Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH siasat pemandu trak M'sia setelah diuji positif COVID-19 di Pusat Pemeriksaan Woodlands

Dua warga Singapura dan seorang penduduk tetap yang pulang dari India dan Nepal, antara kes import hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH siasat pemandu trak M'sia setelah diuji positif COVID-19 di Pusat Pemeriksaan Woodlands

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 11:28PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 11:56PM

SINGAPURA: Sebanyak 11 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Ahad (21 Feb).

Semua kes tersebut diimport dan dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik tiba di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua warga Singapura dan seorang penduduk tetap yang pulang dari India dan Nepal, antara kes import hari ini.

Lagi tiga kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan UAE.

Satu kes merupakan pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari Myanmar manakala seorang lagi adalah pemegang pas kerja dari Mexico.

Baki tiga kes melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Indonesia, seorang daripadanya pembantu rumah asing.

Tiada kes penularan dalam masyarakat atau di dormitori pekerja asing dilaporkan.

MOH SIASAT PEMANDU TRAK MALAYSIA

MOH menyatakan ia sedang menyiasat seorang pemandu trak Malaysia yang bekerja sebagai pekerja penghantaran bebas. Lelaki itu tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada 18 Februari setelah diuji positif COVID-19 dalam Ujian Pantas Antigen (ART) di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Hasil ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang diperolehi pada 19 Feb positif.

Lelaki itu diuji negatif bagi kedua-dua ujian COVID-19 dan ART semasa lawatannya sebelum ini pada 8 Feb.

Menurut MOH, siasatannya menunjukkan lelaki itu telah pergi ke Resorts World Sentosa Casino pada 9 Feb sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

"Meskipun dia tidak dimasukkan dalam jumlah kes kerana tidak dibenarkan masuk ke Singapura sebaik ujian ARTnya positif, kami mengambil semua langkah berjaga-jaga termasuk semua kontak rapatnya yang dikenal pasti dikenakan kuarantin," kata MOH.

Resorts World Sentosa Casino di 8 Sentosa Gateway, pada Ahad, dimasukkan dalam senarai tempat awam yang dikunjungi kes dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

"Pemandu trak Malaysia tidak dibenarkan bergaul dengan anggota masyarakat selain bagi tujuan penghantaran dan tidak boleh tinggal semalaman di sini," kata MOH.

Siasatan sedang dijalankan sama ada lelaki itu melanggar peraturan COVID-19 sedia ada.
Dalam pada itu, 12 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat menjadikan 59,731 yang sudah pulih sepenuhnya dari jangkitan.

Masih terdapat 22 kes yang dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil manakala seorang di unit jagaan rapi. 87 lagi sedang diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Sehingga hari ini, Singapura mencatat 59,869 kes COVID-19, dengan 29 kematian. 

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan