Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos tubuh Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu bantu masyarakat Melayu/Islam terjejas oleh krisis COVID-19

Sebuah pasukan bertindak ditubuhkan bagi membantu masyarakat Melayu/Islam yang terjejas oleh krisis COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos tubuh Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu bantu masyarakat Melayu/Islam terjejas oleh krisis COVID-19

Gambar fail Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak ditubuhkan bagi membantu masyarakat Melayu/Islam yang terjejas oleh krisis COVID-19.

Penubuhan Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu diumumkan pada Sabtu (4 Apr) oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (4 Apr).

Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Pasukan bertindak itu akan dianggotai oleh para wakil daripada agensi-agensi di bawah naungan M³, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

SELARASKAN SOKONGAN BELANJAWAN BERDAYA TAHAN

Matlamat Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu adalah untuk menyelaraskan pelaksanaan langkah-langkah sokongan di bawah Belanjawan Berdaya Tahan bagi masyarakat Melayu/Islam dari segi sokongan pekerjaan, mempertingkatkan kemahiran, sokongan bagi keluarga dan golongan pelajar serta sektor agama.

Salah satu sektor utama yang terjejas oleh krisis COVID-19 adalah sektor agama.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerjasama dengan Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu bagi meneroka cara-cara untuk terus memberi sokongan kepada masjid dan para asatizah yang terjejas.

BANTUAN BAGI SEKTOR AGAMA, PELAJAR & PEKERJA

Ini termasuk membolehkan sumbangan derma dihulurkan kepada masjid menerusi wadah elektronik seperti sumbangan GIRO dan PayLah, memastikan para asatizah dapat mengadakan kelas dan ceramah secara online serta bekerjasama dengan pakar perubatan dan asatizah untuk memulakan inisiatif bagi mengukuhkan daya tahan psikologi masyarakat dan menyokong kebajikan dan kemaslahatan masyarakat dari segi mental semasa tempoh sukar ini.

Selain itu, sokongan pembelajaran dan pekerjaan juga akan diberikan kepada para pelajar dan pekerja menerusi kerjasama dengan MENDAKI dan MENDAKI SENSE.

PASTIKAN PELAJAR TIDAK KETINGGALAN

Ini termasuk memberikan peranti digital kepada pelajar Skim Tuisyen MENDAKI/Program Tuisyen Kolaboratif (CTP) bagi memastikan mereka dapat terus mengakses pembelajaran online, membuka semula permohonan bagi Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), di samping mempertingkatkan sokongan kepada para pekerja melalui insiatif-inisiatif pemerintah bagi membantu mereka kekal berdaya saing.

Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Ini dilakukan menerusi kerjasama antara wakil institusi M³ dengan para wakil yang diundang daripada NTUC dan pertubuhan Melayu/Islam untuk saling merundingkan tentang inisiatif-inisiatif dan program bagi menarik penyertaan dan kolaborasi pertubuhan-pertubuhan utama dalam masyarakat.

Anggota lain dalam Pasukan Bertindak itu adalah Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Maliki Osman, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamed, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin dan Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam.

Lebih banyak butiran mengenai inisiatif-inisiatif bagi masyarakat Melayu/Islam akan diumumkan semasa perbahasan Belanjawan Berdaya Tahan pada minggu depan.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan