Skip to main content

Iklan

Iklan

Mengapa kita perlu ubah minda terhadap COVID-19?

Pada Jumaat (24 Sep), pemerintah mengumumkan sekatan-sekatan akan diperketatkan sedang kes-kes COVID-19 yang semakin meningkat menyebabkan "tekanan yang sangat besar" terhadap sistem jagaan kesihatan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa kita perlu ubah minda terhadap COVID-19?

Gambar: TODAYonline

Diterbitkan : 27 Sep 2021 09:55AM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 09:59AM

SINGAPURA: Pada Jumaat (24 Sep), pemerintah mengumumkan sekatan-sekatan akan diperketatkan sedang kes-kes COVID-19 yang semakin meningkat menyebabkan "tekanan yang sangat besar" terhadap sistem jagaan kesihatan negara.

Namun, menjangkaui dasar-dasar pemerintah, para pakar penyakit berjangkit berpendapat bahawa perlu ada anjakan minda terhadap COVID-19 dan perubahan pada cara menyampaikan mesej mengenai bahaya penyakit itu.

Perlu juga lebih banyak tanggungjawab peribadi dan salah satu cara para penduduk boleh berbuat demikian adalah dengan mengasingkan diri dan memantau keadaan diri sendiri di rumah berbanding langsung ke hospital.

BETAPA PENTINGNYA TANGGUNGJAWAB PERIBADI?

Demi mengurangkan tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan Singapura, Dr Leong Hoe Nam berkata bahawa tidak semestinya setiap individu yang diuji positif COVID-19 perlu dimasukkan ke hospital.

Kemasukan ke hospital disebabkan oleh jangkitan COVID-19 lebih merupakan harapan budaya dan bukan piawai jagaan yang diperlukan oleh seseorang pesakit, tambah beliau.

Profesor Ooi Eng Eong pula mendedahkan bahawa 95 peratus kes yang dilaporkan setiap hari tidak menunjukkan gejala atau mengalami gejala ringan.

"Kes-kes ini tidak memerlukan rawatan di hospital. Oleh itu, terdapat lebih banyak kapasiti pada sistem jagaan kesihatan kita untuk menangani kes-kes COVID-19 yang teruk," jelas beliau.

Jika seseorang itu tidak mengalami gejala teruk, beliau menambah bahawa sebahagian besar mereka boleh mengasingkan diri di rumah, memantau suhu badan dan tahap oksigen dengan alat mudah digunakan seperti termometer dan oksimeter dan kemudian memutuskan sama ada rawatan di hospital perlu dilakukan.

Bersikap bertanggungjawab juga termasuk membuat keputusan sama ada mereka seharusnya keluar rumah untuk bertemu orang lain dan menguji diri sendiri sekiranya mereka berasa kurang sihat.

BERAPA BERBAHAYA COVID-19?

Para pesakit juga bersetuju bahawa cara penyampaian yang menyifatkan COVID-19 sebagai berbahaya dan boleh membawa maut perlu diubah.

Ia seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mampu ditangani, terutama sekali jika seseorang itu sudah divaksin.

Profesor Paul Tambyah berkata ia harus jelas disampaikan bahawa COVID-19 umumnya adalah penyakit ringan.

Dengan mengubah cara menyifatkan COVID-19, ia akan bermakna orang ramai tidak seharusnya cemas meskipun jumlah kes mencecah ribuan kes dalam masyarakat, kata Profesor Dale Fisher pula.

Perangkaan yang patut diberikan perhatian, katanya adalah bilangan pesakit dalam unit jagaan rapi (ICU) dan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan serta golongan yang lebih mudah terjangkit termasuk mereka yang belum divaksin, warga emas dan individu yang lemah sistem imun yang baru dijangkiti.

ADAKAH LANGKAH SEKARANG INI WAJAR?

"Tiada orang yang mengatasi penyakit endemik seperti demam denggi dengan memantau dan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang mungkin dijangkiti bagi mengurangkan penularan. Kuncinya adalah menguruskan kes untuk mengurangkan beban," kata Profesor Ooi.

Oleh itu, beliau berpendapat ia tidak masuk akal untuk mengenakan kuarantin ke atas para petugas jagaan kesihatan yang tidak menunjukkan gejala dan sudah divaksin kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan