Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid persendirian, MMO turut tiadakan solat Jumaat

Masjid persendirian dan badan-badan Islam lain (MMO) turut menyokong untuk menangguh buat sementara kegiatan-kegiatan termasuk meniadakan solat Jumaat hari ini (13 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masjid persendirian dan badan-badan Islam lain (MMO) turut menyokong untuk menangguh buat sementara kegiatan-kegiatan termasuk meniadakan solat Jumaat hari ini (13 Mac).

Arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semalam (12 Mac), menyusuli pengesahan dua kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan anggota kumpulan tabligh Singapura.

Kedua-duanya adalah antara 82 anggota kumpulan tabligh lain yang menghadiri satu majlis perhimpunan besar-besaran tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor baru-baru ini.

Salah satu masjid persendirian yang menutup pintunya buat sementara dan tidak mengadakan solat Jumaat hari ini adalah Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, yang terletak di Telok Blangah Rd.

Dalam satu catatan di laman Facebooknya semalam, imam masjid itu, Imam Syafiq Noordin mengumumkan arahan dari As-Syeikh Tuan Haji Mohd Fahami Samad, iaitu Kadi Daerah Johor Bahru merangkap Pengerusi Masjid Temenggong Daeng Ibrahim:

"Setelah bermesyuarat menyatakan Masjid Temenggong Daeng Ibrahim Singapura akan ditutup bermula esok, pada 13 Mac 2020 sehingga 17 Mac 2020 selama lima hari akibat proses pembersihan masjid dari wabak virus korona atau Covid-19."

Persatuan Muhammadiyah, yang lazimnya mengadakan solat Jumaat, juga mengambil langkah mengikut usulan MUIS tersebut.

Dalam kenyataan medianya hari ini, ia menyatakan akan menutup dua cawangan Pusat Pendidikan Muhammadiyah di Jurong dan Woodlands mulai hari ini sehingga 17 Mac 2020.

"Kegiatan-kegiatan yang berlangsung di premis-premis ini akan ditangguhkan sementara pada tempoh tersebut. Ini termasuk solat Jumaat pada 13hb Mac 2020, solat fardhu berjemaah harian dan semua kelas-kelas pengajian," menurut Persatuan Muhammadiyah.

Sepanjang penutupan, kerja-kerja pembasmian kuman dan bakteria yang menyeluruh akan dijalankan.

"Kami menggesa masyarakat agar terus mengamalkan kebersihan diri dan kebertanggungjawaban sosial sepanjang tempoh ini," menurut kenyataan media itu lagi.

Orang awam yang ingin menghubungi Persatuan Muhammadiyah boleh melakukannya menerusi talian 642 7388.

Begitu juga dengan Persatuan Jamiyah, yang tidak akan mengadakan solat Jumaat hari ini.

Menerusi kenyataan media yang dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini, masjid Jamiyah akan ditutup bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Ini adalah usaha proaktif kami untuk mengurangkan kemungkinan penularan COVID-19," menurut kenyataan media tersebut.

Buat masa ini, solat Jumaat dan semua kegiatan di masjid yang terletak di ibu pejabat Jamiyah itu digantung sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

(Gambar: Facebook Jamiyah)

SURAH GHIM MOH, SURAU KAMPUNG LORONG BUANGKOK

Selain itu, dua buah surau di Singapura yang dihubungi BERITAmediacorp hari ini, menyatakan ia sememangnya tidak mengadakan solat Jumaat.

Bagaimanapun premisnya masih dibuka seperti biasa bagi sesiapa yang ingin menunaikan solat fardu.

Surau-surau itu adalah Surau Ghim Moh dan juga Surau Al-Firdaus yang terletak di Kampung Lorong Buangkok.

Sukarelawan Surau Ghim Moh, Encik Muhamad Dollah berkata: "Pada satu-satu masa, jumlah jemaah kalau mereka bersolat jemaah, mungkin antara 10 dengan 15 orang sahaja."

(Gambar: BERITAmediacorp)

Apabila ditanya tentang kerja-kerja pembersihan, Encik Muhammad memberitahu bahawa ia dijalankan setiap hari seperti biasa.

(Gambar: Surau Al-Firdaus/Facebook)

Surau Al-Firdaus pula sedang diubah elok. Buat masa ini, bahagian luaran surau itu sedang diperbaiki namun ruang solatnya masih boleh digunakan.

"Ada orang datang solat. Mungkin satu atau dua orang sekali. Itu pun mereka solat sendirian. Mungkin waktu maghrib atau isyak, adalah jemaah dalam empat atau lima orang," kata penjaga surau tersebut, Encik Sharil Abdul. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan