Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid-masjid tempatan tampil beri sokongan moral kepada pekerja Bangladesh

Saat seseorang yang kita kenali terjejas oleh COVID-19 sehingga tidak mampu berkumpul bersama, saat itulah kita semakin menghargai mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid-masjid tempatan tampil beri sokongan moral kepada pekerja Bangladesh

Masjid Al-Mukminin dan Masjid Al-Islah tampil beri sokongan moral kepada para relawan istimewa mereka. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA: Saat seseorang yang kita kenali terjejas oleh COVID-19 sehingga tidak mampu berkumpul bersama, saat itulah kita semakin menghargai mereka.

Bagi masjid-masjid di sini, ketidakupayaan meneruskan pelbagai kegiatan - termasuk acara iftar dan sahur sempena bulan Ramadan nanti - membuat pihak pengurusan berasa hiba kerana tidak dapat bersama-sama dengan para relawan yang sering menyerikan acara-acaranya.

Mereka yang dimaksudkan khususnya adalah para pekerja Bangladesh. Ramai dalam kalangan mereka kini diasingkan di dalam dormitori. Ada juga sedang melawan virus COVID-19.

Pekerja asing di S11 Dormitory @ Punggol. (Gambar: AFP)

(Gambar fail: AFP)

Namun, hubungan bermakna yang terjalin antara masjid dengan pekerja asing ini terus terpelihara. Sekurang-kurangnya dua masjid bahkan merakamkan penghargaan diiringi dengan doa dan harapan untuk mereka.

"TERIMA KASIH MASIH INGAT KAMI"

Dalam satu video dikongsi Masjid Al-Mukminin menerusi Facebook, perbualan antara Ustaz Faizal Wahab dengan seorang pekerja Bangladesh bernama Encik Mohiuddin, begitu menyentuh kalbu.

Saat bertanya khabar, Encik Mohiuddin kelihatan ceria kerana ada yang prihatin terhadapnya.

"Perdana Menteri Singapura sedang melakukan yang terbaik buat kami, para pekerja asing. Beliau benar-benar menjaga para pekerja asing di Singapura," kata Encik Mohiuddin.

"Kepada pihak pengurusan masjid, terima kasih kerana ingat kami. Kami juga mengingati anda semua," tambah beliau.

"Kami sedih Ramadan ini, kami tidak dapat membantu bagi acara iftar dan sahur. Ramadan mengingatkan kami bahawa kita satu keluarga apabila kami menjalankan acara iftar dan berkhidmat kepada mereka yang datang ke masjid."

RINDU SAAT ISTIMEWA RAMADAN

Di Masjid Al-Mukminin, pekerja-pekerja Bangladesh seperti Encik Mohiuddin sering menabur bakti sebagai sukarelawan untuk menjalankan program-program masjid.

Mereka juga sering memerah keringat membersihkan masjid. Ini dilakukan meski keletihan bekerja seharian.

Dalam video dikongsi Masjid Al-Mukminin, Encik Mohiuddin turut berkongsi, betapa Ramadan menjadi sebahagian penting kehidupan mereka yang hidup jauh dari keluarga tersayang.

"Ia bahagian sangat penting dalam kehidupan kami yang tidak dapat kami raikan kerana virus ini," katanya.

"Kami merindui anda dan saudara-saudara lain. Insya-Allah jika semua berjalan lancar dan COVID-19 berakhir, kami akan BBQ di East Coast lagi," jawab Ustaz Faizal.

ATUR KURSUS ONLINE BAGI PEKERJA ASING

Ustaz Faizal turut memberitahu pekerja asing itu agar tidak teragak-agak untuk menghubungi pihak masjid jika memerlukan sebarang bantuan.

Beliau juga akan menyediakan kursus-kursus keislaman secara online bagi Encik Mohiuddin dan rakan-rakannya.

Ini begitu dialu-alukan Encik Mohiuddin yang terdahulu gembira dapat dibimbing pihak masjid.

"Saya sudah mempunyai 10 rakan yang sudah mula membaca Quran. Jadi kali ini saya harap dapat membantu menyelaraskan usaha ini. Saya harap Allah s.w.t. memberi kita peluang demi kebaikan semua," tambah Encik Mohiuddin.

Di hujung video itu pula, Ustaz Faizal merakamkan ucapannya:

"Semua pengorbanan anda bekerja di Singapura demi keluarga, saya mendoakan pengorbanan anda akan diberkahi. Terima kasih kerana menjadi seperti keluarga bagi kami.

"Saya berdoa kami akan dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala dan bertemu di masjid, melakukan kerja seperti biasa. Sekarang kita tidak dapat bertemu muka tetapi saya percaya kita boleh bertemu dalam doa dan ketika menunaikan ibadah solat kita."

MASJID AL-ISLAH AJAK ORANG RAMAI TIUP SEMANGAT BAGI PEKERJA ASING

Masjid Al-Islah di Punggol pula berkongsi semula video yang merakamkan keceriaan para pekerja Bangladesh membuat persiapan bagi acara iftar dua tahun lalu.

Ketika itu, ada sekitar 30 pekerja Bangladesh melakukan kerja sukarelawan setiap hari di masjid tersebut sempena bulan Ramadan. Mereka lazimnya sampai di masjid pada sekitar jam 5.00 petang selepas kerja.

Pernah juga, seramai 400 pekerja asing dari dormitori di Punggol berkumpul bersama-sama bagi acara berbuka puasa pada minggu terakhir Ramadan dengan pihak masjid.

"Ramai mungkin tidak tahu betapa pentingnya saudara-saudara Bangladesh kepada masjid kami. Video dihasilkan dua tahun lalu ini menunjukkan betapa mereka berharga dalam masyarakat kami," menurut Masjid Al-Islah menerusi catatan Facebooknya.

Maka itu pihaknya juga menyeru orang ramai memberikan sokongan kepada mereka.

"Ayuh berdoa dan menyampaikan ucapan kepada mereka pada masa-masa sukar ini kerana mereka selalu ada untuk masjid kami apabila kami memerlukan mereka. Mereka sedang membacanya!"  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan