Virus Korona

Images
  • nz covid
    Seorang pekerja jagaan kesihatan menjalankan ujian COVID-19 di pusat ujian di pinggir bandar Northcote, Auckland, pada 12 Ogos 2020. (Gambar: David Rowland/AFP)

New Zealand lanjutkan sekatan COVID-19 seminggu lagi

MOSCOW: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengumumkan sekatan yang dikenakan akibat COVID-19 dilanjutkan seminggu lagi sehingga 21 September, menurut Agensi Berita Sputnik.

New Zealand akan kekal di bawah peraturan sekatan Tahap Dua, kata Cik Ardern pada sidang media yang disiarkan menerusi Facebook pada Isnin (14 Sep).

Sementara itu, bandar raya Auckland berada di bawah Tahap 2.5 hingga 23 September, kata perdana menteri.

Mesyuarat Kabinet pada Isnin depan (21 Sep) akan menilai semula keadaan COVID-19 di New Zealand dan sama ada sekatan akan diturunkan kepada Tahap Satu.

Menurut Cik Ardern, mulai Isnin juga syarat penjarakan fizikal dalam pesawat dan pengangkutan awam dilonggarkan namun, pemakaian pelitup masih dikuatkuasakan.

Pada Sabtu (12 Sep), ribuan penunjuk perasaan menyertai bantahan secara aman terhadap sekatan di Auckland.

Menurut Kementerian Kesihatan hanya satu kes baru didaftarkan di negara itu dalam 24 jam yang lalu. 

Setakat ini, New Zealand mencatatkan sejumlah 1,447 kes COVID-19 dengan 24 kematian.

- BERNAMA/HA/ha

Top