Skip to main content

Iklan

Iklan

Malaysia catat 23 kes baru COVID-19, lagi 1 kelompok dikesan

 Sebanyak 23 kes baru COVID-19 direkodkan hari ini (15 Sep) membabitkan 13 jangkitan dalam negara dan 10 kes import, menjadikan jumlah terkumpul 9,969 kes dengan kes aktif sebanyak 632, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia catat 23 kes baru COVID-19, lagi 1 kelompok dikesan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Sep 2020 08:09PM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 08:13PM

PUTRAJAYA: Sebanyak 23 kes baru COVID-19 direkodkan hari ini (15 Sep) membabitkan 13 jangkitan dalam negara dan 10 kes import, menjadikan jumlah terkumpul 9,969 kes dengan kes aktif sebanyak 632, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua jangkitan tempatan itu yang melibatkan 10 rakyat tempatan dan tiga warga asing direkodkan di Sabah termasuk lapan daripada kluster baru iaitu Kluster Pulau.

Baki lima kes lagi melibatkan empat daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) yang mana tiga adalah warga asing, sementara satu kes dikesan menerusi saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau, katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Kes import pula melibatkan mereka yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Filipina (4 kes) manakala masing-masing satu kes dari Hungary, Turki, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi, katanya.

Terdapat enam kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 sebanyak 9,209 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Tiada kematian baru direkodkan, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat pandemik itu kekal 128 kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata buat masa ini terdapat 14 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Pulau, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu melibatkan seorang wanita rakyat Malaysia berusia 68 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak.

"Kes kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati dengan saringan COVID-19 didapati positif pada 13 Sep.

"Beliau kini dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, lapan lagi kes positif sudah dikesan melibatkan ahli keluarga wanita berkenaan.

Hingga kini, seramai 128 individu disaring dalam kluster itu merangkumi 109 rakyat tempatan dan 19 bukan warga negara itu.

Tambahnya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses pembasmi kuman dan pembersihan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster itu giat dijalankan di lapangan, katanya.

Mengulas perkembangan Kluster Benteng LD, Sabah, beliau berkata pertambahan empat kes baru yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif kluster itu sebanyak 424 kes.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan