Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid di S'pura dibuka secara bertahap mulai 2 Jun

Semua masjid di Singapura akan dibuka semula secara berperingkat mulai 2 Jun sejajar dengan garis panduan negara, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Rabu (27 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semua masjid di Singapura akan dibuka semula secara berperingkat mulai 2 Jun sejajar dengan garis panduan negara, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Rabu (27 Mei).

Buat permulaan, ruang terhad disediakan bagi jemaah untuk mendirikan solat secara sendirian. Ia bagi memenuhi keperluan pekerja dalam perkhidmatan penting yang perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam menjalankan tugas.

Solat berjemaah serta solat Jumaat masih terus digantung sehingga dimaklumkan kelak.

Menurut MUIS dalam kenyataannya pada Rabu, pendekatan secara berhati-hati yang diambil itu mengambil kira kemungkinan adanya kes COVID-19 yang tersembunyi dalam masyarakat serta sejajar dengan usaha negara untuk membendung penularan virus korona itu dalam masyarakat.

Singapura dijadual menarik balik langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 secara bertahap-tahap, dengan fasa pertama kelonggaran langkah-langkah bermula pada 2 Jun.

Sejajar dengan itu, MUIS menyataan, para jemaah perlu meneruskan usaha memastikan masjid-masjid kekal selamat demi melindungi masyarakat dan memainkan peranan untuk melawan virus korona. Menurutnya, langkah berjaga-jaga yang "maksimum" akan dilaksanakan di masjid demi mengelakkan "kemungkinan gelombang kedua jangkitan masyarakat yang lantas menyebabkan penutupan masjid lagi".

RUANG, WAKTU OPERASI TERHAD

Di bawah Fasa Pertama, pada 2 hingga 7 Jun masjid-masjid akan dibuka hanya dari 1.00 tengah hari hingga enam petang sahaja.

Ini bermakna dalam tempoh ini, kesemua masjid tidak dibuka bagi solat subuh, maghrib serta isya'.

Lima zon solat sendirian akan disediakan yang boleh menampung sehingga lima anggota sesebuah keluarga untuk mendirikan solat pada satu-satu masa.

Keutamaan diberikan kepada pekerja perkhidmatan penting. Ini termasuk para pekerja penghantaran serta pemandu teksi dan kereta sewa privet.

"Kami menggesa anggota lain masyarakat yang boleh melakukan solat di rumah untuk terus berbuat demikian,"menurut kenyataan MUIS itu lagi.

"Warga senja, yang lebih mudah terdedah pada jangkitan, sangat-sangat digalakkan agar tidak ke masjid sepanjang fasa pertama pembukaan secara berhati-hati ini, demi keselamatan mereka sendiri. Golongan lain yang mudah terdedah seperti budak kecil juga tidak digalakkan daripada bersolat di masjid-masjid buat masa ini, sejajar dengan garis panduan untuk solat di rumah" ujiarnya.

Bermula 8 Jun pula kebanyakan masjid akan dibuka bagi jemaah yang ingin mendirikan solat persendirian bagi kelima-lima waktu solat. Namun beberapa masjid akan terus menawarkan waktu operasi terhad. 

TAJAKA MASJID DIBUKA, LANGKAH KESELAMATAN DILAKSANA

Khidmat prasekolah yang disediakan di 15 tadika masjid akan dibuka semula bagi peringkat K1 dan K2  sejajar dengan garis panduan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA). Ini bagi membolehkan kanak-kanak terus belajar dan menyokong ibu bapa yang kembali bekerja.

Kelas N1 dan N2 pula dibuka semula bermula dari 8 Jun seperti ditetapkan ECDA.

Langkah-langkah pencegahan yang ketat seperti pembasmian kuman secara kerap di premis akan dilaksanakan apabila masjid-masjid dibuka nanti.

Mereka yang memasuki masjid perlu menjalani beberapa langkah keselamatan, antaranya dengan mendaftarkan diri di bawah SafeEntry, membawa sendiri sejadah dan kelengkapan solat peribadi, memakai pelitup muka pada setiap masa dan elak datang ke masjid jika tidak sihat.

MUIS menambah, langkah jarak selamat turut perlu dipatuhi antara satu pengunjung dengan yang lain pada setiap masa.

"Kami menggesa masyarakat untuk bekerjasama dengan para pemimpin masjid untuk terus mengekang penyebaran virus dengan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan ketika mengunjungi masjid, dan hanya datang ke masjid semasa tempoh ini jika perlu"ujar MUIS dalam kenyataannya hari ini.

"Pada masa yang sama, masjid-masjid di sini komited untuk terus memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat dengan perkhidmatan masjid terus disediakan untuk orang ramai termasuk melalui saluran online." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan