Koronavirus

Images
  • khairy
    (Gambar: Bernama)

Malaysia mula suntikan vaksin COVID-19 Sinovac pada 18 Mac

PUTRAJAYA: Malaysia akan menggunakan vaksin COVID-19 Sinovac keluaran China mulai Khamis (18 Mac) dengan Menteri Penyelarasan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin itu.

"Pada 18 Mac, kita akan mula vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac di Hospital Rembau dan sayalah orang pertama akan guna vaksin itu," katanya dalam sidang media mingguan PICK pada Isnin (15 Mac).

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat.

Namun, Malaysia akan meneruskan pembelian vaksin Astrazeneca memandangkan tiada bukti penggunaan vaksin berkenaan menyebabkan darah beku.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan terus memantau ujian klinikal vaksin terbabit dengan mengambil kira kesan-kesan seperti yang didakwa.

"Apabila pakar telah buat rumusan terhadap isu ini, kita akan umumkan nanti dan buat masa ini tiada apa-apa pendirian lain dan kita kekal untuk teruskan pembelian," katanya,

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang juga hadir di sidang media itu berkata, suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech akan dijalankan mulai Rabu (15 Mac).

Malaysia memulakan Program Imunisasi COVID-19 Nasional pada 24 Feb dengan Perdana Menteri negara itu Muhyiddin Yassin antara individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.  

- BERNAMA/SU/na

Top