Skip to main content

Iklan

Iklan

Masjid Jamek Sri Petaling di KL ditutup sementara bagi kerja penyahjangkitan

 Masjid Jamek Sri Petaling di ibu kota akan ditutup sementara dalam masa terdekat bagi membolehkan proses penyahjangkitan dijalankan setelah seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Jamek Sri Petaling di KL ditutup sementara bagi kerja penyahjangkitan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Mar 2020 09:26AM Dikemas Kini : 13 Mar 2020 09:30AM

KUALA LUMPUR: Masjid Jamek Sri Petaling di ibu kota akan ditutup sementara dalam masa terdekat bagi membolehkan proses penyahjangkitan dijalankan setelah seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif COVID-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sehubungan itu menggesa mereka yang menyertai perhimpunan tersebut supaya menjalankan ujian saringan dengan segera sekiranya mengalami gejala.

Beliau ditukil oleh New Straits Times sebagai berkata bahawa seorang individu dari Kuantan dan Tawau yang menyertai perhimpunan itu telah diuji positif bagi COVID-19.

Dr Adham telah bercakap kepada pemberita di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini pada Khamis (12 Mac) selepas mengadakan lawatan di wad persediaan untuk menempatkan pesakit COVID-19 di Hospital Sungai Buloh.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, seorang warga tempatan berusia 60 tahun iaitu kes ke-131, dikesan telah menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan dan dikesan bergejala pada 4 Mac lepas.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang, dari beberapa negara termasuk warga Malaysia, dengan penyertaan melebihi 5,000 orang.

Justeru, Dr Adham berkata pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat mengesan dan menjejaki rakyat tempatan yang menyertai perhimpunan itu, untuk tindakan lanjut supaya dapat mengekang penularan penyakit itu.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan kementerian susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan COVID-19 sebagai pandemik, beliau berkata keadaan di negara ini masih lagi terkawal setakat ini.

"Di negara ini, terdapat 12 hospital yang memiliki makmal untuk mengesan jangkitan serta merawat pesakit COVID-19 dan 57 hospital KKM yang membuat screening di seluruh negara. 

"Ini merupakan status terkini boleh dimaklumkan bahawa kita (KKM) dalam kesiapsiagaan sepenuhnya sekiranya berlaku apa yang diumumkan WHO sebagai pandemik," katanya. 

Beliau berkata kesiapsiagaan KKM juga berada pada tahap tertinggi apabila Hospital Sungai Buloh dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit terutamanya COVID-19 yang boleh menempatkan 772 pesakit dalam satu masa.

Terdahulu, WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Sumber : Bernama/Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan