Skip to main content

Iklan

Iklan

New Zealand pertimbang lanjut sekatan pergerakan sedang COVID-19 terus menular

Kelompok COVID-19 di Auckland dilihat semakin merebak dan berkemungkinan sekatan pergerakan akan dilaksanakan ke atas bandar terbesar di New Zealand itu.

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand pertimbang lanjut sekatan pergerakan sedang COVID-19 terus menular

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 13 Aug 2020 02:38PM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 02:40PM

WELLINGTON: Kelompok COVID-19 di Auckland dilihat semakin merebak dan berkemungkinan sekatan pergerakan akan dilaksanakan ke atas bandar terbesar di New Zealand itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Negara, Ashley Bloomfield, berkata seorang pelajar sekolah menengah di Auckland diuji positif, menjadikan jumlah jangkitan yang disahkan sebanyak lima dengan empat lagi individu lain mungkin dijangkiti.

Malah, pihak berkuasa kesihatan turut bergegas mengarahkan sekatan pergerakan dilaksanakan selepas ujian mendapati empat anggota keluarga sudahpun dijangkiti virus korona itu daripada sumber yang tidak diketahui.

New Zealand sebelum ini bebas jangkitan COVID-19 selama 102 hari dan kini penduduk Auckland diarahkan supaya duduk di rumah selama tiga hari, berakhir tengah malam Jumaat (14 Ogos).

Bloomfield berkata "hampir pasti" bahawa lebih banyak kes akan muncul dan pasukan pekerja kesihatan sedang berusaha mengesan punca jangkitan kelompok itu.

"Inilah yang kami mahu lakukan supaya dapat mengetahui secepat mungkin bagaimana wabak ini tersebar dan siapa individu pertama yang menyebarkan virus ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebarang sekatan pergerakan yang akan dilaksanakan bergantung kepada siasatan dalam tempoh 24 jam.

Beliau menafikan satu pertanyaan mengenai sama ada virus itu diimport melalui penghantaran barang, yang kemudian menjangkiti seorang anggota keluarga lelaki yang bekerja di bilik sejuk untuk barang-barang yang diimport.

"Itu satu kemungkinan tetapi tidak mungkin dan ia sesuatu yang perlu kita tolak," kata Bloomfield sambil menambah bahawa tumpuan lain adalah sama ada jangkitan itu berpunca daripada kemudahan pengasingan yang diuruskan.

Walaupun New Zealand berjaya mengawal wabak itu dengan hanya 22 kematian dalam kalangan penduduk seramai lima juta orang, pihak berkuasa kesihatan memang menjangkakan COVID-19 akan menular semula.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan