Koronavirus

Images
  • abuse
    Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

MSF gariskan bantuan dipertingkat bagi golongan berisiko terjejas COVID-19

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi-agensi pemerintah lainnya sudah mempertingkatkan langkah untuk menangani pelbagai keperluan yang timbul akibat penularan COVID-19, menurut Menteri MSF Desmond Lee pada Isnin (6 Apr).

Encik Lee menjawab soalan di Parlimen daripada Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Anthea Ong.

Cik Ong ingin tahu bagaimana MSF akan memantau dan menilai kesan COVID-19 terhadap "keluarga bergaji rendah, warga tua berpendapatan rendah, individu berlainan keupayaan, dan mereka yang mengalami kesihatan mental.

Menjawab, Encik Lee berkata: "Pejabat-Pejabat Khidmat Sosial (SSO) kami menghubungi klien ComCare dahulu dan sekarang yang diberikan perintah berkurung atau notis Jangan Keluar Rumah, sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan kewangan dan membantu menguruskan permohonan mereka jika perlu.

"Kita juga sudah memudahkan proses permohonan dengan membenarkan mereka menghantar dokumen masing-masing secara elektronik."

Encik Lee menambah bahawa MSF juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) yang menawarkan bantuan untuk membeli makanan dan barangan dapur bagi individu yang dikuarantin atau diberi notis Jangan Keluar Rumah, tetapi kurang mendapat sokongan daripada anggota keluarga atau jiran tetangga.

Selain itu, Duta Generasi Warga Emas dari Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) sudah mula menziarah warga tua yang lemah atau tinggal sendirian di rumah masing-masing untuk memberitahu mereka mengenai langkah-langkah pencegahan COVID-19.

MSF AKAN TUBUHKAN TALIAN JAGAAN NASIONAL

Cik Ong juga bertanya mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan bagi memastikan individu yang berdepan risiko keganasan keluarga terus menerima sokongan, meskipun orang ramai digalak tidak keluar rumah semasa tempoh ini.

"Kami sedang memantau suatu trend - di mana kadar keganasan keluarga lebih tinggi, pergaduhan dan perselisihan faham dalam keluarga meningkat," kata Encik Lee sebagai menjawab pertanyaan Cik Ong. "Kami akan menubuhkan talian jagaan nasional di mana sesiapa sahaja boleh menghubungi untuk mendapatkan bantuan pakar psikologi, kaunselor dan orang lain. Kami akan merujukkan individu-individu ini kepada khidmat spesialis bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang diperlukan."

Encik Lee menambah bahawa Pusat Spesialis Keganasan Keluarga dan Pusat Spesialis Pelindungan Kana-kanak adalah khidmat penting, yang akan "diberikan lebih banyak sokongan sumber semasa tempoh ini".

- CNA/NA/na

Top