Skip to main content

Iklan

Iklan

Omicron dikesan di lebih banyak negara; saintis bergegas cari huraian

Varian koronavirus Omicron menular di seluruh dunia pada Ahad (28 Nov) dengan kes-kes baru dikesan di Belanda, Denmark dan Australia, sedang lebih banyak negara mengenakan sekatan perjalanan sebagai langkah membendung rakyat masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Omicron dikesan di lebih banyak negara; saintis bergegas cari huraian

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2021 09:17AM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 09:20AM

LONDON/AMSTERDAM: Varian koronavirus Omicron menular di seluruh dunia pada Ahad (28 Nov) dengan kes-kes baru dikesan di Belanda, Denmark dan Australia, sedang lebih banyak negara mengenakan sekatan perjalanan sebagai langkah membendung rakyat masing-masing.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan ia belum lagi jelas sama ada Omicron - pertama kali dikesan di selatan Afrika - adalah lebih berjangkit berbanding varian lain atau jika ia menyebabkan penyakit lebih teruk.

"Data awal mencadangkan terdapat peningkatan pada kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan tetapi ini mungkin disebabkan oleh jumlah keseluruhan orang yang terjangkit meningkat dan bukannya kerana jangkitan tertentu," Reuters memetik kenyataan WHO.

Menurut WHO, memahami tahap kemudaratan Omicron "akan memakan masa sehingga beberapa minggu".

Dalam kenyataannya, WHO menyatakan ia sedang bekerjasama dengan para pakar teknikal untuk memahami kesan varian itu ke atas langkah-langkah pencegahan sedia ada terhadap COVID-19, termasuk vaksin.

Britain menyatakan ia akan mengadakan satu mesyuarat tergempar melibatkan para menteri kesihatan G7 pada Isnin untuk membincangkan perkembangan itu, lapor Reuters.

Penguasa kesihatan Belanda menyatakan 13 kes varian Omicron dikesan dalam kalangan penumpang dari dua penerbangan yang tiba di Amsterdam dari Afrika Selatan pada Jumaat (26 Nov).

Omicron, disifatkan sebagai "varian membimbangkan" oleh WHO pada minggu lalu, berpotensi lebih berjangkit berbanding varian-varian sebelumnya. Ia kini dikesan di Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda dan Afrika Selatan.

Banyak negara mengenakan larangan atau sekatan perjalanan terhadap negara-negara di selatan Afrika untuk mengekang penularan varian itu. Pasaran kewangan menjunam pada Jumaat dan harga minyak pula merosot.

Seorang doktor di Afrika Selatan, yang menjadi antara yang pertama untuk mengesan jenis koronavirus berbeza, berkata pada Ahad bahawa gejala Omicron adalah jauh lebih ringan dan mungkin boleh dirawat di rumah.

Dr Angelique Coetzee, pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, memberitahu Reuters bahawa tidak seperti varian Delta, para pesakit sejauh ini tidak melaporkan kehilangan deria bau atau rasa. Beliau menambah tiada juga kemerosotan ketara pada tahap oksigen pesakit yang dijangkiti varian baru ini.

Pegawai tertinggi penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci, berkata rakyat Amerika harus bersiap siaga untuk melawan penularan varian baru tetapi belum jelas apakah langkah - seperti mandat mahupun perintah berkurung - yang akan diperlukan. Beliau menambah varian itu berkemungkinan sudahpun muncul di Amerika walaupun tiada kes disahkan sejauh ini.

Di Britain, kerajaan negara itu mengumumkan langkah-langkah termasuk peraturan ujian lebih ketat terhadap pelawat yang tiba di negara itu dan mensyaratkan pemakaian pelitup di sesetengah persekitaran.

Lebih banyak negara mengumumkan sekatan perjalanan baru terhadap negara-negara di selatan Afrika pada Ahad, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Omicron muncul ketika banyak negara di Eropah bergelut dengan lonjakan pada jumlah jangkitan COVID-19, dengan beberapa negara memperkenalkan semula sekatan ke atas kegiatan sosial dalam usaha menghentikan penularan.

Varian baru itu juga memberi tumpuan kepada jurang ketara pada kadar vaksinasi di seluruh dunia. Meskipun banyak negara maju sedang memberikan dos penggalak, kurang 7 peratus penduduk di negara-negara miskin sudah menerima suntikan dos pertama mereka bagi melawan COVID-19, menurut kumpulan-kumpulan perubatan dan hak asasi manusia. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan