Skip to main content

Iklan

Iklan

Mulai 27 Julai, individu gagal jalani ujian saringan kedua COVID-19 akan ditangkap

Bermula Isnin (27 Jul), polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
Mulai 27 Julai, individu gagal jalani ujian saringan kedua COVID-19 akan ditangkap

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Jul 2020 08:32PM Dikemas Kini : 26 Jul 2020 08:38PM

KUALA LUMPUR: Bermula Isnin (27 Jul), polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya hari ini (26 Jul), beliau berkata individu terbabit sudah diarahkan menghubungi pejabat kesihatan daerah berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua berkenaan.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan COVID-19.

Keputusan itu dibuat berikutan sikap segelintir individu yang pulang ke tanah air melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dengan keluar serta berada di tempat awam selain menanggalkan gelang tangan yang wajib dipakai dalam tempoh tersebut.

Menurut Encik Ismail Sabri, setakat ini seramai 839 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia,” katanya.

Sementara itu, seramai 617 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala 597 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pub dan kelab malam serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan