Operasi gim panjat tembok Boulder+, Climb Central terjejas akibat kes COVID-19
Operasi di dua gim panjat tembok di Singapura terjejas selepas kedua-duanya menyatakan seorang yang dijangkiti COVID-19 mengunjungi premisnya.
SINGAPURA: Operasi di dua gim panjat tembok di Singapura terjejas selepas kedua-duanya menyatakan seorang yang dijangkiti COVID-19 mengunjungi premisnya.
Boulder+ dan Climb Central mengumumkan di laman media sosial mereka bahawa ia akan melaksanakan beberapa langkah untuk menangani perkembangan itu sambil menggesa para pelanggannya untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Tidak jelas sekiranya kes-kes yang diumumkan itu merujuk kepada orang yang sama atau ada kaitan.
Climb Central menyatakan dalam laman Facebooknya pada Selasa malam (10 Mac) bahawa seorang pendaki mengunjungi premisnya di Funan pada Ahad dan disahkan dijangkiti virus korona baru itu.
Beberapa cawangan Climb Central akan ditutup antara 11 dengan 13 Mac bagi kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Cawangannya di Funan Mall akan ditutup pada 11 Mac; kemudahan di Hab Sukan akan ditutup pada 12 Mac manakala cawangan di Novena pula akan ditutup pada 13 Mac.
Climb Central menambah bahawa pengesanan hubungan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) sedang dijalankan.
"Para pendaki yang berada di kemudahan itu dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang mungkin dihubungi, Kami meminta agar anda bekerjasama sepenuhnya dengan mereka ... Kami akan terus bekerjasama dengan MOH dalam perkara ini," tambahnya.
Tiada maklumat diberikan tentang sama ada pendaki itu berada di tembok batu atau tembok bertali.
BOULDER+ GANTUNG OPERASI
Boulder+ mengeluarkan dua kenyataan di Facebook - satu pada Ahad untuk memaklumkan para pendaki tentang satu kes COVID-19 dan satu lagi kemas kini pada Selasa menyatakan terdapat dua lagi kes terkait dengan pendaki berkenaan.
Kenyataan pertama pada Ahad menyatakan pendaki yang terjejas mengunjungi gim Boulder+ di pusat beli-belah Aperia Mall di Kallang pada lewat petang Khamis lalu.
Ia menyatakan para pendaki yang berada di kawasan tersebut pada tempoh waktu itu akan dihubungi oleh MOH.
Dalam kenyataan keduanya, Boulder+ meminta mereka yang terjejas agar mematuhi peraturan MOH untuk menjalani kuarantin. Ia juga menggesa mereka yang tidak dihubungi MOH untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
"Jika anda berada di gim selepas jam 7.00 malam dan tidak dihubungi, anda harus duduk di rumah, jangan pergi dari satu gim ke satu gim yang lain dan elakkan daripada tempat sesak," menurut kenyataan itu.
"Bagi mengambil langkah berjaga-jaga tambahan pada waktu ini dan untuk membendung virus itu sebaik mungkin, kami akan menghentikan sementara operasi buat masa ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.