Skip to main content

Iklan

Iklan

Masa untuk rentas negeri semakin hampir, kata PM Ismail Sabri

Aktiviti rentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan menyusuli peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Masa untuk rentas negeri semakin hampir, kata PM Ismail Sabri

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Oct 2021 10:59PM Dikemas Kini : 03 Oct 2021 11:02PM

KUALA LUMPUR: Aktiviti rentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan menyusuli peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa di negara itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau amat memahami keluh-kesah rakyat yang ingin pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan khabar gembira itu akan diumumkannya sebaik kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

“Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya. 

“Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam tadi.

Beliau percaya masa untuk merentas negeri sudah semakin hampir memandangkan kadar peratusan penduduk dewasa yang sudah menerima vaksin semakin meningkat dan mencecah lebih 86 peratus.

Encik Ismail Sabri turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan menaikkan dari 80 peratus kepada 90 peratus kadar vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri diberikan bertujuan untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.

“Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80 peratus boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus. Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil.

“Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka. Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Encik Ismail Sabri berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, yang bertujuan membendung penularan COVID-19, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menerima tamparan paling hebat.

“Ia bergantung kepada rentas negeri...selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.

Mengenai MyTravelPass, perdana menteri itu berkata kerajaan akan membenarkan rakyat untuk ke luar negara tanpa perlu memohon pas berkenaan sebaik program vaksinasi negara mencapai kadar 90 peratus.

“Dahulu kita buat sekatan penerbangan kerana kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara sebab itu kita tapis siapa yang nak keluar negara, tapi atas urusan perniagaan kita benarkan dan untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti pengajian tinggi swasta di luar negara memang kita benarkan tanpa MyTravelPass. 

“Tetapi untuk pelancongan masih kita tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri memang kita benarkan tetapi perlu membuat permohonan...saya nak sebut apabila 90 peratus program vaksinasi telah tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass lagi,” kata beliau lanjut.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan