Skip to main content

Iklan

Iklan

Nasihat MOH: Kegiatan di masjid, madrasah masih boleh diteruskan

Kegiatan di masjid-masjid dan madrasah masih boleh diteruskan namun dengan langkah berjaga-jaga yang dikuatkuasakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Feb 2020 11:43PM Dikemas Kini : 22 Feb 2020 11:57PM

SINGAPURA: Kegiatan di masjid-masjid dan madrasah masih boleh diteruskan namun dengan langkah berjaga-jaga yang dikuatkuasakan.

Demikian nasihat daripada Kementerian Kesihatan (MOH). Ini kerana masjid merupakan tempat berkumpul bagi jemaah Muslim, sedang Singapura dilanda penularan virus COVID-19.

Nasihat itu dikeluarkan semasa Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengadakan sesi pertemuan dengan para pemimpin masjid dan madrasah pagi tadi (22 Feb).

Mengulas lebih lanjut di Facebook pada Sabtu (22 Feb) selepas pertemuan itu, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air meluahkan rasa gembira dan bangga melihat penduduk mengamalkan langkah berjaga-jaga dalam usaha membendung penularan virus tersebut.

"Sejak beberapa minggu ini, tempat-tempat beribadah di serata Singapura telah mempertingkatkan langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penularan penyakit ini. Saya gembira masjid dan madrasah kita juga aktif membersihkan ruang awam dengan lebih kerap dan menasihati jemaah, para pelajar dan ibu bapa untuk meningkatkan kebersihan diri dan sekitaran mereka.

"Saya juga bangga melihat masyarakat kita terus berganding bahu memberi penghargaan kepada para pekerja barisan hadapan seperti pekerja penjagaan kesihatan, pemandu teksi dan pembersih kita," tulis Encik Masagis menerusi Facebook tentang pertemuan tersebut.

Sesi perbincangan itu turut dihadiri Menteri Negara, Pembangunan Negara Zaqy Mohamad, para pegawai Majlis Ugama Islam Singapura seperti Ketua Eksekutifnya Esa Masood dan Timbalan Mufti Dr Nazirudin Nasir, serta para pegawai kanan Kementerian Kesihatan (MOH).

Antara langkah tambahan yang dikongsi para pegawai MOH ialah mengingatkan para jemaah agar tidak menghadiri acara keagamaan sekiranya mereka menunjukkan simptom seperti batuk, selesema atau demam, pernah ke tanah besar China dalam tempoh 14 hari lalu, atau diberikan perintah kuarantin di rumah.

Namun, langkah yang paling berkesan mencegah jangkitan adalah mengamalkan kebersihan peribadi yang baik iaitu dengan membasuh tangan dengan sabun secara kerap, dan mengelakkan menyentuh bahagian muka.

Madrasah juga perlu mengikuti garis panduan untuk sekolah-sekolah yang sedia ada dan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Timbalan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan bahawa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa menitik beratkan manfaat serta kebaikan bagi masyarakat umum. Oleh demikian, di peringkat peribadi dan negara, perubahan sewajarnya dilaksanakan bagi memastikan kehidupan socio agama masih boleh diteruskan tatkala cabaran-cabaran yang ada akibat situasi kini.

Beliau juga menambah masyarakat patut mengambil peluang ini untuk mengukuhkan nilai-nilai agama seperti tanggungjawab peribadi, penjagaan dan belas kasihan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan