Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NSmen diuji positif COVID-19; kelompok baru dikaitkan dengan penyelidik di NUS

Sebanyak 39 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini (17 Apr), termasuk empat kes dalam kalangan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
NSmen diuji positif COVID-19; kelompok baru dikaitkan dengan penyelidik di NUS

Gambar fail. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 17 Apr 2021 11:58PM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 12:11AM

SINGAPURA: Sebanyak 39 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini (17 Apr), termasuk empat kes dalam kalangan masyarakat.

Ia merupakan jumlah kes dalam masyarakat tertinggi yang dilaporkan sejak 21 Jan.

Dua daripada empat kes itu, ada kaitan dengan kes terdahulu, manakala lagi dua kes buat masa ini tiada kaitan dengan mana-mana jangkitan sebelumnya.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kininya malam ini.

KES 62032: JURUGAMBAR BEBAS; ANGGOTA KERAHAN PERKHIDMATAN NEGARA

Seorang anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) diuji positif COVID-19 sebelum memulakan latihan dalam kem.

Beliau menjalani ujian COVID-19 pda 15 April, sebagai sebahagian daripada protokol bagi semua NSmen sebelum memulakan latihan mereka, kata Kementerian Pertahanan pada Sabtu (17 Apr).

Jurugambar bebas warga Singapura berusia 35 tahun itu dikenal pasti sebagai Kes 62032 oleh MOH.

Keputusan ujiannya yang dilakukan secara berkelompok pada 15 April menunjukkan positif COVID-19 dan keputusan ujian swab COVID-19 secara individu pada 16 April juga positif.

Beliau kemudian dihantar menaiki ambulans ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan mengalami demam pada hari yang sama.

Satu lagi ujian yang dijalankan ke atasnya oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) pada 16 April negatif COVID-19 tetapi ujian yang dilakukan keesokan harinya, iaitu pada 17 April, juga oleh NPHL menunjukkan positif COVID-19.

Keputusan ujian serologinya juga positif. Ini menandakan jangkitan lalu.

"Beliau mungkin mengeluarkan sisa-sisa kecil RNA virus, yang tidak lagi berjangkit dan menular kepada orang lain, tetapi memandangkan kami tidak dapat membuat kesimpulan secara pasti bilakah dia dijangkiti, kami akan mengambil semua tindakan kesihatan awam yang diperlukan sebagai langkah pencegahan," menurut MOH.

2 KES DALAM MASYARAKAT DIKAITKAN DENGAN ZAMIL PENYELIDIKAN KANAN NUS

Dua kes yang dikaitkan dengan zamil penyelidikan kanan di Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah saudara lelaki dan seorang rakan kerja - warga Switzerland, berusia 31 tahun, yang juga zamil kanan penyelidikan di NUS.

Pemegang pas kerja itu yang dikenal pasti sebagai Kes 62057 telah berinteraksi dengannya pada 12 April.

Wanita itu kemudian mengalami sakit tekak pada 15 April namun tidak mendapatkan rawatan.

Oleh kerana beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 619931, beliau dihubungi oleh MOH pada 16 April dan dikuarantin.

Wanita itu melaporkan simptom-simptomnya dan kemudian dihantar menaiki ambulans ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana beliau diuji positif COVID-19.

Keputusan ujian serologi masih dinantikan.

Abang kepada zamil penyelidik NUS yang diuji positif merupakan warga India berusia 35 tahun.

Beliau bekerja di Bank DBS (2 Changi Business Park Crescent) namun pada kebanyakan masa bekerja dari rumah, kata MOH. Kali terakhir pemegang pas kerja itu kembali ke tempat kerja adalah antara 6 April dengan 9 April.

Oleh kerana beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 619931, beliau dikuarantin pada 15 April.

Beliau kemudian mengalami demam pada 16 April dan dihantar ke NCID menaiki ambulans setelah memaklumkan keadaannya kepada MOH.

Beliau kemudian diuji positif pada 17 April. Ujian serologinya masih dinantikan.

PR DIUJI POSITIF

Baki kes dalam masyarakat adalah wanita berusia 41 tahun yang merupakan penduduk tetap (PR) Singapura.

Dikenal pasti sebagai Kes 62045, beliau bertugas sebagai akauntan di firma OM Universal Pte Ltd (di 11 Kaki Bukit Road 1).

Namun, beliau sudah tidak ke tempat kerja sejak mengalami simptom.

Wanita itu mula batuk-batuk pada malam 14 April selepas kerja dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik pada keesokan harinya, di mana beliau diuji bagi COVID-19.

Keputusan ujiannya positif COVID-19 pada 16 April dan wanita itu dihantar ke NCID dengan menaiki ambulans. Keputusan ujian serologinya masih belum diperolehi.

Salah seorang kontak serumah dengan wanita itu, sebelum ini adalah kes COVID-19. Beliau merupakan pemegang pas kerja yang tiba dari India pada 2 April.

Lelaki itu diuji positif COVID-19 pada 2 April tetapi kemudian dinilai sebagai sudah sembuh berdasarkan keputusan ujian serologi pada 4 April.

Tiada kes dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan hari ini.

KES IMPORT

Sebanyak 35 kes import dilaporkan hari ini, termasuk lima rakyat Singapura dan lima penduduk tetap yang pulang dari Brazil, Mesir, India, Indonesia dan Liberia.

Lagi empat kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal.

Dua lagi melibatkan seorang pemegang pas pelajar dan pemegang pas kerja yang tiba dari India.

Sebanyak 17 kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia and the Filipina. Lapan daripadanya adalah pembantu rumah hijrahan.

Baki dua kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Bahrain dan India.

Kesemua 35 kes import sudahpun diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

KEMAS KINI KES COVID-19 TEMPATAN

Lagi 17 pesakit COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhannya, sebanyak 60,463 pesakit sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Setakat ini, 62 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih. Dua pesakit dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 253 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19.

Singapura mencatat 60,808 kes COVID-19 setakat Sabtu dengan 30 kematian.

"VIRUS BELUM DIHAPUSKAN" - MOH
"Kes dalam kalangan masyarakat baru-baru ini adalah peringatan jelas bahawa virus itu belum dihapuskan dan kes serta kelompok baru boleh timbul dengan mudah dalam kalangan anggota masyarakat jika kita tidak terus berjaga-jaga," menurut MOH.

Kementerian itu menggesa semua orang termasuk yang sudah menerima vaksin COVID-19 supaya terus memastikan tanggungjawab sosial dan berdisiplin mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.

"Ini lebih penting sedang kita menyambung semula dan menambah lebih banyak kegiatan dalam Fasa 3 pembukaan semula dan terdapat lebih banyak interaksi dalam kalangan masyarakat. Bersama-sama kita harus bekerjasama untuk mengelak sebarang penularan tidak terkawal kes-kes yang mungkin menyebabkan langkah-langkah diperketat." 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan