Koronavirus

Images
  • Maldives covi
    Gambar fail sebuah pusat peranginan di Maldives. (Gambar: Reinhard Krause/Reuters)

Maldives sahkan 2 kes pertama jangkitan COVID-19

MALE: Maldives pada Sabtu (7 Mac) melaporkan dua kes jangkitan virus korona COVID-19 yang disahkan di pulau itu dan pihak berkuasa negara pulau itu sudah menutup dua pusat peranginan, sedang pemeriksaan yang dijalankan cuba membendung penularan virus tersebut.

Dua orang yang dijangkiti COVID-19 dipercayai dijangkiti virus tersebut dari seorang pelancong warga Itali yang sudah pulang ke negara asalnya dan diuji positif di sana.

"Kedua-dua kes yang diuji positif adalah dari sebuah resort. Mereka adalah kakitangan resort itu sendiri dan sedang dikuarantin sekarang," menurut Ali Waheed, menteri pelancongan negara pulau itu yang sangat bergantung kepada pelancong asing.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Agensi Perlindungan Kesihatan Maldives menyatakan dua rakyat Perancis dari sebuah lagi pulau yang turut menunjukkan gejala jangkitan virus tersebut sudahpun diasingkan.

Menurut pihak berkuasa, ia sudah menghentikan perjalanan ulang-alik ke Kuredu Island Resort dan pusat peranginan Summer Island, sedang para pegawai menjalankan proses pengesanan dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Malangnya, masih belum jelas berapa ramai pelancong yang terjejas akibat langkah-langkah penguatkuasaan itu.

Dalam kenyataannya, Summer Island mengesahkan bahawa ia sudah mengkuarantin seorang doktor yang bertugas di resort berkenaan dan dua tetamunya buat sementara waktu, sedang ia menunggu hasil ujian yang dijalankan ke atas mereka bertiga.

Doktor yang turut terbabit adalah seorang warga India yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan selepas merawat kedua-dua tetamu itu.

Para pegawai dari Kuredu Island Resort pula belum dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.

Pada Sabtu, Maldives turut mendedahkan bahawa para pelancong yang berasal dari Itali atau yang melakukan persinggahan di negara itu dalam tempoh 14 hari lalu tidak akan dibenarkan masuk ke negara tersebut mulai hari ini (8 Mac).


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- Reuters/AW/ai

Top