Virus Korona

Images
  • masjid malaysia kosong
    (Gambar: Bernama)

Menteri ehwal agama M'sia cadang tangguh kegiatan masjid hingga tamat kawalan pergerakan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan agar semua kegiatan masjid dan surau termasuk solat Jumaat di Malaysia ditangguhkan sehingga berakhirnya pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Zulkifli dalam satu kenyataan menjelaskan cadangan itu adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April 2020 menyusuli peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini, lapor Astro Awani.

"Melihat kepada perkara ini, saya dengan rendah hati mencadangkan agar penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah perlu untuk dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP.

"Ini adalah selaras dengan Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 20 Mac 2020 yang telah bersetuju untuk mengambil ketetapan seperti berikut:

"Penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah sebelum ini, adalah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020 atau mengikut apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia dari masa ke semasa.

"Bagi perkara ini saya menyerahkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam di setiap Negeri," ujarnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- Agensi berita/EM/tq

Top