Virus Korona

Images
  • MOM visit 1
    Para pegawai yang bertugas di pusat perkhidmatan MOM di Bendemeer Road menghubungi para pekerja yang menjalani LOA secara rambang. (Gambar-Gambar: Zhaki Abdullah)

MOM buat lebih 1,000 panggilan, lawatan pantau cuti wajib setiap hari

SINGAPURA: Dalam usaha membendung penularan penyakit virus korona COVID-19, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Rabu (12 Feb) bahawa ia melakukan lebih 1,000 panggilan dan lawatan setiap hari bagi memastikan agar para pemegang pas kerja mematuhi cuti wajib (LOA) selama 14 hari.

Ia berikutan pengumuman pada 6 Februari bahawa semua pekerja yang tiba dari tanah besar China perlu mengambil cuti wajib selama 14 hari.

Pada Ahad (9 Feb), MOM menyatakan ia sudah membatalkan pas kerja empat orang dan menggantung keistimewaan pas kerja enam majikan kerana didapati melanggar syarat-syarat LOA.

Felix Ong, seorang pengarah pemeriksa pengambilan pekerja di divisyen tenaga kerja asing MOM, memberitahu para wartawan pada Rabu (12 Feb) bahawa kementerian itu melaksanakan pendekatan tiga serampang apabila menguatkuasakan LOA.

Sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaannya, semua pekerja yang menjalani LOA perlu menghantar kiriman teks beberapa kali setiap hari, pada waktu-waktu yang tidak ditentukan. Mereka dikehendaki memberitahu MOM tentang tempat mereka berada dalam tempoh sejam, kata Encik Ong.

Kedua, para pegawai yang bertugas di pusat perkhidmatan MOM di Bendemeer Road akan menghubungi para pekerja itu secara rambang. Ia termasuk melakukan panggilan telefon dan video. Para pekerja perlu menunjukkan para pegawai tersebut keadaan tempat sekeiling mereka.

MOM akan menghubungi para majikan mereka sekiranya para pekerja itu tidak menjawab panggilan tersebut.

Terakhir sekali, para pegawai penguatkuasaan dari kementerian itu juga akan menjalankan pemeriksaan rambang ke atas tempat tinggal para pekerja bagi memastikan mereka mematuhi syarat-syarat LOA.

"Kami juga bertanya tentang kebajikan mereka, termasuk gaji dan sama ada para majikan masing-masing memotong gaji mereka," kata pengurus kanan operasi penguatkuasaan MOM, Keith Aw.

Tambahnya, para pegawai juga memeriksa sama ada penginapan mereka adalah sesuai sepanjang mereka menjalani tempoh LOA itu.

Meskipun semua orang yang tiba di Singapura dari China perlu menjalani LOA, MOM menumpukan usaha terhadap para pemegang pas kerja, kata Encik Ong. Beliau menambah para majikan bertanggungjawab untuk memastikan agar rakyat tempatan mematuhi LOA tersebut.


Encik Ong menarik perhatian bahawa LOA berbeza daripada kuarantin kerana individu-individu yang terjejas boleh meninggalkan kediaman mereka atas sebab-sebab seperti membeli makanan atau bagi keperluan asas lain.

Bagaimanapun, mereka yang kembali ke tempat kerja ataupun melakukan kunjungan-kunjungan tidak perlu seperti ke pawagam dianggap melanggar syarat-syarat LOA.

PENTING UNTUK SEKTOR KHIDMAT ASAS MEMBOLEHKAN PEMEGANG PAS KERJA MASUK S'PURA

MOM juga memerlukan para pemegang pas kerja sedia ada yang memasuki atau pulang ke Singapura untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian itu sebelum mereka boleh melakukan perjalanan ke sini.

Dalam satu kenyataan, MOM menyatakan ia sudahpun meluluskan sekitar 200 permohonan seumpama itu setiap hari sejak syarat-syarat itu dikuatkuasakan pada 8 Februari.

"Kami mengutamakan permohonan dalam khidmat-khidmat asas seperti jagaan kesihatan, pengangkutan dan pengurusan sisa supaya operasi dalam sektor-sektor itu tidak terjejas," kata seorang jurucakap MOM.

"Faktor-faktor lain yang turut dipertimbangkan adalah sama ada para majikan mengaturkan premis yang sesuai untuk menempatkan para pekerja itu sepanjang mereka menjalani LOA, selain pentingnya untuk membolehkan para pekerja memasuki negara secara bertahap-tahap."

Kementerian itu turut mendedahkan perincian mengenai program sokongan LOAnya. Di bawah program itu, para majikan yang layak boleh memohon $100 setiap hari bagi para pekerja yang terjejas - termasuk rakyat Singapura, penduduk tetap (PR) dan para pemegang pas kerja - yang melakukan lawatan ke tanah besar China pada atau sebelum 31 Januari.

Para majikan tersebut juga layak untuk mendapatkan pengecualian levi bagi para pekerja asing yang terjejas sepanjang tempoh LOA itu.

Mereka yang melakukan lawatan ke China selepas 31 Januari tidak layak untuk skim tersebut.

Selain itu, rakyat Singapura dan PR yang bekerja sendiri yang dikehendaki menjalani LOA juga boleh memohon untuk mendapatkan sokongan harian bernilai S$100.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh mendapatkan sokongan itu sekiranya mereka sudahpun mengatur untuk bekerja di luar tempat kerja.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/AI/ai

Top