Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai penguatkuasaan jarak selamat boleh masuk rumah tanpa waran untuk periksa peraturan COVID-19 dipatuhi

Pegawai penguatkuasaan jarak selamat boleh masuk, memeriksa dan menggeledah "pelbagai premis, termasuk tempat tinggal", tanpa waran untuk memeriksa sama ada  peraturan COVID-19 dipatuhi, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (2 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai penguatkuasaan jarak selamat boleh masuk rumah tanpa waran untuk periksa peraturan COVID-19 dipatuhi

Dalam video sepanjang tujuh mini di Instagramnya, Nick Mikhail berkeras bahawa pihak berkuasa "mencerobohi" rumahnya dan mereka memerlukan waran untuk memeriksa kediamannya. (Petikan video: nickmikhailrazak/Instagram)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 12:03AM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 12:07AM

SINGAPURA: Pegawai penguatkuasaan jarak selamat boleh masuk, memeriksa dan menggeledah "pelbagai premis, termasuk tempat tinggal", tanpa waran untuk memeriksa sama ada peraturan COVID-19 dipatuhi, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (2 Ogos).

URA mengeluarkan penjelasan itu selepas pelakon Nick Mikhail muat naik video di media sosial, mengenai pemeriksaan yang dilakukan pegawai polis dan pegawai URA di rumahnya, yang pada awalnya beliau gambarkan sebagai dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dalam video selama tujuh setengah minit itu, yang sudah ditonton lebih 100,000 kali di Instagram, Encik Nick Mikhail mempersoalkan mengapa para pegawai berkenaan memasuki rumahnya tanpa waran atau perintah mahkamah.

Menurutnya, beliau tidak berada di rumah ketika itu dan isterinya, yang sedang berehat di rumah, membenarkan pegawai masuk. Beliau juga bertanya mengapa seorang pegawai lelaki mengiringi isterinya ke bilik lain, meskipun ada seorang pegawai wanita ketika itu.

Sebuah video yang dirakam kamera CCTV juga dimuat naik ke akaun Instagramnya, menunjukkan para pegawai di sebuah rumah. Video tersebut ditonton lebih 60,000 kali setakat Isnin malam.

PENJELASAN URA

Dalam penjelasannya, URA menyatakan pihaknya telah menghubungi Encik Nick Mikhail untuk "menjawab keprihatinan beliau".

Menurutnya para pegawai memberi respons kepada "aduan berulang kali" dari penduduk di estet itu bahawa beberapa rumah, termasuk rumah Encik Nick Mikhail, "mengadakan perjumpaan dengan jumlah pengunjung melebihi had yang dibenarkan".

"Terdapat juga aduan mengenai bunyi bising dari pertemuan yang didakwa itu," tambah URA.

Di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), perjumpaan sosial dihadkan kepada dua orang. Jumlah tetamu ke setiap rumah juga dihadkan kepada dua orang setiap hari.

"Sebagai respons terhadap maklum balas itu, para pegawai dari pelbagai agensi dikerahkan ke estet itu untuk memeriksa sama ada berlaku pelanggaran peraturan COVID-19 serta bunyi bising," kata URA.

“Pegawai penguatkuasaan jarak selamat diberi kuasa untuk memasuki, memeriksa dan menggeledah pelbagai tempat, termasuk tempat tinggal, tanpa waran, untuk memeriksa jika peraturan COVID-19 dipatuhi.

"Meskipun demikian, petugas akan mendekati setiap premis, berdasarkan keadaan setiap kes."

URA juga memberikan laporannya mengenai pemeriksaan ke atas rumah Encik Nick Mikhail. Pada hari Sabtu, enam pegawai - terdiri daripada tiga pegawai penguatkuasaan jarak selamat dari URA dan tiga pegawai polis - melakukan pemeriksaan penguatkuasaan bersama di beberapa kediaman di estet tersebut, termasuk rumah Encik Nick Mikhail, kata URA.

"Setibanya di kediaman Encik Nick Mikhail, para pegawai melihat pintu pagar terbuka lebar dan lampu di rumah dihidupkan," tambahnya.

"Mereka juga melihat dua kereta diletakkan di luar rumah tersebut, dan lantas menghampirinya untuk memastikan sama ada terdapat pengunjung di unit tersebut dan jika jumlahnya berada dalam batas yang dibenarkan."

Tambahnya, para pegawai mengetuk pintu rumah dan mengenalkan diri mereka. Mereka juga menjelaskan tujuan lawatan setelah seorang wanita membuka pintu.

"Beliau bersetuju untuk membenarkan para pegawai masuk, dan mengiringi mereka untuk memudahkan pemeriksaan di dalam rumah," kata URA.

"Ketiga-tiga pegawai penguatkuasaan jarak selamat, yang salah satunya adalah wanita, mengikuti wanita itu dalam satu barisan untuk menjalankan pemeriksaan,

"Pada akhir pemeriksaan, wanita itu telah pergi untuk mengambil kad pengenalannya dengan salah seorang pegawai penguatkuasaan jarak selamat mengikutinya untuk mengambil maklumat.

"Seorang pegawai polis dan pegawai penguatkuasaan jarak selamat wanita menyertai mereka dalam bilik tersebut tidak lama kemudian."

URA menyatakan pemeriksaan tersebut selesai dalam kurang 10 minit dan pegawai-pegawai berkenaan meninggalkan rumah itu untuk memeriksa kediaman lain di kawasan tersebut setelah memastikan bahawa tidak ada orang lain di rumah Encik Nick Mikhail.

"Pegawai penguatkuasaan jarak selamat dan polis bersikap sopan terhadap penghuni wanita tersebut dan memperlakukannya dengan hormat sepanjang pemeriksaan dijalankan," kata URA. 

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan