Skip to main content

Iklan

Iklan

Pas kerja mungkin dibatalkan jika enggan bersurai, tidak patuhi syarat perhimpunan

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (26 Mac) memberi amaran bahawa para pekerja asing yang tidak mematuhi syarat-syarat perhimpunan yang ditetapkan boleh menyebabkan pas kerja mereka ditarik balik jika mereka gagal untuk bersurai apabila disuruh berbuat demikian oleh pihak berkuasa.  

Anggaran Waktu Membaca:
Pas kerja mungkin dibatalkan jika enggan bersurai, tidak patuhi syarat perhimpunan

Bangunan Kementerian Tenaga Manusia. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 26 Mar 2020 04:55PM Dikemas Kini : 26 Mar 2020 04:57PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (26 Mac) memberi amaran bahawa para pekerja asing yang tidak mematuhi syarat-syarat perhimpunan yang ditetapkan boleh menyebabkan pas kerja mereka ditarik balik jika mereka gagal untuk bersurai apabila disuruh berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Peraturan itu diperketatkan selepas Pemerintah Singapura pada Selasa (24 Mac) mengumumkan langkah-langkah lebih tegas yang menghadkan perhimpunan di luar sekolah dan tempat kerja kepada maksimum 10 orang sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani penularan wabak COVID-19 sekarang ini.

Dalam suratnya kepada para majikan, MOM menyatakan para pekerja asing juga digalakkan supaya mengamalkan jarak selamat semasa hari rehat mereka dan ia akan menjalankan pemeriksaan secara aktif untuk "menyuraikan sebarang perhimpunan".

"Memandangkan perhimpunan-perhimpunan dalam kalangan pekerja asing biasanya ramai, MOM akan mengambil tindakan untuk menyuraikan perhimpunan itu sebagai langkah berjaga-jaga tambahan," menurut surat itu.

"MOM akan meningkatkan pemeriksaan. Para pekerja yang tidak mengikut arahan akan dibatalkan pas kerja mereka."

Para pekerja asing yang mengadakan pertemuan di ruang-ruang tertutup juga perlu mematuhi peraturan terkini mengenai saiz perhimpunan," dedah surat itu.

"Mereka harus mengelakkan perhimpunan di tempat-tempat awam atau mengunjungi tempat-tempat yang penuh sesak seperti Little India."

Para pekerja asing sangat-sangat diharapkan agar mereka jangan meninggalkan tempat kediaman mereka pada hari rehat mereka.

MOM menambah para pekerja yang mempunyai tugas untuk dilakukan sepatutnya menggunakan kemudahan di bilk asrama mereka atau sedekat mungkin.

Pusat-pusat riadah akan terus dibuka pada waktu ini.

Mereka yang masih meninggalkan tempat kediaman mereka perlu menghadkan masa di luar dan pulang sejurus selepas mereka menghabiskan tugas mereka, kata MOM.

Pekerja juga perlu terus mengamalkan kebersihan diri yang baik dan mengurangkan hubungan fizikal dengan tidak berjabat tangan atau berkongsi makanan dan mengekalkan jarak yang selamat dengan orang lain.

Surat itu turut meminta para majikan supaya memaklumkan pekerja mereka mengenai nasihat yang dikeluarkan oleh kementerian itu.

Sekatan terkini mengenai saiz perhimpunan akan berkuat kuasa pada 11.59 malam ini (26 Mac).

Semua tempat hiburan seperti kelab malam, disko, kelab karaoke, panggung wayang dan teater akan ditutup, sementara khidmat keagamaan serta semua kelas tuisyen dan pengayaan yang berasaskan di pusat-pusat juga akan digantung.

Singapura melaporkan 631 kes COVID-19 setakat Rabu (25 Mac) dengan dua kematian dikaitkan dengan penyakit itu, seorang wanita Singapura berusia 75 tahun dan lelaki Indonesia berusia 64 tahun. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HK/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan