Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti perjelas, Fatwa tutup masjid, tiadakan solat Jumaat dan solat jemaah keputusan sukar tapi perlu

Hubungan kita dengan Tuhan tidak berakhir atau melemah hanya kerana tidak dapat ke masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti perjelas, Fatwa tutup masjid, tiadakan solat Jumaat dan solat jemaah keputusan sukar tapi perlu

(Gambar hiasan: Saeed Khan/AFP)

SINGAPURA: Hubungan kita dengan Tuhan tidak berakhir atau melemah hanya kerana tidak dapat ke masjid.

Demikian menurut Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam catatan di laman Instagram beliau semalam (12 Mac) menyusuli pengumuman Fatwa penutupan masjid setelah dua rakyat Singapura disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri majlis tabligh di Malaysia baru-baru ini.

"Di mana pun anda berdiri di muka bumi ini, anda adalah hambaNya. Allah memelihara hati anda.

"Jadi teruslah melakukan kebaikan. Tunaikan solat, berdoa kepadaNya, bantu orang lain, baca al-Quran, luangkan masa bersama keluarga dan bersihkan hati anda dengan dikiran yang baik-baik," tambah Dr Nazirudin.

Beliau menekankan bahawa keputusan untuk menutup masjid-masjid dan menggantung solat jemaah bukanlah sesuatu yang mudah mahupun yang mahu dilakukan.

Namun, itulah keputusan yang perlu dibuat.

"Kita sayang masjid kita kerana di sana kita merasakan ketenangan dan keamanan. kita dapat rasa kehadiran dan keampunan Tuhan.

"Tetapi, menurut Tuhan juga, kita perlu menjaga orang lain, bersikap tanggungjawab dan melindungi nyawa," ujar Dr Nazirudin.

Beliau menyeru umat Islam agar memainkan peranan masing-masing untuk melindungi masyarakat dan ini akan mengukuhkan perpaduan.

RUKHSAH: KERINGANAN GUGUR KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT

Sejak penutupan masjid diumumkan semalam (12 Mac), terdapat segelintir anggota masyarakat yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Ada juga yang bimbang kerana solat Jumaat ditiadakan. Malah, ada yang menyarankan agar solat Jumaat dilakukan di tempat-tempat terbuka atau di kolong-kolong blok.

Timbalan Pengarah, Dasar Keagamaan dan Peraturan,Ustaz Irwan Hadi Muhd Shuhaimy, menerusi catatan di laman Facebook beliau menjelaskan seperti berikut:

"Perlu ditekankan tujuan mengapa solat jemaah dan Jumaat ditiadakan buat seketika waktu adalah kerana terdapat keperluan untuk mengelakkan daripada orang berhimpun secara beramai-ramai dan meminimumkan risiko kemungkinan jangkitan (COVID-19)."

Beliau menambah, terdapat 'rukhsah' atau keringanan untuk gugur kewajipan silat Jumaat berjemaah di masjid. Oleh itu ia hanya perlu digantikan dengan solat Zohor.

"Rukhsah atau keringanan agama ini telah wujud dan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda seperti yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a. 'Sesungguhnya Allah swt suka agar rukhsah atau keringananNya dilaksanakan sepertimana Allah benci bila perbuatan maksiat terhadapNya dikerjakan' (HR Ahmad)," terang Ustaz Irwan Hady.

BUKTI ISLAM BUKAN AGAMA MEMUDARATKAN

Pendakwah bebas, Ustazah Dr. Sakinah Sabtu pula berkata, langkah menutup masjid itu tidak bermakna hilangnya rasa tawakkal.

Sebaliknya ia menjadi bukti bahawa agama Islam bukan sebuah agama yang memudaratkan. Menurut beliau, ini adalah amalan ajaran Islam yang sebenar.

"Tidaklah sebuah keputusan dimuktamadkan melainkan untuk menjaga kemaslahatan semua; Muslim atau bukan Muslim. Bukti bahawa agama kita bukan sebuah agama yang memudaratkan penganutnya. Bahkan ia adalah agama yang membentuk sebuah komuniti berjiwa rahmah," menurut Ustazah Dr Sakinah dalam catatan Facebook beliau.

Beliau menambah, ujian yang sedang diharungi dunia sekarang ini adalah ujian kita bersama.

Oleh itu, Ustazah Dr. Sakinah mengajak masyarakat untuk "letak tepi kepentingan diri demi kemaslahatan kita bersama juga". 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan