Koronavirus

Images
  • new zealand vaccination centre
    Sebuah papan tanda menunjukkan jalan ke sebuah pusat vaksinasi di Auckland, New Zealand, pada 26 Ogos 2021. (Gambar: REUTERS)

New Zealand lapor kenaikan tertinggi kes COVID-19 dalam 6 minggu

WELLINGTON: New Zealand melaporkan kenaikan tertinggi kes jangkitan COVID-19 pada Khamis (14 Okt) dalam tempoh enam minggu, dengan semua kes dikesan di Auckland sekali gus meningkatkan kemungkinan perintah berkurung akan dilanjutkan lagi menjangkaui seminggu di bandar terbesar negara tersebut.

Sekitar 1.7 juta penduduk di Auckland dikenakan perintah ketat duduk di rumah sehingga Isnin sedang para pegawai berusaha untuk mengatasi penularan varian Delta yang amat berjangkit. Jumlah itu adalah lonjakan besar yang pertama bagi kes dalam masyarakat di negara itu sejak pandemik mula melanda.

Timbalan Perdana Menteri Grant Robertson berkata lonjakan pada jumlah kes di Auckland bukannya tidak dijangkakan "tetapi ia meningkat lebih pantas". Beliau menyalahkan perhimpunan di rumah yang dilarang sebagai punca lonjakan kes.

"Kini bukan masanya untuk berpeluk tubuh," kata Encik Robertson ketika satu sidang media di Wellington. Beliau menggesa penduduk Auckland agar mematuhi dengan tegas peraturan tiga tahap di mana kebanyakan orang dikehendaki untuk duduk di rumah melainkan ada alasan mendesak untuk keluar.

Sejumlah 71 kes tempatan baru dilaporkan di negara itu, semuanya dikesan di Auckland, naik dari 55 kes sehari sebelumnya.

Sekitar 2.49 juta rakyat New Zealand, atau kira-kira 59 peratus penduduk yang layak, sudah lengkap divaksin. Para pegawai berjanji untuk menamatkan perintah berkurung sebaik sahaja 90 peratus penduduk yang layak divaksin sepenuhnya.

Sekalipun penularan Delta tercetus, New Zealand mencatatkan hanya 4,472 kes positif COVID-19 dengan 28 kematian sepanjang pandemik melanda, jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain.  

- REUTERS/FZ/fz

Top