Skip to main content

Iklan

Iklan

Pakar kecewa dengan golongan enggan divaksin tetapi untuk mewajibkannya bukan mudah

Sebagai seseorang yang merawat pesakit COVID-19, Dr David Lye, Pengarah Pejabat Kajian Penyakit Berjangkit dan Latihan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), berkata beliau sudahpun bercakap kepada "beribu-ribu orang" dan sentiasa menyampaikan satu mesej kepada mereka: Dapatkan vaksin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar kecewa dengan golongan enggan divaksin tetapi untuk mewajibkannya bukan mudah

Para anggota masyarakat menunggu di sebuah kawasan pemerhatian selepas mereka menerima vaksinasi COVID-19. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 18 Sep 2021 09:12AM Dikemas Kini : 18 Sep 2021 09:13AM

SINGAPURA: Sebagai seseorang yang merawat pesakit COVID-19, Dr David Lye, Pengarah Pejabat Kajian Penyakit Berjangkit dan Latihan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), berkata beliau sudahpun bercakap kepada "beribu-ribu orang" dan sentiasa menyampaikan satu mesej kepada mereka: Dapatkan vaksin.

Sebagai seorang penyelidik dan saintis, Dr Lye mengaku beliau kecewa apabila bertemu dengan individu yang layak secara perubatan untuk mendapatkan vaksin tetapi memilih untuk tidak mengambilnya. Namun, adakah beliau akan mengesyorkan untuk mewajibkan vaksin?

“Sejujurnya, saya menyokong mandat vaksin tetapi saya juga sedar kesannya ke atas para individu pada waktu-waktu begini boleh membinasakan," tambah Dr Lye.

Beliau merujuk kepada kemungkinan individu yang tidak divaksin boleh diberhentikan kerja sekiranya vaksinasi COVID-19 diwajibkan untuk seluruh negara.

Dr Lye bercakap kepada Editor Penyelia Lin Suling, penyampai bagi siaran podcast 'Heart of the Matter' pada Khamis (16 Sep).

Perkara itu dipersetujui Dr Ashley St John, Profesor Madya Program dalam Penyakit Berjangkit Baru Muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, yang juga tampil dalam episod podcast tersebut.

"Jika anda bertanya saya secara peribadi, ia adalah baik untuk mewajibkan vaksin COVID-19 tetapi saya juga memahami ada pertimbangan dasar lain menjangkaui hanya aspek saintifik."

Sejak 23 Ogos, jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat di Singapura meningkat meskipun 82 peratus penduduk sudahpun divaksin sepenuhnya. Pada masa sama, jumlah individu yang mendapatkan dos pertama mereka nampaknya hampir mendatar.

Persoalan tentang sama ada Singapura akan menjadikan vaksinasi COVID-19 satu perkara wajib dibangkitkan di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Menggariskan kadar vaksinasi yang tinggi di Singapura serta penerimaan oleh penduduk, Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary berkata kelulusan penuh vaksin COVID-19 akan terus melalui proses sewajarnya dengan Kementerian Kesihatan (MOH) memantau perkara tersebut.

KETERBATASAN MANDAT

Ia bukan hanya tentang sains, kata kedua-dua pakar itu, Vaksinasi bagi penyakit campak juga bahkan dilancarkan secara bertahap-tahap dalam beberapa peringkat dan mengambil masa hampir sedekad sebelum ia diwajibkan, kata Dr Lye.

Beliau juga membangkitkan isu tentang penguatkuasaan. "Jika seseorang enggan tampil ke pusat vaksinasi, apa yang akan anda lakukan? Anda tidak boleh pergi ke rumahnya untuk menyuntiknya, bukan?"

Akhir sekali, terdapat perincian pengawalan yang perlu dihuraikan.

Di Singapura, vaksin-vaksin mRNA daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna sudahpun diberikan kelulusan untuk kegunaan darurat bagi program vaksinasi nasional di bawah keadaan pandemik tetapi belum didaftarkan dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) kerana masih menantikan lebih banyak data perubatan.

Vaksin-vaksin lain seperti Sinovac dan Sinopharm, yang menggunakan virus belum diaktifkan, dibenarkan untuk dibawa masuk melalui satu skim berasingan bagi vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk kegunaan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetapi belum menerima kelulusan HSA.

Pilihan terbaik sekarang adalah untuk meneruskan strategi langkah-langkah berbeza. Kini, majikan sudahpun menentukan siapa yang mereka kerahkan untuk tugasan apa berdasarkan status vaksinasi.

Pada Ogos, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan MOH menggesa majikan supaya mengamalkan rejim "vaksin atau ujian" sebagai satu dasar syarikat.

Di bawah aturan itu, pekerja divaksin boleh dikecualikan daripada manfaat berkaitan COVID-19 dan mungkin menangguhkan kos berkaitan swab atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Namun, nasihat perikatan tiga pihak itu jelas bahawa "dalam apa juga keadaan sekalipun, majikan tidak boleh memberhentikan atau mengancam untuk menghentikan perkhidmatan pekerja berdasarkan status vaksinasi semata-mata".

Ini adalah satu pendekatan yang adil, kata Dr Lye, apabila mereka yang memilih untuk tidak divaksin walaupun layak secara perubatan mesti menjalani ujian rejim intensif sesuatu yang bukan sahaja menyulitkan tetapi juga memerlukan kos. Meskipun dirancang pada dasarnya untuk memastikan individu belum divaksin sentiasa berada di luar persekitaran berisiko lebih tinggi, kelemahan tersebut juga mungkin mempunyai kesan mendorong lebih ramai orang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Dr Lye bagaimanapun memberi amaran terhadap melaksanakannya secara berlebihan dan menafikan perkhidmatan asas kepada mereka yang memilih untuk tidak divaksin.

"Penting untuk ingat bahawa ada sesetengah perkhidmatan penting...yang anda tidak boleh kata 'anda tidak boleh pergi ke hospital atau naik pengangkutan awam'."

HUKUMAN SEBENAR ADALAH PENYAKIT

Hukuman sebenar tidak mendapatkan vaksinasi adalah ancaman penyakit teruk, kata Dr St John. Orang ramai seharusnya tahu bahawa walaupun mendapatkan suntikan adalah pilihan peribadi, menolaknya adalah satu hukuman yang dikenakan ke atas diri sendiri.

Vaksin adalah "ubat ajaib" untuk mencegah COVID-19 daripada menjadi satu penyakit yang melesukan dalam hampir 90 peratus individu yang dijangkiti. Ia juga menawarkan perlindungan kepada individu serta orang-orang yang mereka sayangi. Itu seharusnya menjadi insentif paling besar, tambah beliau.

Bagi Dr Lye pula, sekalipun dengan versi ringan penyakit itu - dengan andaian anda muda dan sihat, COVID-19 jangka panjang (long COVID) akan tetap menjejas anda, kata beliau. Data dariopada Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan, berbulan-bulan selepas jangkitan, orang ramai masih menyaksikan kesan penyakit itu.

Maka itu, ia adalah satu pilihan mudah untuk memilih antara virus dengan vaksin. "Pilih vaksin", tegasnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan