Virus Korona

Images
  • lab
    Profesor Jackie Ying bersama kumpulannya. (Gambar: NanoBio Lab/Facebook)

Masagos puji Prof Jackie Ying, pelajar PhD Muhammad Nadjad atas kejayaan hasilkan kit baru bagi uji COVID-19

BERITAmediacorp: Hanya lima minit saja untuk menjalankan ujian COVID-19!

Berita mengagumkan lagi membanggakan ini dimaklumkan oleh Makmal NanoBio dari Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dalam Facebooknya pada Rabu (25 Mac).


Kit ujian COVID-19 yang baru itu diberi nama 'Cepat' dan ia dihasilkan oleh Profesor Jackie Ying dan pelajar PhD Muhammad Nadjad Abdul Rahim.

Pencapaian pasukan yang diterajui oleh penyelidik mapan Profesor Ying itu turut mendapat perhatian Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

"Tahniah kepada pasukan anda," tulis Encik Masagos dalam catatan Facebooknya hari ini.

Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Masagos turut berkongsi 'Cepat' hanya mengambil masa lima minit untuk menguji jangkitan COVID-19.


"Kit ini masih dalam tahap ujian dan mungkin hanya akan diluluskan dalam masa sebulan tetapi ia mencerminkan tekad dan sumbangan Singapura dalam usaha memerangi COVID-19," tulis Encik Masagos dalam catatan tersebut.

Beliau sekali lagi menggesa masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing dengan menjaga jarak selamat dan menjaga kebersihan diri.

"Mengamalkan jarak selamat ini tidak bermakna kita tidak mempedulikan satu sama lain. Secara bersama, kita boleh memastikan Singapura terus selamat," tambah Encik Masagos lagi.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/na

Top