Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia catat 649 kes positif COVID-19, 5 kelompok baru

Kes pulih COVID-19 di Malaysia hari ini (29 Okt) mengatasi angka kes positif dengan 685 kes pulih dilaporkan, manakala kes baru adalah sebanyak 649 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia catat 649 kes positif COVID-19, 5 kelompok baru

Orang ramai kelihatan memakai pelitup di Kuala Lumpur, M'sia pada 2 Okt 2020 di tengah COVID-19 (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 29 Oct 2020 07:58PM Dikemas Kini : 29 Oct 2020 08:05PM

KUALA LUMPUR: Kes pulih COVID-19 di Malaysia hari ini (29 Okt) mengatasi angka kes positif dengan 685 kes pulih dilaporkan, manakala kes baru adalah sebanyak 649 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif itu sebanyak 642 kes adalah penularan dalam negara, manakala tujuh lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Memperincikannya, beliau berkata 352 kes dilaporkan di Sabah manakala 132 kes di Selangor, Negeri Sembilan (43), Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (lapan), Perak (lima), manakala masing-masing satu kes di Pahang, Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

“Di Sabah, 55 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk 11 kes daripada kluster baru iaitu Kluster Sakti dan Kluster Tuguson, 170 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 127 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Di Selangor, 70 kes daripada kluster-kluster, termasuk enam kes dari kluster baru iaitu Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan, 41 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 21 kes daripada lain-lain saringan COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang dilaporkan di Sabah dan negeri-negeri di Lembah Klang, yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menyumbang sebanyak 78.7 peratus daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.

Beliau berkata bagi kes import pula, ia membabitkan dua warganegara dan lima bukan warganegara yang tiba dari Indonesia iaitu sebanyak lima kes, dan masing-masing satu dari India dan Filipina.

“Jumlah kes positif COVID-19 di dalam negara adalah sebanyak 30,090 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 10,087. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 19,757 kes iaitu 65.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 23 kes memerlukan bantuan pernafasan, dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

Dalam pada itu, lima lagi kluster baru dikenalpasti hari ini melibatkan dua kluster masing-masing di Sabah dan Selangor, serta satu di Negeri Sembilan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan