Skip to main content

Iklan

Iklan

PBB beri amaran pandemik COVID-19 cetuskan krisis kesihatan mental

Penularan COVID-19 berisiko mencetuskan krisis kesihatan mental global lantas tindakan segera perlu diambil bagi menangani penderitaan psikologi yang ditimbulkan oleh pandemik itu, gesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Anggaran Waktu Membaca:
PBB beri amaran pandemik COVID-19 cetuskan krisis kesihatan mental

(Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 14 May 2020 06:00PM Dikemas Kini : 14 May 2020 06:09PM

GENEVA: Penularan COVID-19 berisiko mencetuskan krisis kesihatan mental global lantas tindakan segera perlu diambil bagi menangani penderitaan psikologi yang ditimbulkan oleh pandemik itu, gesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun perlindungan kesihatan fizikal menjadi perhatian utama ketika ini, PBB juga memberi amaran bahawa wabak COVID-19 juga menyebabkan tekanan mental melibatkan sejumlah besar penduduk dunia.

"Selepas berpuluh-puluh tahun pengabaian dan kekurangan pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan mental, pandemik COVID-19 kini menjejas keluarga dan masyarakat dengan tekanan mental tambahan," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam satu pesanan video.

"Sekalipun apabila pandemik itu dapat dikawal, kesedihan, kegelisahan dan kemurungan akan terus mempengaruhi orang ramai dan masyarakat," katanya.

Taklimat PBB itu menggariskan tekanan mental terhadap orang yang takut mereka mahupun orang tersayang akan dijangkiti atau mati akibat COVID-19, yang mengorbankan hampir 300,000 orang di seluruh dunia sejak pertama kali muncul di China akhir tahun lalu.

Ia juga memberi kesan psikologi ke atas sebilangan besar orang yang kehilangan atau berisiko kehilangan mata pencarian, terpisah daripada orang tersayang atau menderita di bawah perintah sekatan pergerakan yang mendadak.

"Kita tahu bahawa situasi semasa, ketakutan dan ketidakpastian, kemelut ekonomi – semuanya menyebabkan atau boleh menyebabkan tekanan psikologi," kata Devora Kestel, Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semasa satu taklimat maya.

Pekerja jagaan kesihatan dan responden pertama, yang beroperasi di bawah 'tekanan luar biasa', sangat terdedah, kata Kestel, merujuk kepada laporan berita yang menunjukkan peningkatan insiden bunuh diri dalam kalangan kakitangan perubatan.

Sebilangan besar kumpulan lain juga berdepan cabaran psikologi tertentu yang ditimbulkan oleh krisis itu. Kanak-kanak yang dihalang ke sekolah, misalnya, berdepan ketidakpastian dan keresahan.

Begitu juga wanita, mereka turut berdepan dengan peningkatan risiko keganasan rumah tangga berikutan orang ramai banyak menghabiskan masa terkurung di rumah.

Sementara itu, warga emas serta pesakit yang menghidap penyakit kronik dan dianggap sangat berisiko dijangkiti virus tersebut, berdepan tekanan meningkat terhadap ancaman jangkitan.

Mereka yang disahkan mempunyai masalah psikologi pula mungkin melihat keadaannya bertambah teruk. Ini apabila akses untuk mendapatkan rawatan biasa dan terapi bersemuka mungkin tidak dapat dilakukan.

Taklimat dasar PBB pada Khamis (14 Mei) menekankan pelbagai kajian di peringkat kebangsaan menunjukkan tekanan mental sedang meningkat dengan cepat.

Satu kajian di wilayah Amhara di Ethiopia menunjukkan 33 peratus penduduk menderita gejala yang berkaitan dengan kemurungan, 'peningkatan dua kali ganda' daripada sebelum pandemik.

Kajian lain menunjukkan tekanan mental meningkat di tengah-tengah krisis sebanyak 60 peratus di Iran dan 45 peratus di Amerika Syarikat, kata Kestel.

Beliau juga merujuk kepada kajian di Kanada yang menunjukkan hampir separuh pekerja jagaan kesihatan berkata mereka memerlukan sokongan psikologi.

Taklimat PBB itu menekankan mengenai keperluan untuk semua negara menyediakan akses kepada sokongan psikososial dan penjagaan mental kecemasan dalam semua aspek tindak balas terhadap pandemik berkenaan.

Ia menggesa kepentingan menambah bagi pelaburan dalam bidang itu dengan menyatakan bahawa sebelum krisis, negara-negara secara purata hanya memperuntukkan dua peratus daripada peruntukan kesihatan awam untuk sokongan kesihatan mental. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan