Skip to main content

Iklan

Iklan

Malaysia catat 26 kelompok baru COVID-19 akibat ziarah Aidilfitri

Sebanyak 1,019 kes COVID-19 melibatkan 26 kluster yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dikesan sejak 13 Mei hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia catat 26 kelompok baru COVID-19 akibat ziarah Aidilfitri

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 May 2021 09:51PM Dikemas Kini : 29 May 2021 09:54PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,019 kes COVID-19 melibatkan 26 kluster yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dikesan sejak 13 Mei hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini manakala satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seramai 4,047 individu telah disaring yang mana sebanyak 1,019 kes telah dikenal pasti positif dalam kluster-kluster ini iaitu kadar positiviti 25.1 peratus," menurutnya dalam kenyataan hari ini (29 Mei).

Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan bilangan kluster sambutan Aidilfitri tertinggi dengan tujuh kluster diikuti Kelantan (lima kluster) manakala Johor, Melaka, Pahang, Selangor serta Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing dua kluster.

Pihaknya juga menjangkakan jumlah kes dan bilangan kluster meningkat dan berkemungkinan melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

"Meskipun kerajaan telah menetapkan bahawa ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baru COVID-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut," katanya.

Justeru beliau menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai serta Aidilfitri yang kebiasaannya berlanjutan hingga sebulan.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa. 

Katanya sebanyak 51 kluster rentas negeri yang melibatkan 6,468 kes dikesan sejak 7 Dis 2020. 

Beliau berkata aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan sewaktu perayaan tidak sepatutnya berlaku sama sekali susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dari 1 hingga 14 Jun depan.

"Sekarang adalah waktu untuk kita semua bertindak bersama-sama menurunkan jumlah kes dan kematian harian," katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata 23 kluster baru dikesan hari ini sekali gus menjadikan 603 kluster aktif di seluruh negara setakat ini.

Antara lain, ia melibatkan masing-masing lapan kluster tempat kerja dan kluster komuniti, lima kluster keagamaan dan satu kluster institusi pengajian tinggi swasta di bawah Kementerian Pendidikan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan