dengan 6 peratus pada umumnya di kawasan Midlands di England pada ketika itu.

10 daripada 29 pekerja pembersihan yang terlibat dalam kajian itu atau 34.5 peratus - mempunyai antibodi virus itu yang membayangkan bahawa mereka pernah dijangkiti.

Kadarnya serupa bagi kakitangan klinisyen yang bekerja dalam perubatan akut dan perubatan dalaman umum - masing-masing 33 peratus dan 30 peratus - sedangkan kakitangan yang bekerja di unit jagaan rapi mempunyai kadar terendah (15 peratus, atau sembilan daripada 61 peserta).

Para pengarang kajian berkata tidak jelas daripada kajian pemerhatian mereka jika kadar jangkitan yang lebih tinggi di kalangan sebilangan kakitangan "berpunca daripada risiko pendedahan lebih tinggi kepada virus, atau risiko jangkitan lebih tinggi jika terdedah".

"Walau apa pun sebabnya, penemuan ini menuntut kajian lebih lanjut yang mendesak, terutama memandangkan perbezaan etnik dalam hasil COVID-19," kata mereka.

LINDUNGI KAKITANGAN

Sejumlah kajian ke atas penduduk mendapati bahawa golongan minoriti di Britain dan Amerika Syarikat lebih berkemungkinan meninggal dunia akibat COVID-19 berbanding pesakit berkulit putih.

Satu kajian yang diterbitkan pada bulan lalu dalam jurnal The Lancet Public Health mendapati pekerja kesihatan barisan hadapan tiga kali ganda lebih berkemungkinan diuji positif COVID-19 berbanding masyarakat umum pada awal pandemik, dengan kadar itu meningkat kepada lima kali ganda bagi kakitangan perubatan dari etnik minoriti.

Mengulas mengenai kajian di Thorax itu, Tim Cook, seorang profesor mengenai ubat pelali di Universiti Bristol, berkata hasil kajian itu menyokong penyelidikan yang membayangkan bahawa mereka yang bekerja dalam jagaan intensif berisiko lebih rendah daripada kakitangan di bahagian lain di hospital.

Beliau menambah bahawa kajian baru-baru ini juga seakan menunjukkan bahawa pesakit lebih berjangkit pada awal jangkitan mereka. Maka itu, kemungkinan mereka menyebarkan virus itu apabila dirawat dalam wad jagaan rapi adalah lebih randah.

"Mereka yang merawat pesakit di peringkat lebih awal penyakit mungkin lebih berisiko dan ini memberi kesan bagi pengurusan semua kakitangan yang menjaga pesakit di wad," tambahnya. 

Sumber : AFP/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan